Monday, December 28, 2009

LEMBU KOBE

Daging Kobe gred dunia keluaran Malaysia
Utusan Malaysia, 11 Sept 2006

BEIJING 10 Sept. – Malaysia akan melancarkan projek pengeluaran daging gaya Kobe, satu daripada gred daging paling eksklusif di dunia daripada daging lembu Jepun bersumber dari Australia.

Pemangku Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Mustapa Abd Jalil berkata, sejumlah100 ekor lembu jantan ternakan Wagyu dan lembu-lembu betina kacukan akan diimport sebelum akhir tahun ini.

“Daging lembu Kobe adalah satu pasaran sampingan istimewa tetapi permintaan untuk daging seumpamanya sedang berkembang. Kami mengkaji mengeluarkan daging Kobe halal,” beliau memberitahu Bernama hari ini sebelum pulang ke Kuala Lumpur selepas menyertai satu delegasi ke China yang diketuai oleh Menteri Pertanian dan Indsutri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Daging lembu Kobe adalah berbeza kerana tekstur dagingnya yang halus dan amat lembut. Ia dikeluarkan daripada lembu daging Jepun digelar Wagyu (‘Wa’ bermakna Jepun dan ‘Gyu’ bermakna lembu) yang diternak di bawah keadaan dimanjakan dengan bahan makanan gred terbaik yang dikawal, urutan khas dan musik.

Sebagai ganti bir atau ’sake’, haiwan yang diternak di Malaysia akan diberi makan bran gandum, kata Mustapa yang telah melawat sebuah ladang Wagyu milik Dalian

Xuelong Group di bandaraya pelaburan timur laut China di mana makanan lembu termasuk bir dan lembu itu mempunyai masa santai 10 jam dengan musik dimainkan untuk mereka sehari.

Secara teknikal, daging lembu Kobe merujuk kepada daging daripada lembu Wagyu yang dibesarkan dan disembelih di daerah Kobe, Jepun di mana ia boleh memperolehi AS$500 (RM1,800) sekilogram.

Kini, lembu jantan Wagyu dipelihara di Amerika Syarikat dan Australia dan daging gaya Kobe mungkin berharga AS$200 (RM720) sekilogram.

Mustapha berkata, Malaysia telah mencuba tetapi tidak berjaya memperoleh sumber lembu terus dari Jepun. Sehingga beberapa tahun kebelakangan, lembu Wagyu diternak keseluruhannya di Jepun.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar akan memutuskan ladang yang akan digunakan untuk menempatkan lembu-lembu yang berharga RM12,000 bagi seekor lembu jantan ternakan tulen dan RM5,000 untuk lembu betina kacukan.

Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian akan diperuntukkan 40 ekor bagi penyelidikan manakala selebihnya akan diletakkan ke dalam program ternakan pertama selama kira-kira 18 bulan, tambahnya.– Bernama

No comments:

Post a Comment