Monday, March 8, 2010

PENANAM PADI BERJAYA

UTARA

ARKIB : 25/01/2010

Fatimah dapat RM50,000 semusim hasil padi

PASIR MAS 24 Jan. - Walaupun berusia 56 tahun, Siti Fatimah Musa dari Kampung Chicha Tinggi di sini, tetap akan meneruskan usaha menanam padi selaras dengan matlamat 'pertanian itu adalah satu perniagaan.'

Bermula dengan kawasan tanaman padi seluas 0.9 hektar, kini ia dikembangkan sehingga 16 hektar dengan memperoleh pendapatan kira-kira RM50,000 semusim.

Siti Fatimah yang pernah memenangi Anugerah Peladang Jaya Negeri Kelantan tahun 2008 itu berkata, beliau mula mengusahakan padi sejak berusia belasan tahun dengan membantu ibu bapanya sebelum dikembangkan sehingga hari ini.

"Saya yakin memperoleh pendapatan yang sama tahun ini walaupun musim menabur benih baru-baru ini terpaksa berdepan dengan bencana banjir," katanya semasa ditemui pada Majlis Penutup Mesra Rakyat Pejabat Kemajuan Masyarakat (Kemas) bersama RTM di sini semalam.

Akibat bencana itu katanya, beliau terpaksa menabur benih sebanyak dua kali dan menyulam dengan anak benih di kawasan hampir 0.8 hektar.

Meskipun berhadapan dengan keadaan cuaca tidak menentu sejak akhir-akhir ini, beliau yakin hasil padi yang bakal dituai pada Mac ini mungkin meningkat berbanding tahun lalu.

Menyentuh tentang penglibatannya sebagai seorang petani, Siti Faitmah berkata, beliau menyewa kebanyakan kawasan tanaman padi itu daripada penduduk setempat.

"Saya mengupah untuk kerja membajak, menabur benih, meracun dan juga membaja," katanya.

Dalam usia sekarang katanya, beliau banyak menggunakan kemudahan jentera serta tenaga pekerja muda.

"Satu masa dahulu, saya juga turun ke sawah dan menyelesaikan masalah termasuk menyulam anak- anak padi yang rosak," jelas Ketua Unit Peladang Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kangkong itu.

Ibu kepada dua anak itu berkata, beliau tidak dapat melepaskan tanggungjawab mengetuai petani di Kampung Chicha Tinggi itu kerana mahu melihat hasil tanaman padi di kampung itu terus meningkat.

Beliau yang turut memantau tanaman padi di kampung itu berkata, hasil tanaman itu berjaya mengubah taraf hidup penduduk.

Katanya, ini kerana terdapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kelantan yang membantu sistem padi di kawasan berkenaan.

No comments:

Post a Comment