Tuesday, December 29, 2009

GRADUAN UPM PETANI BERJAYA

Mohd. Shahrul lulusan UPM usahawan tani berjaya

Oleh OPAT RATTANACHOT
Utusan Malaysia, 13 Mei 2008

KULIM 12 Mei - Ketika rakan-rakan lain memilih kerja makan gaji selepas menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia (UPM), namun bagi Mohd. Shahrul Daud, dia lebih senang menggunakan ilmu yang dipelajari untuk menceburi bidang usahawan tani.

Lulusan Diploma Pertanian yang berusia 25 tahun itu memilih untuk mengusahakan sembilan projek pertanian dan asas tani di beberapa lokasi sekitar Kulim.

Projek tersebut ialah menternak lembu tenusu, lembu pedaging, itik telur, tanaman pisang berangan dan emas, tanaman nenas, tanaman fertigasi (cili merah dan terung), produk hiliran (telur masin dan dadih) dan baja kompos.

Menurut Mohd. Shahrul, penglibatan aktif dalam bidang pertanian bermula kira-kira tiga tahun lalu setelah melihat potensi luas di samping teruja dengan konsep Pertanian Adalah Perniagaan yang diperkenalkan kerajaan.

''Saya menamatkan pengajian dari UPM pada tahun 2004. Apabila memikirkan ilmu yang dipelajari ketika menuntut di UPM, saya memberanikan diri berhenti kerja dan masuk ke bidang pertanian,'' katanya ketika ditemui di ladangnya, MND Agroternak Farm di Kampung Tok Rasul di sini hari ini.

Mohd. Shahrul memberitahu, bermodalkan duit gaji sebanyak RM2,400, dia mengambil keputusan membeli dua ekor lembu pedaging.

''Sekarang lembu pedaging daripada dua ekor, sudah bertambah kepada 45 ekor,'' katanya.


MOHD. Shahrul Daud bersama itik jawa dan lembu ternusu peliharaannya di Kampung Tok Rasul, Kulim, Kedah.

Katanya, tanpa berasa jemu, dia kemudian mencuba pula kaedah menternak lembu tenusu dan jumlahnya kini meningkat kepada 25 ekor.

''Dengan jumlah itu, ia cukup untuk menghasilkan 45 hingga 60 liter susu segar setiap hari, kini tidak pernah cukup kerana mendapat sambutan hangat dari restoran dan kedai-kedai sekitar kawasan ini,'' jelasnya.

Mohd. Shahrul yang pernah memenangi hadiah Anugerah Usahawan Majlis Amanah Rakyat (Mara) Kedah 2007 dan Anugerah Belia Kedah 2007 (Wira Tani) berharap dapat menambah bekalan susu pada masa akan datang.

Sementara itu, Mohd. Shahrul turut menternak lebih 1,000 ekor itik jawa yang mampu menghasilkan telur kira-kira 750 butir sehari.

No comments:

Post a Comment