Lembu Itali lebih berkualiti
Oleh Sharifah Salwa Sayed Hassan
Berita Harian, 22 Nov 2006
Mani beku baka luar berharga RM36 setiap straw beri keuntungan lebih, mula digunakan tahun depan
MARANG: Penternak lembu di negeri ini bakal memiliki ternakan kelihatan berotot dan mempunyai lebih banyak daging apabila baka lembu jenis `Blue Belga' dengan harga hanya RM36 setiap satu straw mani beku, mula diedarkan tahun depan.
Baka daripada Itali itu dijangka menjadi pilihan penternak kerana memberi pulangan lumayan dengan berat melebihi lembu campuran baka Perancis yang mampu mencapai 400 kilogram seekor.
Sejak penggunaan bioteknologi melalui permanian beradas (AI) pada 1983, penternak lembu mampu mengecapi keuntungan lebih berbanding proses kelahiran anak lembu secara tradisional iaitu tanpa campuran baka import.
AI yang dilakukan dengan memasukkan sejenis alat bertali mengandungi hormon progesterone ke dalam faraj lembu betina hanya mengambil masa kira-kira 10 saat sebelum dibiarkan 11 hari bagi menunggu waktu `berahi'.
Pada hari ke-11, alat itu kemudian dicabut dengan menarik tali dan mani beku ternakan import dimasukkan dua hari kemudian serta mampu menghasilkan anak lembu jauh lebih berkualiti dalam tempoh sembilan bulan 10 hari.
Pengarah Jabatan Perkhidmatan Haiwan negeri (JPH), Dr Azizol Mohd Sharum, berkata lembu baka Itali jauh lebih baik berbanding lembu Kedah Kelantan (KK) yang hanya mencapai berat 200 hingga 250 kilogram seekor.
Beliau berkata, ketika ini JPH menggunakan tiga baka campuran Perancis dikenali `charolais', `limousine' dan `angus' yang lebih murah iaitu RM29.40.
"Bagaimanapun, lembu campuran Itali kelihatan berotot dan mempunyai lebih banyak daging daripada lembu campuran Perancis yang dua kali ganda lebih banyak daripada lembu KK," katanya.
Katanya, dengan kemajuan bioteknologi, JPH membantu penternak menambahkan pendapatan dengan menganjurkan program AI menggunakan baka lembu Itali itu yang akan tiba ke negara ini tidak lama lagi.
Dr Azizol berkata, JPH kini menganjurkan AI secara berkelompok bermula Julai lalu yang boleh menjadikan sekumpulan lembu bunting dan melahirkan anak lembu pada masa hampir sama.
"AI dapat mengelak lembu melakukan pembiakan dengan lembu yang mempunyai pertalian keluarga seperti ibu dengan anak yang menjadi antara punca lembu dihasilkan kurang berkualiti.
"Selain itu penternak boleh membuat persediaan untuk menjaga anak lembu yang baru lahir kerana tarikh kelahiran boleh dijangka," katanya.
Beliau berkata, Terengganu adalah negeri perintis melakukan AI secara berkelompok dan sudah dijalankan di beberapa kawasan di Besut, Setiu, Dungun dan Hulu Terengganu.
"Baru-baru ini, kami menjalankan AI di Kampung Telaga Air, Marang membabitkan 163 lembu betina dan pemeriksaan kesihatan kira-kira 30 lembu jantan dan anak lembu sebelum diteruskan di daerah lain," katanya.
Penternak, Mohd Ismail, 55, dari Kampung Jambu Bongkok, berkata langkah JPH itu membantu penternak meraih hasil lebih tinggi.
"Ini adalah kali pertama lembu kami menjalani AI dan kami percaya ia akan memberi pulangan lebih baik kerana lembu lebih besar berbanding sekarang.
"Kami juga dapat merancang bekalan lembu untuk masa depan serta menguruskan perbelanjaan dengan lebih tepat," katanya.
FAKTA NOMBOR: Baka lembu
· 400 kg - Berat lembu baka Perancis
No comments:
Post a Comment