Sunday, March 21, 2010

RAHSIA GAMAT

RENCANA UTAMA

Tujuh tahun cari rahsia gamat


HASSAN berbangga dengan pencapaian syarikat Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. yang berjaya mengeluarkan 40 jenis produk gamat.


BEKAS pensyarah Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Hassan Yaacob tidak pernah menyimpan angan-angan untuk bergelar seorang usahawan berjaya. Pada awalnya kajian yang beliau jalankan tentang gamat hanya mahu membuktikan bahawa hidupan laut itu bukan penyembuh luka seperti yang dipercayai oleh ramai orang terutama masyarakat Melayu.

Namun, Hassan terpaksa akur dengan keputusan penyelidikan yang dijalankan bersama pasukannya. Hidupan laut itu rupa-rupanya tidak hanya mampu menyembuhkan luka bahkan membawa keajaiban pada kesihatan manusia.

Anak kelahiran Kampung Sirih, Kota Bharu, Kelantan itu menceritakan kepayahannya mencari jawapan yang menyebabkan gamat boleh menyembuh luka, sehinggalah kepada cabaran dan halangan yang dilaluinya untuk menjadikan produk berasaskan gamat diyakini ramai.

Menurut Hassan, beliau dan pasukannya gagal menemui rahsia itu selepas lima bulan membeli gamat dari Langkawi, Kedah.

Enggan mengaku kalah, akhirnya bapa kepada tiga cahaya mata itu nekad belajar menyelam dengan bantuan seorang pakar menyelam.


GAMAT bukan saja boleh menyembuhkan luka bahkan baik untuk kesihatan.


Beliau kemudian turun sendiri ke dasar laut di Pulau Pangkor, Perak bagi melihat komuniti hidupan laut itu. Hassan mendapati gamat aktif pada waktu malam dan cair sekiranya terdedah kepada cahaya matahari.

"Ketika itu baru saya kenal gamat dan melihat sendiri komuniti hidupan tersebut. Saya juga memproses gamat itu sendiri. Saya mengambil masa tiga tahun untuk mengkaji sebatian aktif dalam gamat.

"Rupa-rupanya, apabila air gamat ini pekat baru kita jumpa molekul-molekul kecil yang dipanggil polipeptide iaitu protein molekul yang sangat kecil," katanya yang kemudian ke Jepun menggunakan Anugerah Penyelidikan Fellowship Sains Hitachi untuk menjalankan kajian mengenai gamat.

Menurut Hassan, peptide sebenarnya merangsang rejuvenasi sel dan antibodi yang boleh membantu menyembuh luka.

"Rupa-rupanya apabila kita menulenkan sebatian polipeptide, kesannya adalah sepuluh kali ganda lebih kuat berbanding proses tradisional gamat yang dihasilkan di Langkawi. Penemuan saya itu mengambil masa tujuh tahun," katanya ketika ditemui Kosmo! di Healwell Pharmaceuticals Sdn. Bhd. yang terletak di Seksyen U1, Temasya Industrial Park, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Eksekutif Healwell Pharmaceuticals itu, beliau benar-benar berbangga dengan pencapaian syarikat itu yang bermula dengan modal kira-kira RM90,000.

Menceritakan sejarah penubuhan Healwell Pharmaceuticals, bekas pelajar Kolej Sultan Ismail Petra, Kota Bharu itu menjelaskan, syarikat yang semakin berkembang dengan bilangan pekerja kira-kira 100 orang itu kini memiliki sebuah bangunan bernilai RM7 juta.

Malah, apa yang lebih membanggakan Hassan ialah syarikat yang hanya bermula dengan lima produk kini berkembang kepada 40 jenis produk gamat.


KHASIAT ajaib gamat dalam penyembuhan luka sudah terbukti secara klinikal.


Bermula April ini, syarikat tersebut juga akan membuka peluang perniagaan francais dengan 68 buah bagi fasa pertama dan 30 buah francais untuk fasa kedua.

"Pada masa ini, terdapat 328 cawangan Healwell di seluruh Malaysia dan Brunei. Atas dasar untuk membantu membina perniagaan orang Melayu, saya merancang untuk membuka francais dan saya percaya melaluinya juga kita dapat mengatasi lambakan produk di pasaran," ujarnya.

Hassan yang gemar menghabiskan masa lapangnya dengan aktiviti sukan seperti berkuda, berenang dan berjoging menambah: "Ini bukan ubat, ini makanan. Ia tidak memberi kesan secara langsung kepada kita jika kita ambil lebih daripada itu. Malah, saya yang menyelidik tentang gamat rasa tertarik dan bersyukur dengan penemuan ini."

1 comment:

  1. ASSALAMUALAIKUM...
    Tlg antar info tntang gamat. Cra mhasilkn bnih & tmpoh pbesaran.

    ReplyDelete