Monday, March 8, 2010

INDUSTRI SARANG WALET

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 02/02/2010

Industri sarang burung walet


Pelbagai jenis sarang burung walet.


MIRI 1 Feb. – Sarawak mampu menjana pendapatan lumayan dalam industri sarang burung walet jika ia dilaksanakan secara besar-besaran.

Sehingga kini pendapatan tahunan negara dalam industri burung walet mencecah RM1 bilion dengan Pulau Pinang menjadi negeri pengeluar utama diikuti Perak, Melaka dan Johor.

Walaupun produk sarang burung walet dari Sarawak dikenal pasti antara yang terbaik di dunia dan mendapat permintaan tinggi, namun industri ini masih jauh ketinggalan berbanding negeri-negeri pengeluar yang lain.

Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 Sarawak yang tidak membenarkan burung walet diternak di kawasan bandar dan kesukaran mendapatkan lesen menyebabkan industri tersebut tidak berdaya saing.

Sehingga kini, Sarawak mempunyai lebih 1,500 premis sarang burung walet dengan jumlah tertinggi di Sarikei (500) diikuti Samarahan (200) manakala selebihnya terletak Mukah, Bintulu, Miri dan kawasan lain di seluruh bahagian.

Bagaimanapun, jumlah premis yang diberikan lesen oleh pihak berkuasa kurang daripada lima yang mana hampir 99 peratus rumah burung walet di negeri ini beroperasi secara haram.

‘‘Sebenarnya ramai yang berminat untuk mengusahakan ternakan burung walet, namun kesukaran memperolehi lesen membantutkan usaha itu walaupun ia menyumbang sumber pendapatan lumayan,” kata pengusaha sarang burung walet di Miri, John Low kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Menurut John, sebahagian besar daripada pengusaha ini menunggu kelulusan bertahun-tahun lamanya hingga menyebabkan mereka patah semangat untuk menceburi industri tersebut secara intensif.

‘‘Jika di Semenanjung, tiada larangan untuk mengusahakan sarang walet di kedai, berbanding di sini yang terlalu ketat. Keadaan ini mungkin berpunca daripada pengetahuan yang cetek pihak berkuasa mengenai habitat sebenar burung walet,” katanya.

John berkata, kajian doktor veterinar selama ini mendapati bahawa burung walet sukar untuk mendapat penyakit berjangkit atau menyebarkan penyakit kepada hidupan lain termasuklah manusia.

‘‘Burung walet tidak hinggap di lantai atau berkawan dengan burung lain. Justeru ia bebas daripada sebarang penyakit yang disebarkan unggas,” katanya sambil menambah Miri mempunyai banyak peluang untuk menerokai industri tersebut.

Katanya, burung walet mempunyai nilai ekonomi yang tinggi, meningkatkan nilai hartanah setempat dan menjadi alternatif kepada para petani dan nelayan untuk mengusahakannya secara serius.

Beliau menambah, perusahaan ini boleh dikendalikan secara kecil-kecilan menggunakan modal yang sedikit, namun hasilnya dapat dinikmati sepanjang hayat.

Menurut John, sarang burung walet di rumah kini dijual dengan harga antara RM4,300 hingga RM4,500 sekilogram manakala sarang walet yang berada di gua mencecah RM1,300 hingga RM1,500 sekilogram.

Dari segi kualiti, sarang walet rumah mengandungi lebih banyak air liur manakala sarang walet gua mempunyai lebih banyak bulu berbanding air liur.

‘‘Sehubungan itu saya berharap kerajaan negeri akan menyediakan garisan panduan seperti di Semenanjung serta memudahkan permohonan lesen,” kata John yang mempunyai premis sarang burung walet di Mukah, Miri dan Bintulu sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, Penasihat Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Adzmy Abdullah berkata, kesukaran memperolehi lesen menternak burung walet menyebabkan pengusaha dari Sarawak lebih cenderung melabur di Pontianak, Indonesia dengan nilai pelaburan kini mencecah RM10 juta.

Beliau berkata, walaupun Sarawak merupakan pengeluar sarang burung walet di Malaysia, namun jumlah pengeluarannya masih jauh ketinggalan berbanding Perak dan Selangor.

‘‘Setakat ini kita mempunyai kira-kira 1,500 pengusaha sarang burung walet, namun tidak semua beroperasi sepenuhnya kerana kesukaran mendapatkan lesen.

‘‘Justeru ada yang membuat pelaburan di negara jiran, mungkin kerana di sana prosedurnya lebih mudah dan terjamin berbanding di sini,” kata beliau.

Sehubungan itu, Adzmy menggesa kerajaan khususnya Jabatan Perhutanan memudahkan prosedur yang ada bagi menggalakkan rakyat tempatan melabur di negeri sendiri seterusnya meningkatkan pengeluaran produk sarang burung walet.

Katanya, setakat ini kerajaan sedang mengeluarkan garis panduan dan ia diharap dapat memudahkan para pengusaha yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.

‘‘Industri ini mempunyai potensi yang amat besar kerana sarang burung walet mempunyai nilai perubatan yang tinggi di kebanyakan negara Asia seperti China, Hong Kong, Singapura, Jepun dan Asia Pasifik.

‘‘Jumlah itu dijangka meningkat ekoran permintaan berterusan dari negara China kerana sup sarang burung sangat popular di kalangan rakyatnya selain turut menjadi ukuran kepada status individu.” jelas beliau.

Adzmy berkata, negara Timur Tengah sudah menunjukkan minat untuk mengimport produk sarang burung walet. Ini menunjukkan ia mempunyai potensi untuk berdaya maju serta ruang komersial yang luas.

Sehingga tahun 2007, Malaysia mengeksport lebih 150 tan metrik sarang burung walet dan menyumbang keuntungan sebanyak RM750 juta.

Sarang burung walet kini dijual dengan harga RM3,500 hingga RM4,500 sekilogram bergantung kepada gred dan harga ini dijangka terus meningkat berdasarkan peningkatan permintaan setiap tahun.

Malah sarang burung walet atau aerodramus fuciphagus (edible-nest swiftlet dan black-nest swiftlet atau aerodramus maximus yang terdapat di Malaysia adalah yang terbaik dari segi kualitinya.

Malaysia merupakan negara pengeluar sarang burung ketiga terbesar di dunia selepas Indonesia dan Thailand dengan purata lebih 12 tan sarang burung dihasilkan dalam sebulan.

No comments:

Post a Comment