Friday, December 25, 2009

CILI

AGROBIZ

ARKIB : 11/09/2009

Waiz Kashifi puas ceburi pertanian


Waiz Kashifi menunjukkan pokok cilinya yang setinggi 12 kaki.


MEMPUNYAI pendapatan tetap sebagai juruteknik di bahagian pembangunan dan kajian Power Train, Proton selama 17 tahun belum dapat memberi kepuasan kepada Waiz Kashifi Abdul Rauf, 34 tahun.

Jiwa lelaki ini nampaknya lebih cenderung ke arah pertanian, mendorongnya berhenti kerja.

Namun demikian, pengalaman dan pengetahuan yang dimiliki dalam bidang automotif tidak dipersia-siakan apabila dia membawa ilmu tersebut ke dalam bidang pertanian.

''Dengan penggunaan teknologi seperti yang terdapat dalam sistem automotif, bdang pertanian dapat dipertingkatkan,'' katanya bersemangat semasa ditemui di kebun kajiannya di Tabika Kemas, Seksyen 17, Shah Alam yang dijadikannya tempat latihan para belia dalam bidang pertanian.

Waiz Kashifi yang mengakui mempunyai sedikit pengetahuan dalam asas pertanian ketika itu sanggup mencuri masa mempelajari tentang pertanian ketika dihantar berkursus di luar negara oleh syarikatnya bekerja waktu itu.

''Apabila dihantar bertugas di luar negara seperti Australia, Sweden dan sebagainya, saya akan mengambil cuti untuk melawat ladang-ladang pertanian di sana.

''Saya tertarik dengan teknologi yang mereka gunakan dan ingin mempelajari agar disesuaikan dengan negara kita,'' katanya yang pernah ke Jepun pada 2004 untuk mempelajari bidang biologi.

Di kebun, kajian ini yang hanya sebesar sekangkang kera atau pun sebesar kawasan tepi rumah teres biasa, Waiz Kashifi dilihat sibuk mengajar seramai kira-kira 20 orang belia daripada seluruh negara mengenai kaedah penanaman yang dapat memberikan hasil yang di luar jangkaan.

Lebih menarik ialah melihat sepohon pokok cili merah yang setinggi 12 kaki dan menjulang tingginya.

Pokok cili yang lebat berbuah ini menjadi tarikan sesiapa sahaja yang ke situ. Jika ingin memetik buahnya, terpaksalah anda berdiri di atas kerusi.

Selain cili tinggi itu, terdapat banyak lagi tanaman seperti cili api, rock melon, tomato, kobis, peria, limau nipis, limau kasturi, mangga, cili benggala dan pokok sayur kambas yang telah berusia lapan bulan namun masih berbuah lebat.

Menurutnya lagi, di kebun itu, belia yang datang belajar di situ akan diajar cara membuat baja, penggunaan enzim, penguraian mikro, kaedah tanaman cara sihat dan sebagainya.

''Pada masa ini terdapat seramai 60 orang pelajar daripada sekitar Selangor yang belajar di sini. Selain belia, ramai juga warga emas yang belajar di sini.

''Di sini kami mengamalkan sikap hak bersama yang mana masalah akan dikongsi bersama. Contohnya ladang adalah milik belia sementara saya mengajar mereka daripada segi teknikal.

''Selain itu adalah penting mempelajari keperluan pokok dan kita yang menanam boleh menentukan atau merancang hasil yang diingini seperti sebatang pokok cili boleh berbuah sehingga empat kilogram. Sebab itu di sini ada pokok paling tinggi dan paling rendah kerana kita boleh menentukannya.

''Di sini juga saya merawat pokok-pokok sakit yang dihantar oleh pelanggan seperti pokok anggur, cili dan sebagainya. Setelah pokok-pokok itu subur, pemiliknya akan datang mengambilnya semula,'' katanya yang banyak mendapat jemputan mengajar di seluruh negara termasuk daripada institusi pengajian tinggi awam.

Katanya lagi, apa yang dilakukannya ini adalah untuk membantu belia dalam bidang pertanian agar mereka memperoleh pendapatan lumayan.

Cuma apa yang diharapkan agar usaha mereka ini mendapat sokongan daripada pihak kerajaan.


KELUARGA

ARKIB : 31/10/2008

Semerah cili varieti baru


Abdullah Ahmad Badawi mengisytiharkan cili varieti baru dinamakan Semerah pada majlis Perhimpunan Warg Tani 2008 di Serdang baru-baru ini sambil diperhatikan oleh Mustapa Mohamad (kiri) dan Dr. Abd. Shukor Abdul Rahman.


