ARKIB : 17/12/2008
Tingginya nilai burung unta
|
|
KOTA TINGGI 16 Dis. - Kreativiti dalam menghasilkan produk kraftangan terutamanya daripada bahan-bahan yang dianggap tidak lagi bernilai sememangnya cukup istimewa dan luar biasa.
Dengan kreativiti yang tersendiri, maka perhiasan yang menawan seperti cenderamata dan produk perniagaan dapat dihasilkan sebagai satu alternatif baru kepada masyarakat untuk membelinya.
Namun bunyi sedikit pelik, tetapi begitu mengujakan apabila pertama kali mengetahui produk-produk menarik itu yang dihasilkan daripada burung unta.
Jika anda salah seorang penggemarnya, keunikan dan keindahan hasil produk dan kraf tangan burung unta itu boleh didapati di The Ostrich Desaru Showfarm yang terletak di Desaru, dekat sini.
Pengunjung yang melawat ladang penternakan burung unta tersebut bukan sahaja akan terpegun dengan hasil kraftangan yang dipamerkan bahkan boleh membelinya sebagai tanda kenangan peribadi.
Antara barangan yang dipamer dan dijual di situ ialah kasut, tali pinggang, beg tangan, lampu perhiasan dan ukiran.
Konsultan ladang itu, Colin Teh berkata, barangan kraftangan tersebut diperbuat daripada kulit, telur dan bulu burung unta sebagai usaha menghargai nilai tambah yang terdapat pada haiwan tersebut.
Katanya, orang ramai yang berminat untuk membeli barangan berkenaan boleh membelinya dengan harga berpatutan walaupun ada yang mencecah sehingga RM1,000.
"Para pembeli tidak akan merasa rugi dengan pembelian itu memandangkan barangan kraf yang dihasilkan adalah unik, berkualiti tinggi dan cantik.
"Barangan yang dihasilkan ini diproses di Kuala Lumpur oleh syarikat-syarikat terkenal dengan penghasilan produk yang diiktiraf ramai," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di ladangnya baru-baru ini.
Teh memberitahu, The Ostrich Desaru Showfarm turut memberi pilihan kepada pengunjung apabila menawarkan daging segar burung unta.
Katanya, para pengunjung boleh mencuba keenakan makanan berasaskan burung unta seperti sate, telur dadar dan burger yang pastinya jarang diperoleh di tempat lain di negara ini.
"Sebenarnya daging burung unta mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak diketahui ramai kerana memiliki kolestrol rendah.
"Pada masa yang sama, pengunjung beragama Islam tidak perlu ragu-ragu kerana makanan yang disediakan adalah halal dan bersih," katanya yang turut memberi peluang kepada penulis dan jurugambar, Raja Jaafar Ali mencuba sate dan telur dadar burung unta itu.
Teh berkata, ladang tersebut dibuka dari pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari dan pengunjung juga boleh menyaksikan sendiri pelbagai pertunjukan menarik di samping mempelajari habitat burung unta.
Katanya, hingga kini The Ostrich Desaru Showfarm yang diusahakan sejak 2001 menempatkan 360 ekor burung unta dan tiket lawatan dikenakan hanya RM10 bagi dewasa dan RM6 bagi kanak-kanak.
Mereka yang berminat mengetahui lebih lanjut mengenai ladang itu boleh melayari laman web www.geocities.com/ostrichwonderland atau menghubungi 07-8265846 dan 016-7708544.
No comments:
Post a Comment