Saturday, March 6, 2010

RUMPAI LAUT

Sinar rumpai laut

Laporan dan foto NORAINON OTHMAN
norainon@hmetro.com.my
2010/02/28

JAM menunjukkan 10.20 pagi, namun matahari sudah tegak di kepala. Mengatur langkah ke kawasan penternakan rumpai laut di pesisir Pantai Geger, Bali, kelihatan petani berlari-lari anak mengandar gumpalan rumpai laut menuju ke pondok persinggahan, kira-kira 100 meter dari gigi air.

Beberapa lelaki dan perempuan kemudian muncul dari pantai mengandar bakul berisi rumpai laut masing-masing. Hamparan hijau rumpai laut yang baru dikeringkan dapat dilihat tidak jauh dari pondok tempat mereka bekerja dan berehat. Ada juga rumpai laut yang semakin mengering bertukar warna hijau pucat, juga kemerahan.


Ramai penduduk Bali yang menjadi penternak atau petani, kini bukan lagi di ladang tetapi menuai hasil di laut. Kehidupan dulu kais pagi makan pagi semakin dilupakan dan petani laut memandang ke depan membina masa depan yang semakin bersinar.


Rumpai laut menjadi nadi nelayan di beberapa pesisir pantai Pulau Bali. Penulis berpeluang menyelami kehidupan ‘petani laut’ ketika mengikuti program lawatan ternakan rumpai laut oleh Algaetech Sdn Bhd di Pantai Geger dan Pantai Kutuh, Nusa Dua serta Pantai Kalianget, Singaraja.


Penternakan rumpai laut disokong kerajaan Indonesia dan Yayasan Kalimajari, sebuah badan bukan kerajaan diketuai pengarahnya, Gusti Agung Ayu Widiastuti yang membimbing petani daripada segi penanaman, pengeringan hingga penjualan rumpai laut kering kepada peraih kecil.

Industri itu kini dikembangkan ke beberapa daerah negara itu kerana memberi peluang pekerjaan kepada penduduk dan pendapatan besar kepada negara berkenaan.


Rumpai laut atau agar-agar hadir dalam warna hijau, coklat atau putih. Dikenali dengan nama saintifiknya Euchema cottoni atau Euchema kappayachus alvarezii, ia adalah tumbuhan akuatik yang hidup terapung di permukaan air.


Ekstrak rumpai laut digunakan untuk menghasilkan ‘carrageenan’ yang berfungsi sebagai bahan campuran dalam industri pembuatan cat, syampu, dakwat, tekstil, penyembur serangga, agen pembersih, bahan pengikat dalam industri pembuatan bahan letupan, bahan pengembang dalam industri makanan, industri farmasi (pengikat ubatan) dan bahan kosmetik.


Bagi Nyuman Subrata, 44, dari Desa Sawangan, kehidupannya jauh berubah selepas beralih daripada mengusahakan tanaman jagung, kacang dan soya kepada rumpai laut.


Jelasnya yang bekerja dari jam 5 pagi hingga 5 petang, pekerjaan dilakukan sejak 1992 itu menjanjikan pendapatan lumayan kepada petani, sekali gus merubah kesukaran masa lampau.


“Saya sangat suka kerja ini. Enak beradaptasi dengan alam. Bikin tenaga segar setiap hari kerana di laut, auranya banyak,” katanya.


Pekerjaan itu dibantu isteri dan anaknya. Rumpai laut dibersihkan daripada kotoran dan dikeringkan selama dua hari di waktu panas.

Harga bagi sekilogram rumpai laut kering ialah Rp10,000 (RM3.75). Pendapatan bersih diterima Nyuman sekeluarga ialah Rp2 juta (RM750) hingga Rp3 juta (RM1,125) sebulan selepas Rp500 ribu (RM187) diasingkan bagi membeli tali rafia mengikat benih rumpai laut untuk tanaman semula.


Warga emas, Ni Nyoman Kadin, 90, mengutip sisa rumpai laut yang dituai petani. Setiap bulan dia meraih 10 kilogram sisa rumpai laut yang dikeringkan dan dijual kepada pengumpul kecil.


Hidup dengan rumpai laut sejak 30 tahun lalu, Ni Nyoman bekerja untuk menyara diri sendiri dan mengisi masa lapang.


Ewayan Rontang, 44, bertukar pekerjaan daripada penternak lembu dan di sektor pelancongan di bahagian dobi kepada petani rumpai laut sepenuh masa kerana menjanjikan pendapatan lumayan.


Menurutnya, kerja menuai rumpai laut bergantung kepada pasang surut air laut.


“Kalau air surut jam 3 pagi, 3 pagi saya turun ke laut,” katanya.


Menurutnya, biarpun suasana gelap dan cuma berteman cahaya bulan, tidak menjadi masalah baginya menuai di waktu malam kerana terbiasa bekerja pada waktu itu.


“Apapun, saya lebih suka bekerja waktu siang biarpun kulit menjadi hitam,” katanya.


Ewayan mendapat Rp20 juta (RM7,500) sebulan hasil tuaian rumpai laut di 800 tali sepanjang enam meter.


Jaring terpaksa ditambah di tepi sempadan tali bagi mengelak ikan Baronang memakan rumpai lautnya. Ikan Baronang ialah musuh utama selain tumbuhan itu selain penyakit busuk batang atau dipanggil ice-ice (disebut ais ais) yang menyerang apabila berlaku perubahan cuaca mendadak dari musim panas ke musim hujan.


Meninjau aktiviti penternakan rumpai laut di Pantai Kutuh, petani melakukan kaedah pengeringan lebih baik iaitu menyidai rumpai laut.


