MINAT mendalam terhadap aktiviti berkebun akhirnya membuka lembaran baru kepada bekas kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nur Syahidah Sulaiman, 27, apabila muncul sebagai perintis tanaman menggunakan kaedah fertigasi di kampungnya sehingga mampu menjana pendapatan lumayan.
Bertempat di Felda Lepar Hilir Satu, Kuantan, Pahang, Nur Syahidah berkata, sebanyak 5,000 pokok cili kulai ditanam di kawasan seluas 0.72 hektar daripada jumlah keseluruhan 0.92 hektar tanah terbiar yang diperuntukkan Felda kepadanya.
“Tanaman menggunakan kaedah fertigasi lebih mudah berbanding tanaman biasa kerana saya tidak perlu menggunakan pekerja yang ramai, sekali gus menjimatkan kos penyelenggaraan,” katanya ketika ditemui di kebunnya, baru-baru ini.
Selepas empat bulan memulakan projek iaitu pada November lalu, Nur Syahidah kini sedang menuai hasil pertamanya dengan memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM2,500 seminggu bagi 380 kilogram cili kulai dan semerah (centil).
“Saya mensasarkan pendapatan bulanan sehingga RM11,000 dan yakin mencapainya kerana pokok sedang mengeluarkan hasil yang begitu banyak. Saya boleh mengutip antara 80 hingga 100 kilogram dalam sehari,” katanya.
Nur Syahidah berkata, modal pendahuluan berjumlah RM55,000 diperlukan iaitu pinjaman bank RM30,000 manakala selebihnya duit tabungan, suami dan keluarga. Nur Syahidah dibantu suami, Fairiz Abdul Hakim, 31, yang juga bekas kakitangan sebuah syarikat telekomunikasi berkata, dia tidak kekok bekerja di kebun kerana sudah didedahkan dengan kerja pertanian sejak kecil.
“Saya adalah anak peneroka dan selalu mengikut arwah ayah (Sulaiman Debok) dan ibu (Sofiah Mat) bekerja di ladang. Malah, saya juga berminat dengan tanaman pokok bunga.
“Kami berdua mempunyai minat yang sama di mana saya suka tanam pokok bunga dan Fairiz sendiri lahir daripada keluarga yang meminati bidang pertanian.
“Kedua-dua ibu bapa Fairiz juga memiliki kebun cili kulai fertigasi di rumah mereka di Subang, Selangor. Minat untuk mengusahakan tanaman ini bercambah sebaik saja kami mendirikan rumah tangga pada Mei tahun lalu,” katanya.
Sebagai pengusaha sepenuh masa, Nur Syahidah banyak menghabiskan masa di kebun dengan memeriksa tanaman, meracun serta membersihkan kawasan untuk memastikan pokok tumbuh dengan subur dan segar.
“Kerja ini tidak rumit sebenarnya, tetapi memerlukan kesungguhan dan ketelitian kerana saya perlu memastikan tanaman ini bebas daripada makhluk perosak, kulat atau sakit.
“Ketika sedang galak mengeluarkan buah, saya perlu bekerja lebih agresif, malah ada kalanya terpaksa meminta bantuan adik-adik dan ibu untuk mengutip cili,” katanya.
Nur Syahidah juga menjalankan kerja meracun dua kali seminggu, membersihkan ‘dripper’ untuk aliran aliran air ke bekas tanaman dan membersihkan kebun dua minggu sekali.
“Saya berada di kebun bermula pada jam 7 pagi sehingga 6.30 petang kerana ini adalah projek sulung yang memerlukan pemerhatian kami seratus peratus,” katanya yang menghantar hasil tanaman kepada pemborong di Kuantan dan Jaya Gading. Nur Syahidah juga menerima pesanan daripada orang perseorangan dan penduduk tanah rancangan yang mahu mendapatkan cili hasil tanamannya.
Pasangan suami isteri ini mengambil keputusan berhenti kerja untuk memulakan projek pertanian kerana yakin ia boleh menjana pendapatan lumayan dan mampu dikomersialkan dengan lebih meluas.
“Ketika ini hanya kami berdua mengusahakan tanaman secara komersial dan saya berharap lebih ramai golongan belia menceburi bidang pertanian.
“Ini kerana masih banyak kawasan tanah terbiar yang belum diusahakan di tanah rancangan ini.
“Saya sendiri mendapat sokongan penuh daripada Felda dan Jabatan Pertanian daerah Kuantan untuk memulakan projek ini. Sehingga kini mereka masih memantau dengan memberi khidmat nasihat dan sokongan moral bagi membantu meningkatkan jualan dan pasaran.
“Jelas terbukti bahawa berbudi pada tanah tidak sia-sia atau mendatangkan kerugian. Saya akan teruskan projek ini di samping beberapa projek berskala kecil yang lain seperti ternakan ikan puyu, tanaman pisang dan jagung,” katanya.
No comments:
Post a Comment