Saturday, March 6, 2010

PENJINAK LEBAH

Penjinak lebah

Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my


POKOK Tualang tempat lebah membuat sarang.

Makan sirih atasi rasa gayat

MENGAMATI perbezaan bentuk fizikal kedua-duanya yang amat ketara, hati tertanya-tanya mampukah lelaki separuh abad bertubuh kurus itu menakluk sang tualang - pokok balak yang ketinggiannya melebihi 45 meter?

Namun seolah-olah debu ditiup angin, keraguan langsung terhapus sebaik menyaksikan sendiri kelincahannya mendaki tangga demi tangga buatan yang jaraknya separas pinggang ketika menunjukkan demonstrasi memanjat pokok tualang untuk mengambil madu lebah.

Ketinggian mencecah 45 meter pokok yang dipanjat dalam demonstrasi itu langsung tidak menimbulkan rasa gerun di hati Abdul Samad Ahmad, 51, selepas kira-kira enam tahun berpengalaman mengutip madu lebah tualang.

Seperkara menarik mengenai Abdul Samad yang mesra disapa Pak Samad ialah dia amat takutkan lebah ketika usia mudanya tetapi kini serangga itu menjadi rakan yang menyediakan lubuk rezeki buat mereka sekeluarga.

Pengalaman Pak Samad bermula dari bawah dengan menjadi tukang mengangkat barang dalam kumpulan pengumpul madu lebah yang disertainya kira-kira enam tahun lalu.

“Saya ditugaskan memasak dan mengangkat barang dalam kumpulan apabila tiba musim mengumpul madu. Malah mencari kayu untuk dipaku pada batang tualang sebagai takah atau tangga juga tidak dibenarkan. Bukan sebarang kayu boleh digunakan sebagai tangga kerana ia mesti liat dan tidak pecah apabila dipaku,” katanya.

Proses mengutip madu tualang bermula dengan membawa bekalan seperti beras, garam, gula, bawang, alas tidur, penukul, lampu picit, paku, tali besar seberat lapan kilogram dan tali kecil enam kilogram serta barang lain yang berkaitan ke kawasan berhampiran pokok tualang.

Pada waktu siang, kerja membuat takah atau tangga dilakukan dengan berhati-hati sehingga sampai ke dahan yang mempunyai sarang. Ia diikuti memasang tali besar dan tali kecil untuk kerja menaikkan palung untuk mengisi madu, kopi untuk pengutip di atas pokok dan sebagainya.

Kerja mengutip madu dilakukan selepas Isyak dan ada kala ia berlanjutan sehingga jam 6 pagi.

“Masing-masing ada kerja sendiri. Orang yang ditugaskan memasak, tidak akan membuat kerja lain. Begitu juga jika kerjanya menjaga tali besar dan tali kecil. Boleh dikatakan mereka tidak boleh meninggalkan kerja yang sudah diagihkan sehingga pengutip di atas pokok selamat tiba di bawah.

“Bukan calang-calang orang dapat melakukan kerja ini kerana ia memang mencabar dan tidak boleh tidur sepanjang malam. Jika rasa mengantuk, kami akan meminta kopi dan dinaikkan oleh rakan di bawah.

“Selalunya kerja bermula selepas Isyak dan berakhir pada jam 4 atau 5 pagi tetapi ada kala sehingga jam 6 pagi. Jika banyak sarang, kami bekerja sehingga tiga malam,” katanya.

Pak Samad berkata, selepas agak lama mengikuti kumpulan pengumpul madu lebah dia memutuskan untuk mencuba sendiri memanjat pokok tualang.

Mengaku takut dan terketar-ketar pada kali pertama memanjat pokok tualang, Pak Samad berjaya menghilangkan perasaan itu dengan mengamalkan petua mudah - makan sirih, pinang dan kapur tetapi jangan diludah.

“Mungkin pelik bagi orang lain tetapi ia berkesan kepada saya. Untuk berkata dapat menghilang sepenuhnya rasa takut mungkin keterlaluan tetapi saya semakin berani. Cuma apabila berada pada ketinggian 24 meter ada juga rasa bimbang apabila memandang ke bawah.

“Ada tiga jangan yang perlu dipegang oleh sesiapa yang mahu melakukan tugas ini iaitu jangan takut, jangan gayat dan jangan tidur. Namun saya perlu akui kami pengumpul madu tualang memang menggadai nyawa,” katanya.

Sebelum membentuk kumpulan sendiri dengan lima rakannya, Pak Samad terlebih dulu menyertai dua kumpulan lain tetapi meninggalkan mereka selepas tidak senang dengan amalan yang bertentangan dengan ajaran agama.

“Awal-awal lagi saya sudah beritahu tidak mahu terbabit dalam amalan syirik seperti membaca mantera dan menjamu penunggu dengan madu. Sudahlah madu susah hendak diambil, membazirkan pula dengan menjamu penunggu.

“Berikutan itu, saya memutuskan untuk menubuhkan kumpulan sendiri dan saya boleh jamin rakan-rakan saya dalam pasukan ini tidak mengabaikan solat. Itu yang penting,” katanya.

Kepakaran Pak Samad boleh dilihat menerusi kemampuannya mengenal pasti jenis madu, madu asli atau tiruan dengan cuma melihat dan menghidu. Ia diakui pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Padang Terap, Azmi Ishak, yang berkata ada ketika pihaknya meminta beliau mengenal pasti jenis madu dan apabila diuji ia bertepatan dengan apa yang dikatakan Pak Samad.

No comments:

Post a Comment