RENCANA
ARKIB : 22/01/2010
Serama Malaysia ke peringkat global
PELIK! Dalam banyak ternakan lain lembu, kambing atau ayam mengapa memilih ayam serama? Bukankah harganya mahal? Berbaloi ke? Begitulah antara soalan yang kerap ditanya kira-kira setahun yang lalu sewaktu Ahmad Fauzi Mohamed mengambil keputusan menternak ayam serama secara komersial.
Mempunyai latarbelakang kerjaya dalam bidang kejuruteraan marin, ramai yang menganggap langkah yang diambil Ahmad Fauzi pelik bagi mereka yang tidak tahu apa yang sebenarnya bermain di fikiran beliau.
"Memang pada awalnya ia berpunca dari minat saya terhadap ayam serama," jelasnya yang juga Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn Bhd.
Perwatakan dan gaya istimewa ayam Serama menyebabkan beliau jatuh cinta kepada ayam terkecil dunia ini.
Mengapa ayam serama yang harganya mencecah sehingga RM80,000 seekor.
Walaupun sekadar untuk tujuan menyertai pertandingan dan pameran, hobi berkenaan akan kekal menjadi hobi mewah selagi baka ayam berkenaan tidak dikembangkan.
Pengeluarannya yang terhad menyebabkan masyarakat hanya mampu melihat dan menyimpan saja niat memiliki haiwan berkenaan.
Bagaimanapun keadaan berkenaan mampu diubah jika pengeluaran kecil-kecilan sekarang digantikan dengan kaedah penternakan berskala komersial.
Ayam serama sebenarnya berasal dari negara ini jika dibandingkan dengan haiwan lain seperti harimau dan badak.
Malah ayam serama telah diiktiraf dunia luar sebagai milik Malaysia dan pelbagai pihak di Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf ayam serama berasal dari negara ini.
"Saya yakin ayam serama mampu menjadi ikon negara," tegas beliau.
Usaha menjadikan ayam serama sebagai ikon perlu dipertingkatkan kerana sesetengah negara Eropah bangga dengan baka ayam yang hanya ada di negara masing-masing.
Malah, Perancis menjadikan ayam sebagai menjadi lambang negara itu.
"Melalui Internet, saya mendapati pemeliharaan ayam serama berkembang di Eropah dan Amerika Syarikat.
"Malah terdapat pertubuhan ayam serama dengan laman web masing-masing, iaitu Serama Council of North America dan World Serama Federation," katanya.
Bertolak dari minat dan kesedaran inilah, sebagai seorang usahawan, Ahmad Fauzi melihat potensi mengembangkan industri ayam serama hingga ke peringkat antarabangsa.
Bermula dengan penyelidikan yang dijalankan beliau terkejut mendapati bilangan ayam serama hanya tinggal sekitar 3,000 ekor dan boleh dianggap hampir pupus.
Perkembangan menggalakkan di dunia luar mendorongnya mengubah kaedah penternakan ayam serama yang sebelum ini dilakukan secara tradisional.
"Saya menjalankan penyelidikan sendiri untuk menternak ayam serama secara moden berbanding amalan tradisional yang tidak produktif," katanya.
Bermula dengan empat ekor yang dibawa dari Kelantan setahun lalu dan diternak di belakang rumahnya di Ampang, untuk tujuan pameran dan penyelidikan, kini bilangan ayamnya mencecah lebih 300 ekor.
Memanfaatkan pengalaman sebagai jurutera maritim, Ahmad Fauzi, membuat sendiri reban dua tingkat dan menggunakan kaedah penternakan moden bagi meningkatkan pengeluaran ayam serama berkualiti tinggi.
Serius dan yakin dengan usaha yang dijalankan, Ahmad Fauzi menubuhkan Serama Corporation Sdn Bhd bagi menyelaraskan kerja-kerja penternakan, pemasaran dan promosi.
"Bagi menjadikan ayam serama sebagai ikon, minat orang ramai terhadap haiwan ini perlu dipupuk.
