ARKIB : 02/09/2008
Eksport daging kerbau India ke Malaysia lebih mahal
NEW DELHI 1 Sept. - Pengeksport India mengunjurkan peningkatan harga daging kerbau sebanyak lima hingga 10 peratus semasa musim perayaan akan datang.
Ini berdasarkan kenaikan harga daging lembu dunia baru-baru ini. Harga daging kerbau melonjak kira-kira 18 peratus sejak tahun lepas disebabkan kenaikan kos pembiakan dan permintaan yang semakin meningkat di seluruh dunia.
"Harga mungkin meningkat sebanyak lima hingga 10 peratus dalam bulan-bulan akan datang," kata Sirajuddin Qureshi, Pengarah Urusan Hind Agro Industries, sebuah syarikat pengeksport daging lembu utama di India.
"Selain bahan mentah bagi pembiakan kerbau, kos bagi proses membersih dan mengeksport daging telah meningkat. Justeru itu, daging kerbau akan menjadi lebih mahal dalam pasaran dunia," katanya kepada Bernama.
Malaysia adalah pengimport terbesar daging kerbau dari India. Negara itu mengimport kira-kira 80 peratus keperluannya atau 45,000 tan metrik setahun.
Pada masa ini, harga daging kerbau adalah RM8,580 setan metrik ($2,600 setan metrik).
"Dengan kenaikan harga di seluruh dunia, harga domestik bagi daging kerbau akan juga meningkat disebabkan oleh kenaikan kos input bahan mentah, makanan dan pemeliharaan," kata A.S Rawat, pengurus besar (Bahagian Haiwan Ternakan) Lembaga Pembangunan Eksport Produk Pertanian dan Makanan Diproses India (APEDA), A.S Rawat.
Beliau juga berkata, eksport ke Malaysia mungkin meningkat sebanyak 10 hingga 15 peratus bagi setiap pesanan semasa dan India sudah bersedia untuk memenuhi permintaan itu.
India, pengeluar keempat terbesar daging kerbau di dunia, mengeksport kira-kira 500,000 tan metrik daging sejuk beku bernilai hampir RM2.3 bilion (AS$700) juta, sebahagian besarnya ke negara-negara Teluk, Malaysia, Mauritius dan Filipina.
No comments:
Post a Comment