Bagi masyarakat Malaysia tidak lengkap rasanya sekiranya makanan yang disajikan tidak ditambahkan dengan kepedasan dan keenakan rasa cili merah atau cili padi.

Ini kerana, rata-rata rakyat di negara ini, tidak mengira bangsa memang sudah ‘biasa’ dengan makanan pedas.

Ini satu senario yang menunjukkan adanya peningkatan dari segi permintaan individu mahupun pembukaan industri perusahaan produk berasaskan cili yang kian banyak diusahakan, sebagai contoh industri sos cili.

Namun, tahukah anda bahawa negara terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang besar bagi tujuan mengimport cili demi memenuhi keperluan permintaan cili padi tempatan.

Pada 2001, Malaysia membelanjakan RM39 juta bagi tujuan mengimport cili dari Thailand.

Di samping itu, berdasarkan maklumat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) 2004, kemasukan cili padi dari Thailand mencecah 100 tan metrik seminggu.

Ini berlaku berpunca daripada kekurangan pengusaha tempatan untuk menceburi serta mengusahakan sektor penanaman cili padi atau lebih dikenali dengan cili kampung ataupun dipanggil burung di negara ini.

Pada masa yang sama, faktor varieti atau benih yang kurang berkualiti menjadi punca utama mengapa produktiviti cili tempatan tidak dapat berkembang maju.

Menerusi benih yang biasa dan tidak berkualiti, tempoh matang menjadi panjang, hasil produktiviti juga berkurangan, mudah terdedah kepada jangkitan penyakit dan virus selain berbuah tidak menentu masa.

Maka ini jelas membantutkan sektor perusahaan cili padi tempatan sekali gus mempengaruhi hasil pengeluaran cili bagi memenuhi keperluan dan permintaan cili negara.

Faktor tersebut juga mempengaruhi perusahaan tersebut hanya dijalankan di ‘belakang rumah’ dan kecil-kecilan sekali gus menyebabkan ia tidak dikelolakan secara komersial oleh masyarakat.

Oleh yang demikian, selari dengan tanggungjawabnya, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif dalam menjalankan penyelidikan yang komprehensif terhadap pembangunan varieti atas cili padi.

Penyelidikan

Hasil usaha dan penat lelah sekumpulan tenaga penyelidik MARDI selepas menjalankan penyelidikan selama 17 tahun ke atas pembangunan varieti cili padi.

Satu varieti cili padi baru yang diberi nama Semerah itu telah berjaya dihasilkan dan keputusannya amat membanggakan.

Penghasilan Semerah itu juga telah meletakkan revolusi pertanian negara untuk maju setapak lagi sekali gus membawa banyak kelebihan dan juga impak ekonomi yang positif bukan sahaja kepada para petani malah kepada kerjaan kita sendiri.

Menurut Penyelidik Prinsipal Biak Bakaan Pusat Penyelidikan dan Hortikultur MARDI, Dr. Melor Rejab, hasil pembangunan varieti cili terbaru itu jelas berupaya untuk membangunkan serta mempertingkatkan pengeluaran hasil cili padi tempatan kerana dari varieti tersebut ia mendatangkan banyak kelebihan dan keistimewaan.

“Antara keistimewaan Semerah adalah seperti ia berkemampuan untuk mendatangkan hasil yang lebih banyak, mempunyai tempoh matang yang lebih singkat dan mampu berbuah secara serentak.

“Cili padi (Semerah) ini adalah hasil pembangunan varieti bagi menghasilkan cili baru dari genotip yang berasal dari luar negara,’’ katanya ketika ditemui di Perhimpunan Warga Tani 2008 yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, baru-baru ini.

Cili varieti baru itu diisytiharkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan disaksikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed dan Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Abdul Shukor Abdul Rahman.

Jelas Dr Melor, varieti Semerah dibangunkan melalui kaedah pemilihan baka sepokok (SSD) daripada bahan genetik dari Mexico.

Berdasarkan morfologi buah dan bunga, cili Semerah tergolong dalam spesies Capscium annuum.

Tambah beliau lagi, pewujudan varieti cili Semerah nyata boleh dimanfaatkan oleh para pengusaha dan juga negara dari segi kualiti dan kuantiti yang mampu dihasilkannya selain dijamin mutunya.

Menariknya, varieti Semerah itu mampu menghasilkan produktiviti lebih dua atau tiga kali ganda berbanding varieti cili padi biasa.

Lebih membanggakan, cili Semerah ini juga berbuah secara serentak dan ini secara pastinya menjimatkan masa peladang dan pengusaha daripada perlu memetik cili yang pada kebiasaannya berbuah secara tidak menentu.