"Apabila ramai orang minat, baka ayam perlu mudah didapati atau perkembangannya menjadi sukar," ujar beliau.
Lantaran itulah beliau mengambil keputusan untuk membuka ladang ayam serama di Pengkalan Chepa, Kelantan.
Selain itu Pusat Pembiakan dan Pengumpulan Ayam Serama Malaysia sedang dibangunkan di tanah seluas 12 hektar di Air Keroh, Melaka dan bakal beroperasi pertengahan tahun ini.
Menternak ayam serama, jelas Ahmad Fauzi tidaklah sukar jika aspek kebersihan dan pemakanan diberi perhatian rapi.
Katanya, ayam betina hanya bertelur kira-kira lima biji telur setiap tiga bulan atau kira-kira 20 biji setahun.
Telur dikutip setiap hari dikumpul setempat selama tujuh hari dan kemudian dimasukkan dalam mesin inkubator selama 21 hari.
Selepas menetas, anak ayam dimasukkan dalam satu kotak yang dinamakan set induk palsu.
"Kotak itu berfungsi seperti ibu ayam yang memanaskan badan anaknya dan selepas 30 hari, anak ayam dimasukkan ke reban biasa," katanya.
Bagi rutin harian pula, penternak hanya perlu menukar makanan dan air, membersihkan najis, memeriksa inkubator dan ayam.
Setiap minggu, ayam dimandikan dan dilatih untuk menyertai pertandingan dan setiap bulan, kuku dipotong dan diberi ubat cacing.
Semua proses ini direkodkan dan jauh berbeza berbanding kaedah tradisional di mana ayam dilepaskan begitu saja serta mengabaikan aspek kebersihan dan pemakanan.
Selain untuk tujuan pameran dan pertandingan, Ahmad Fauzi berkata, ayam serama berpotensi dieksport ke luar negara, terutama China yang melihat ayam serama sebagai bahan ubatan tradisional dan daging eksotik.
Menurut beliau sebuah syarikat di China telah menandatangani perjanjian dengan Serama Corporation untuk tujuan ini.
"Kami juga menerima permintaan baka ayam Serama Malaysia dari negara-negara Arab, Indonesia, Singapura dan Thailand," katanya.
Dengan jenama produk Ayam Serama Malaysia, pelbagai barangan cenderahati berkonsepkan ayam Serama turut dikeluarkan.
"Apabila kita berkunjung ke Australia atau China, kita biasanya membawa balik cenderahati seperti patung beruang koala atau panda.
"Saya mahu melihat pelancong luar membawa balik cenderahati serama Malaysia ke negara mereka "
Bagi memudahkan penternak atau peminat ayam serama untuk mendapatkan bekalan baka ayam, makanan, aksesori atau ubat-ubatan, Ahmad Fauzi membuka sebuah kedai Serama Malaysia di Ampang, Selangor.
Selain barangan untuk ayam, peminat ayam boleh mendapatkan barangan cenderahati berkonsepkan ayam serama seperti perhiasan tembikar, lukisan abstrak, batik, baju T dan rantai kunci.
Orang ramai juga boleh mengunjungi galeri cenderahati ayam serama yang terdapat di Perbadanan Kraf Tangan Malaysia, Kuala Lumpur.
Menurut Ahmad Fauzi, beliau juga sedang menyiapkan sebuah buku khas mengenai sejarah dan maklumat lengkap proses pembiakan dan penternakan ayam serama secara moden dan komersial yang bakal berada di pasaran April ini.
Siapa sangka ayam serama, haiwan ternakan yang sekadar digilai kerana kecantikan dan lagaknya yang istimewa mampu dikomersialkan.
Bagi Ahmad Fauzi, segalanya tidak mustahil sekiranya kita yakin dan bijak merancang untuk mempelbagaikan peluang rezeki yang berada di depan mata.
salammm...
ReplyDeletekita boleh lihat lagi kecantikan ayam serama didalam blogspot...
http://seramapenaga.blogspot.com/