ARKIB : 09/12/2009
Dulu Yem diejek, kini petani berjaya
|
|
SETIU 8 Dis. - Ejekan rakannya kerana bekerja sebagai penanam tembikai dengan bangsa asing tidak mematahkan semangat seorang petani, Ali Abdul Ghani, 40, untuk menceburi bidang pertanian.
Sebaliknya, beliau yang berasal dari Kampung Telaga Papan, dekat sini, yang lebih dikenali dengan panggilan Yem di kalangan masyarakat setempat menganggap kata-kata seumpama itu adalah pembakar semangatnya.
Kini, ternyata ejekan sembilan tahun lalu itu telah mendorong Yem berjaya dalam bidang pertanian apabila memperoleh purata pendapatan lebih RM3,000 sebulan.
Malah, kini, selain mengusahakan tanaman tembikai, beliau memiliki tanah kelapa sawit seluas 11 hektar yang dibeli secara berperingkat-peringkat daripada penduduk kampung itu.
Semua kejayaan itu diperoleh ekoran sikap berjimat cermat yang diamalkan Yem sejak dahulu lagi selepas beliau bekerja dengan seorang pengusaha Taiwan yang mengusahakan projek tembikai di kampung itu pada 2000.
Yem berkata, beliau bekerja dengan pengusaha Taiwan itu dengan gaji sebanyak RM25 sehari.
Menurutnya, walaupun gajinya kecil tetapi apa yang penting beliau dapat bekerja dengan pengusaha itu untuk mempelajari kaedah serta teknik penanaman tembikai.
''Saya tidak kisah walau ada kawan-kawan menyindir kerana menjadi kuli bangsa asing, mereka tidak faham saya bekerja di situ untuk mendalami bidang penanaman tembikai.
''Selama setahun bekerja di situ dan dalam tempoh itu saya secara tidak langsung dapat mengetahui cara menanam tembikai yang lebih bagus," katanya ketika ditemui di Kampung Telaga Papan dekat sini, baru-baru ini.
Dengan pengalaman baru yang diperoleh itu, Yem yang mempunyai enam orang anak kini mengusahakan sendiri tanaman tembikai.
Pada mulanya beliau menghadapi pelbagai masalah seperti modal serta kawasan tanah untuk mengusahakan tanaman itu.
Bagaimanapun, katanya, pengusaha Taiwan itu membantunya dengan menyediakan benih dan baja manakala tanah disewa daripada penduduk.
''Hasil pengeluaran pertama daripada tanaman itu amat membanggakan kerana tembikai yang diusahakan di kawasan seluas empat hektar itu mengeluarkan hasil hampir 80 tan metrik.
''Dengan kejayaan ini, saya bersemangat untuk meneruskan projek pertanian ini setiap tahun sehingga sekarang walaupun terpaksa menyewa tanah penduduk kampung," ujarnya.
Yem mengambil beberapa pekerja untuk membantunya memungut hasil buah tembikai dan menyemai benih tembikai serta lada.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pegawai dari Jabatan Pertanian Daerah Setiu yang sering membantunya dengan memberikan khidmat nasihat.
Bidang pertanian jelas beliau, boleh memberikan keuntungan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh tetapi adakalanya ia merugikan jika tanaman itu diserang penyakit atau berlaku bencana alam.
Begitupun, katanya, setiap petani perlu merancang serta mengkaji kesesuaian kawasan tanah dan keadaan cuaca sebelum mengusahakan sesuatu projek pertanian.
Menurut Yem, beliau biasanya menanam tembikai pada awal tahun di kawasan tanah seluas empat hektar hingga lima hektar dengan memperoleh hasil pendapatan 80 tan hingga 100 tan metrik setiap tahun.
Ini kerana pada masa itu, jelasnya, tiada banjir dan hujan kurang justeru tanaman tidak mengalami kerosakan.
Manakala pada Julai atau Ogos, Yem tidak lagi menanam tembikai sebaliknya mengusahakan tanaman lain seperti sayuran dan terung di kawasan seluas 0.8 hektar sahaja.
Menurutnya, biarpun tanaman terung itu diusahakan secara kecil-kecilan tetapi hasilnya dapat dipungut selama empat hingga enam bulan sekali gus dapat menampung perbelanjaan keluarganya.
No comments:
Post a Comment