Friday, December 25, 2009

JANA PENDAPATAN LUMAYAN

AGROBIZ

ARKIB : 06/03/2009

Hasil cili lumayan

Walaupun pernah gagal mengusahakan tanaman cili merah sebelum ini, Abd. Latif Mohd. Yusof, 48, tidak pernah kenal erti putus asa.

Sebelum ini, tanaman cili yang diusahakan di Paya Kangsar, Jerantut, Pahang diserang dengan pelbagai jenis penyakit yang menyebabkan cili yang tidak dihasilkan tidak bermutu dan terpaksa dimusnahkan.

Biarpun gagal buat kali pertama, Abd. Latif tetap dengan usaha terus mengusahakan ladang cili kulai merah di tanah seluas lima ekar secara sambilan di Kampung Perian, Jerantut, Pahang.

Beliau yang membeli benih cili merah kulai di sekitar Jerantut mengusahakan ladang cili buat kali kedua memilih tanaman ini kerana harga cili yang tinggi dan permintaan yang semakin meningkat.

Walaupun baru enam bulan ditanam, cili merah yang ditanam telah mula mengeluarkan hasil kira-kira 500 kilogram cili sehari.

Beliau memasarkan cili merahnya kepada pemborong yang datang dari pasar Jerantut, Pasar Tani dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

Bekerja sepenuh masa sebagai pemborong getah, Abd Latif berkata, tanaman cili merah memerlukan penjagaan yang rumit.

Katanya, tanaman cili merah amat terdedah kepada pelbagai risiko penyakit akibat hama, kulat, virus dan serangan pelbagai jenis serangga perosak.

"Sejak mula ditanam sehingga berbuah selepas empat bulan, pokok cili merah memerlukan kos penjagaan yang tinggi sekitar RM40,000 sehingga mengeluarkan hasil," katanya semasa ditemui di ladangnya, baru-baru ini.

Pokok cili memerlukan penjagaan dan pengurusan yang rapi dengan semburan racun serangga dilakukan setiap tiga hari.

Beliau yang mempunyai enam pekerja, menjalankan tugas pembajaan setiap minggu selain penyiraman setiap petang.

Ketika ditanya mengapa tidak mempelbagaikan tanaman dengan cili padi, Abd Latif berkata, cili padi memerlukan tenaga pekerja yang lebih banyak untuk tugas-tugas memetik cili.

"Walaupun harga cili padi lebih tinggi tetapi masa memetik cili lebih lama berbanding cili merah," katanya.

Beliau berhasrat untuk membesarkan lagi keluasan ladang cili merahnya kerana mengeluarkan hasil dalam tempoh lebih lama.

Pokok cili, kata Abd Latif, boleh mengeluarkan hasil sehingga setahun sebelum ditanam semula.

"Selepas ini, saya akan tetap terus menanam cili merah sehingga saya boleh dikatakan penanam cili merah yang berjaya di daerah Jerantut, Pahang.

"Saya akan berusaha mengawal semua jenis penyakit dan serangga yang menyerang pokok cili merah," katanya.


KELUARGA

ARKIB : 20/06/2008

Cili fertigasi beri hasil lumayan


Mohd Nasir Ibrahim, (dari kiri) Fakharudin Mat Ali, Mohd Sallehuddin Ibrahim, Suhaimi Latif, Mohammad Ibrahim, Nazri Abdul Majid berjaya menghasilkan purata setan sehari mengutip cili fertigasi di Kampung Hujung Bandar, Sik, Kedah.


“Daripada merempit di luar sana lebih baik anak muda menceburi bidang pertanian yang boleh memberi hasil yang lumayan.’’ Itulah nasihat daripada ketua projek teknologi penanaman cili secara fertigasi, Mohd. Nasir Ibrahim, 29, yang tidak mahu melihat anak-anak muda terus hanyut dan leka membuang masa tanpa melakukan perkara yang boleh mendatangkan manfaat.

Justeru , dia bersama dua saudara, Salehuddin Ibrahim, 26, Mohd. Ibrahim, 32, beserta tiga sahabatnya iaitu Shuhaimi Latef, 40, Fakharudin Mat Ali, 30, dan Nazri Abdul Majid, 39, mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang penanaman cili secara sambilan kerana mahu meningkatkan pendapatan melalui bidang pertanian.

Jika dahulu purata pendapatan mereka hanya di bawah RM1,000 setiap bulan, namun setelah menyertai projek perintis dalam kawasan pembangunan pertanian daerah Sik pendapatan setiap daripada mereka menjangkau RM3,000 sebulan dan purata setahun keuntungan yang diperoleh hasil penjualan cili boleh mencecah RM16,000.

Menurut Nasir yang juga menjalankan kerja-kerja pendawaian di sekitar Sik, sebelum menyertai projek teknologi penanaman cili secara fertigasi, dia hanya menanam cili dengan menggunakan kaedah penanaman tradisional dan hasilnya kurang memuaskan.

“Setelah mengikuti projek ini kami dapati hasil pengeluaran cili bertambah dari semasa ke semasa dan hasilnya semakin baik.