Walaupun rumpai laut kering diperoleh lebih berkualiti, tempoh pengeringan memakan masa lebih lama iaitu tiga atau empat hari berbanding dijemur di atas kanvas.


Ada 300 ketua keluarga di Pantai Kutuh yang mengusahakan penternakan rumpai laut.


Nyoman Yasa, 44, berkata menternak rumpai laut satu-satunya mata pencarian yang menjanjikan pendapatan lumayan dan tidak memerlukan rawatan atau baja seperti mengusahakan sawah.


Ketua keluarga itu dibantu isteri dan anak, meraih pendapatan Rp5 juta (RM1,875) sebulan untuk 500 kilogram rumpai kering dari ladangnya.


Memulakan aktiviti mencari rumpai laut secara tradisional sejak 1987 dan bertukar kepada perladangan dengan teknologi dibawa Kalimajari dan sokongan kerajaan, Nyoman berpuas hati kerana pekerjaan itu mampu membiayai keperluan keluarga dan pendidikan anak. Anaknya belajar sehingga peringkat ijazah berkat rumpai laut.


“Rumpai laut akan membiak tiga kali ganda dalam masa 45 hari dan boleh dituai. Pekerjaan ini mudah dan hasilnya lumayan,” katanya yang mempunyai 1,500 tali sepanjang tiga meter bagi penternakan rumpai laut.


Menurutnya, walaupun hasil lumayan, petani perlu berdepan penyakit ice-ice yang berlaku pada Januari hingga Februari ketika peralihan musim panas ke sejuk.


Hari ketiga lawatan, penulis dibawa berkunjung ke Pantai Kalianget di Singaraja melihat kaedah ternakan rumpai ‘tali panjang’ (di dasar laut).


Berada pada kedalaman setengah hingga satu meter dari permukaan laut, saiz rumpai laut lebih besar dan cabang muda lebih kasar dan panjang. Masalah bagi kaedah penanaman ini ialah tali panjang rosak apabila dipukul ombak besar.


Ketua Kelompok Tani Rumput Laut Jaya Sari, I Nyoman Mendra, 42, mengusahakan 2 ½ hektar ternakan rumpai laut di Pantai Kalianget sejak 2000. Ada 40 petani mengusahakan ladang rumpai laut di situ.


“Dulu kami tidak mampu menonton televisyen, tetapi kebanyakan nelayan di sini menikmati kehidupan lebih baik. Daripada televisyen hitam putih, kami mampu membeli parabola duit hasil jualan rumpai laut. Kami juga mampu memiliki motosikal dan kereta.


“Jika dulu anak cuma bersekolah dasar (sekolah rendah), kini bersekolah SMA (sekolah menengah atas). Rumah pun sudah cantik dan selesa,” katanya.


I Nyoman pergi ke banyak tempat, termasuk Acheh dan Padang, untuk berkongsi pengalaman dan maklumat dengan nelayan dan penuntut universiti.


Pantai Kalianget menjadi kebun benih rumpai laut yang membekalkan benih rumpai laut kepada petani baru.


Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Algaetech Sdn Bhd (Algaetech), Syed Isa Syed Alwi, berkata rumpai laut berpotensi besar menjadi sumber ekonomi penduduk pesisir pantai Malaysia.


Selepas melakukan penyelidikan selama lima tahun, beliau yakin untuk memulakan tanaman ini secara besar-besaran di perairan negara. Kira-kira 1,000 nelayan akan turut serta dalam projek itu. Projek contoh seluas 0.405 hektar akan dibina di Pulau Pangkor dan Pekan.


Dalam merealisasikan projek itu, Algaetech dengan bantuan Sirim Berhad bekerjasama dengan Yayasan Kalimajari dalam pemindahan teknologi dan khidmat nasihat.


“Kaedah penanaman tumbuhan ini mudah kerana tidak perlu mengguna baja dan tanah. Cuma gunakan air laut sebagai ladang untuk menternak dan tiada masalah serangga perosak. Kami bersama wakil Sirim datang ke Bali untuk meneliti cara menternak rumpai laut. Kaedah di sini berbeza dengan yang dilakukan di Sempoerna, Sabah.


“Tujuan utama rumpai laut itu dimajukan ialah membantu nelayan pesisir pantai dan membasmi kemiskinan.


“Menjadi nelayan memerlukan modal seperti bot besar dan berdepan risiko laut bergelora di musim tengkujuh. Penanaman ini tidak memerlukan modal tinggi. Selain itu, mereka yang ingin memulakan projek ini boleh mendapatkan pinjaman daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) atau Fama,” katanya.


Menurutnya, Sirim sebagai rakan teknologi bekerja dengan mereka berminat membeli balik hasil rumpai laut.


“Rumpai laut cuma mengambil masa 40 hingga 45 hari untuk dituai. Jangka masa singkat untuk matang ini membolehkan petani laut meraih pendapatan memuaskan. Selagi ada benih rumpai laut diikat pada tali panjang, ia akan tumbuh dan cepat membiak,” katanya.


Mereka yang berminat menyertai projek ternakan rumpai laut boleh menghubungi pejabat Algaetech di talian 03-21440140 atau layari www.algaetech.com.my Sementara itu, Naib Presiden Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pemasaran Sirim Berhad, Asmadi Md Said, berkata pihaknya bekerjasama dengan Jabatan Perikanan membangunkan teknologi meningkatkan produktiviti rumpai laut.


“Teknologi hijau iaitu solar akan digunakan untuk mengeringkan rumpai laut. Ini bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di Malaysia,” katanya.


Menurutnya, Sirim bekerjasama dengan Universitas Hasanuddin, Makassar, menghasilkan produk makanan daripada rumpai laut.

No comments:

Post a Comment