Seterusnya, kos perladangan dari segi wang ringgit dan masa dapat dikurangkan.

Tahan penyakit

Selain itu, salah satu kelebihan cili Semerah ini, ia juga mampu menghasilkan cili walaupun dijangkiti penyakit ataupun virus.

Dengan pengenalan varieti Semerah itu, boleh dikatakan satu hasil yang boleh dibanggakan kerana ia bukan sahaja mampu menampung keperluan cili tempatan.

Ciri-cirinya yang menarik itu juga diharap dapat meningkatkan pembangunan terutamanya industri penanaman cili tempatan.

Secara tidak langsung, ia membantu para pengusaha tanaman cili dan sayur dalam peningkatan pendapatan tahunan mereka disebabkan unjuran yang lebih panjang (11 bulan semusim) berbanding varieti cili padi biasa.

Selain itu juga, peningkatan dalam pengeluaran hasil seterunya akan membantu menjadikan harga cili lebih stabil dan penyediaan bekalan cili yang lebih konsisten.

Ini akan membuatkan lebih ramai individu tempatan untuk mengusahakan tanaman cili padi secara besar-besaran dan komersial.

Pewujudan varieti Semerah ini turut membuka peluang kepada negara untuk bersaing dengan negara jiran iaitu Thailand yang berupaya untuk menghasilkan cili pada kos yang lebih rendah selain mampu mengurangkan kadar import cili dari negara berkenaan.


JOHOR

ARKIB : 13/05/2008

Tanaman cili hibrid beri pulangan lumayan petani

MUAR 12 Mei - Kegigihan tiga pen- duduk Kampung Paya Panjang, Pagoh de- kat sini mengusahakan tanaman cili hibrid sejak beberapa bulan lalu nyata memberi pulangan lumayan apabila ia berjaya di- komersialkan sejak dua bulan lalu.

Setiap pokok cili hibrid itu yang dikenali sebagai hibrid S223 oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), mampu menghasilkan tiga kilo- gram (kg) cili selepas dua bulan ditanam dan kini dipasarkan di sekitar mukim tersebut.

Salah seorang pengusaha, Jamain Rahmat, 56, berkata, cili tersebut mampu mencapai saiz sehingga 20 sentimeter (sm) panjang serta berwarna hijau tua dan merah apabila masak dan dijual antara RM8 dan RM10 sekilogram.

"Saya memulakan tanaman cili hibrid ini kira-kira dua bulan lalu selepas menantu lelaki saya, Mohd. Nizam Daros mengikuti bengkel tanaman cili secara komersial di Kedah.

"Bersama seorang lagi penduduk, Jasmee Mohd. Noor, kami mengusahakan tanaman cili hibrid di sebuah kawasan bersebelahan rumah menantu saya di kampung ini dan alhamdulillah, ia membuahkan hasil," katanya ketika ditemui di Kampung Paya Panjang, dekat sini hari ini.

Menurut Jamain, dia dan menantu serta rakan sekampungnya itu mula menanam sebanyak 1,000 pokok cili dan selepas dua bulan, tanaman cili itu mula mendapat permintaan daripada penduduk kampung.

Katanya, hasil daripada tanaman itu, ada antara penduduk yang membeli pokok cili hibrid itu untuk ditanam di rumah mereka dan kisah tanaman cili itu juga mula tersebar di kampung-kampung berdekatan.

Pada permulaan, katanya, mereka hanya berhasrat menjual hasil tanaman itu di pa- sar-pasar berdekatan namun kehadiran sekumpulan pegawai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ke tapak tanaman itu baru-baru ini telah mengubah segal-galanya.

"Salah seorang daripada pegawai FAMA itu mencadangkan supaya tanaman cili itu dikomersialkan dengan dipasarkan di peringkat yang lebih luas.

"Antaranya ialah memasarkannya kepada penduduk setempat secara meluas kerana tanaman cili ini boleh ditanam oleh sesiapa sahaja dengan menggunakan bekas kecil," jelasnya.

Sementara itu, Mohd. Nizam berkata, mereka bercadang mengadakan promosi selama tiga hari mulai 17 Mei depan dengan menawarkan baja percuma untuk setiap belian satu unit pokok cili itu.

Menurutnya, tanaman cili hibrid itu mempunyai jangka hayat kurang daripada setahun dan ketika ia mula mengeluarkan hasil yang semakin mengecil, pokok cili yang baru perlu disemai.

"Selain itu, orang ramai perlu tahu bahawa asap rokok berhampiran tanaman itu akan menyebabkan tanaman itu kurang mengeluarkan hasil," jelasnya.

No comments:

Post a Comment