ARKIB : 23/12/2008
Pemuda peroleh RM8,000 sebulan hasil tanam terung
|
|
MELAKA 22 Dis. - Siapa sangka hanya dengan mengusahakan tanaman terung, seorang pemuda dari Kampung Tambak Paya, Ayer Molek di sini memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan.
Itulah yang dikecapi oleh Mohd. Zawahir Mahadi, 25, yang mengusahakan tanaman tersebut di atas tanah seluas 2.02 hektar bersama rakannya, Amirul Amri Sumadi, 23, sejak dua tahun lalu.
Menurut beliau, tanah milik keluarganya itu telah dimanfaatkan dengan menanam pelbagai jenis tanaman sayur-sayuran untuk tujuan komersial dan hasil yang diperoleh sehingga kini amat memberangsangkan.
''Kami bersyukur hasil usaha kami selama ini telah membuahkan hasil dan kami tidak menyangka melalui tanaman terung sahaja kami memperoleh RM8,000 sebulan.
''Terung kini mendapat permintaan yang tinggi memandangkan bekalan yang ada dipasaran tidak mencukupi," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Zawahir berkata, selain terung mereka juga mengusahakan tanaman sayuran lain seperti kacang buncis di samping tanaman kontan seperti keledek, ubi kayu, keladi, tebu dan lain-lain.
Katanya, sepanjang mengusahakan tanaman tersebut, mereka mendapat bimbingan daripada Jabatan Pertanian negeri.
Sementara itu, Amirul berkata, mereka berdua sendiri turun padang dan memanfaatkan tenaga muda bagi memastikan matlamat untuk menjadi petani berjaya dapat dicapai.
Bagaimanapun, beliau mengakui untuk berjaya dalam bidang tersebut bukan mudah kerana banyak cabaran yang perlu dihadapi dan perjalanannya juga masih terlalu jauh.
''Tetapi saya anggap inilah pekerjaan terbaik bagi kami berdua kerana hasil jualan telah pun kami kecapi walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran khususnya daripada serangga perosak," kata beliau.
No comments:
Post a Comment