Wednesday, March 31, 2010

BIOGAS

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 29/03/2010

Sabah perintis guna biogas


Eric Sarabi menyalakan dapur yang disalurkan menggunakan Biogas hasil daripada najis lembu di Stesen Pembiakan Ternakan Sebrang Keningau, Sabah, semalam.


KENINGAU 28 Mac - Sabah bakal menjadi negeri pertama di negara ini mengunakan najis lembu secara meluas di kawasan luar bandar bagi menghasilkan tenaga elektrik dan gas memasak.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, kejayaan Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak (JPHPT) Sabah mempraktikkan penggunaan biogas itu akan diperluaskan.

"Sebelum ini saya pernah melawat di sebuah negara tetapi mereka hanya baru buat kajian tetapi apabila datang ke sini, ia sudah dipraktikkan.

"Jadi saya minta kementerian melalui jabatan veterinar membuat kajian secara mendalam dan kalau boleh kita cari kawasan-kawasan pedalaman yang mungkin sukar untuk mendapat elektrik dan gas," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pengagihan ternakan ruminan kali ke-empat di bawah program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) di stesen pembiakan ternakan JPHPT Keningau dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin; Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mohd. Mokhtar Ismail; Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin dan Pengarah JPHPT Sabah, Datuk Awang Sahak Pengiran Salleh.

Pada majlis itu Noh Omar menyampaikan sijil pengagihan 7,304 ekor ternakan ruminan kepada 250 penternak untuk dibiak baka.

Projek penyelidikan Biogas JPHPT Keningau dimulakan pada pertengahan tahun lalu dengan kos kira-kira RM30,000 melibatkan 30 ekor lembu.

Melalui projek tersebut najis lembu akan disimpan di dalam tangki simpanan khas bagi menghasilkan gas metanol yang mampu menghidupkan janakuasa elektrik dan menyalurkan gas memasak.

Menurut Noh, pihaknya bersedia menyalurkan peruntukan tambahan bagi memperluaskan projek tersebut di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar.

Bagaimanapun, katanya, projek tersebut akan mendapat bimbingan dan kerjasama daripada JPHPT yang telah berjaya mempraktikkannya.

"Melalui kaedah ini penduduk pedalaman akan dapat dua faedah iaitu boleh menambahkan pendapatan melalui ternakan dan kedua boleh meringankan beban mereka dengan mendapat elektrik percuma dan juga gas memasak percuma," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM68.2 juta tahun lalu untuk pembangunan industri ruminan bagi meningkatkan pengeluaran daging negara yang masih berada ditahap yang rendah.

Katanya, pada masa ini kadar sara diri negara bagi daging lembu ialah sebanyak 27 peratus manakala, bagi daging kambing pula hanya pada kadar 10.3 peratus.

"Statistik pada 2009 menunjukkan bahawa pengeluaran daging lembu dan kerbau Malaysia hanya 41,000 tan metrik berbanding penggunaan 152,000 ribu tan metrik.

"Pengeluaran daging kambing negara pula ialah hanya kira-kira 2,000 tan metrik berbanding penggunaan keseluruhan 22,000 tan metrik," katanya.

No comments:

Post a Comment