JOM SINGGAH
Kejutan ketam gergasi
Di perkampungan D-Paradise di Alor Gajah, pengunjung berpeluang mendekati alam semula jadi, kehidupan Orang Asli dan bertemu dengan si tangan penyepit.
Lokasi percutian berkonsep alam semula jadi yang diberi nama D-Paradise itu hanya satu jam setengah pemanduan dari Kuala Lumpur. Terletak di Alor Gajah, Melaka, ia memberi lebih daripada apa yang dijangkakan.
Penginapan selesa, lawatan akademik, tarikan muzium hidup dan eksperimen tunas rasa melalui hidangan disediakan khas daripada sumber di sekelilingnya.
D-Paradise menyambut kedatangan tetamunya dengan gabungan kawasan ladang buah tropika terbesar dan juga perkampungan Orang Asli. Hinggakan untuk melawat keseluruhan taman seluas 68 hektar itu, kenderaan buggy diperlukan!
Kira-kira 800 spesies tumbuhan melatari muka bumi D-Paradise. Paling menyeronokkan apabila dapat menjejakkan kaki ke ladang yang para petugasnya sedia mempelawa anda merasai kelazatan pelbagai jenis buah-buahan istimewa.
Selain itu, dekati juga golongan Orang Asli yang turut berkongsi penempatan dengan penginap calet.
Orang Asli itu begitu peramah menunjukkan pengunjung akan warna kehidupan seharian mereka seperti memburu dengan sumpit, menyediakan makanan, membuat kraf dan mengumpul herba untuk dijadikan ubat-ubatan.
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan ketam darat terbesar di dunia, yang masing-masing seberat kira-kira lima kilogram. Ketam-ketam ini adalah pemberian Kerajaan Australia kerana ia berasal dari Pulau Krismas.
|
|
Kuat dan tangkas, ia membuatkan pengunjung terpesona dengan kebolehan memecahkan tempurung kelapa untuk dimakan isinya.
Taman alam D-Paradise turut mengajak tetamunya melihat sendiri ternakan rusa yang bebas berkeliaran di bahagian landskap berlembah.
Haiwan itu begitu jinak kerana ia akan menghampiri manusia untuk meminta makanan.
Selain rusa, taman tersebut menjadi tumpuan keluarga yang mahu menyentuh dan membelai arnab, burung unta dan mendekati kandang buaya yang dikurung di dalam habitat lubuknya. Lawatan safari malam juga tidak harus disia-siakan.
Kalau datang bersama anak-anak, jangan pulang selagi tidak memperkenalkan mereka kepada tapak lawatan bersifat akademik.
Selain mengenali jenis-jenis tumbuhan bebuah dan herba, lengkapkan sesi lawatan dan penginapan dengan mengunjungi taman orkid, tapak semaian periuk kera dan juga taman kaktus.
Melihatkan keindahan tumbuhan hijau itu, pasti ada yang mendapat ilham merias taman di halaman rumah!
No comments:
Post a Comment