“Kini dalam sehari, kami boleh mengutip sehingga satu tan cili bagi setiap lot tanah dan cili itu dijual terus kepada pemborong,” katanya ketika ditemui di ladang mereka di Kampung Hujung Bandar, Sik, Kedah, baru-baru ini.

Menurut Nasir, projek ini adalah kerjasama daripada agensi-agensi yang berada di bawah Kementerian Perindustrian dan Asas Tani seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah MoA Inc.

Sebagai contohnya, MARDI memberikan khidmat nasihat dan input seperti baja, racun dan sebagainya dan membantu dari segi teknologi bagaimana mahu menghasilkan cili yang bermutu tingi.

Ujar Nasir, mereka memilih cili kerana menyedari ia merupakan sayuran jenis berbuah yang popular dan mendapat permintaan yang tinggi di pasaran walaupun harganya sentiasa turun dan naik kerana kemasukan cili daripada luar negara seperti daripada Thailand.

Katanya, sewaktu memulakan projek ini pada tahun 2004, harga cili mengalami kemerosotan yang teruk sehingga jatuh kepada RM1 sekilogram akibat lambakan cili daripada luar.

“Pada waktu itu, memang kami rasa sedih kerana pulangan yang diperoleh tidak berbaloi dengan kudrat kami kerana ia begitu sedikit sehingga kami terfikir untuk menarik diri.

“Namun kerana minat yang mendalam kami tetap teruskan dan semakin lama, harga cili semakin baik dan kini ia mencecah RM5.80 sekilogram dan ini boleh membuatkan kami tersenyum lebar kerana kesabaran kami tidak sia-sia,” katanya.

Projek yang memasuki fasa ketiga ini sedang dituai hasilnya setelah pokok cili variati 568 ditanam pada Di“sember tahun lalu.

“Setiap daripada kami diberi lot tanah masing-masing yang mana setiap seorang menjaga 3000 pokok iaitu 800 beg di bawah struktur pelindung hujan dan 2,200 beg secara terbuka tanpa pelindung hujan.

“Kaedah penanaman cili secara fertigasi memudahkan kerja kami di ladang dan memendekkan waktu kami di ladang kerana sistem pengairan dan pembajaan dilakukan melalui mikro tiub dan dijalankan secara automatik," ujarnya.

Katanya, mereka menggunakan medium tanaman yang terdiri daripada sekam wap yang diperoleh daripada kilang padi di sekitar Alor Star dan sekam bakar tersebut ternyata baik bagi pembesaran anak pokok cili.

Nasir memberitahu, pihak MARDI menggalakkan mereka untuk menanam cili jenis variati 568 kerana ia mempunyai bentuk buah seperti kulai dan mudah dipasarkan.

Selain itu, katanya, buah itu sangat pedas serta pokok mengeluarkan buah yang berterusan dan mula masak di peringkat empat pengeluaran buah iaitu 70-75 hari selepas dipindahkan ke ladang.

Tambahnya lagi, pokok cili varieti 568 juga mempunyai bentuk yang tegap dengan sistem pendahanan yang banyak, seimbang, kuat dan tidak mudah patah selain tidak memerlukan sokongan pada setiap dahan.

“Pokok yang sederhana tinggi dan mudah dipetik menjadikan varieti ini menjadi pilihan penanam dan jangkamasa pemetikan adalah panjang iaitu sehingga tiga bulan,” ujarnya.

Jelas Nasir, mereka menjalankan pemasaran cili sendiri di sekitar Kedah, Pulau Pinang hingga ke sekitar Lembah Klang.

Setakat ini katanya, hasil daripada penjualan cili tidak pernah menghampakan mereka dan tahun ini mereka menjangkakan akan beroleh keuntungan sekitar RM18,000 kerana harga cili meningkat di pasaran.

“Kami hanya memperuntukkan masa selama dua hingga tiga jam di ladang kami untuk memantau pokok-pokok cili.

“Masa yang selebihnya boleh digunakan untuk melakukan pekerjaan lain kerana masa muda inilah kita perlu bekerja kuat untuk masa depan,” katanya.

Menurut Timbalan Pengarah Program Pembangunan Usahawan MARDI, Khadzir Darus, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dan keusahawan kerana ia boleh mendatangkan hasil yang lumayan kepada pengusahanya.

“Lihat sahaja enam anak muda di Sik yang mengusahakan tanaman cili secara fertigasi, mereka membuktikan anak kampung juga boleh berjaya dengan usaha sendiri.

“Malah mereka juga memberi peluang pekerjaan kepada penduduk kampung yang mengambil upah memetik cili di ladang mereka," katanya ketika melawat ladang Nasir dan rakan-rakannya di Sik baru-baru ini.

Menurut Khadzir, pihak MARDI juga sedang berbincang dengan Nasir dan rakan-rakan untuk memberikan peluang kepada mereka supaya mengikuti kursus dalam pembuatan sos cili supaya kepakaran mereka dalam tanaman cili boleh diperluaskan lagi.

No comments:

Post a Comment