Tuesday, December 15, 2009

KAMBING KAPRIMA JANA PENDAPATAN PENDUDUK

Oleh IRMAN HASHIM
Berita Harian, 8 Feb 2008

KEPRIHATINAN kerajaan negeri Terengganu dalam merancang dan menyediakan pelbagai bantuan bagi membantu penduduk yang kurang bernasib baik daripada terus dibelenggu kemiskinan harus dipuji.

Pendekatan yang digunakan iaitu melibatkan golongan tersebut dalam sektor pertanian merupakan tindakan terbaik ekoran pelaksanaannya sejajar dengan kehendak Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu sektor itu dimajukan.

Sebelum ini, pelbagai projek pertanian diperkenalkan termasuk penanaman tembikai segi empat, bendi, ternakan ikan sangkar dan kambing kaprima untuk diusahakan oleh para peserta yang rata-rata datangnya daripada kelompok berpendapatan rendah.

Terbaru, kerajaan negeri memperluaskan ternakan kambing kaprima dengan menyediakan skim-skim tertentu penternakan berskala kecil bagi membolehkan lebih ramai golongan miskin terlibat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Wilayah negeri, Datuk Mohd. Jidin Shafee berkata, sebanyak 70 projek Skim Mikro Kaprima Bestari melibatkan penternakan kambing jenis itu secara kecil-kecilan di seluruh negeri ini pada tahun ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Haiwan negeri (JHPN) telah menyediakan peruntukan berjumlah RM1.8 juta bagi melaksanakan projek berkenaan.

Sebanyak 10 projek skim berkenaan akan dilaksanakan di tujuh daerah di negeri ini yang akan melibatkan golongan miskin di setiap daerah," ujarnya.

Beliau berkata, setiap projek yang akan dilaksanakan itu hanya melibatkan kos RM26,000 dan ia mampu menjana pendapatan secara purata sebanyak RM650 sebulan kepada setiap peserta.

''Projek ini merupakan antara usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri bagi membantu golongan yang berpendapatan kecil, miskin dan mereka yang berminat melibatkan diri dalam bidang penternakan ini," ujarnya.

Mohd. Jidin berkata, peserta setiap projek berkenaan akan menerima sebanyak 10 hingga 15 ekor induk kambing untuk dibiakkan.

''Para peserta projek ini pula akan dipilih berdasarkan senarai Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan melalui senarai nama yang diserahkan oleh wakil-wakil masyarakat di daerah masing-masing," katanya.

PemilihanKatanya, pemilihan peserta adalah berdasarkan kesungguhan mereka untuk melaksanakan projek itu bagi memastikan tujuan pelaksanaannya tercapai.

Selain itu, katanya, JPHN juga akan mewujudkan satu program Tuisyen Kambing di setiap daerah pada tahun ini bagi memberikan bimbingan mengenai penternakan kambing.

''Ia akan memberi bimbingan dan kemahiran mengenai penjagaan dan penyakit dalam menternak kambing berkenaan," ujarnya.

Beliau menambah, sebuah makmal veterinar turut dibangunkan di Wakaf Tapai bagi membantu menangani hal-hal berkaitan perpindahan ternakan dan kawalan penyakit.

''Makmal yang menelan kos kira-kira RM500,000 itu kini siap sebanyak 75 peratus," tambahnya.

Dalam pada itu, Mohd. Jidin berkata, kerajaan negeri akan melaksanakan beberapa rancangan bagi membantu para penternak memasarkan ternakan mereka.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM1.75 juta untuk membina sebuah pasar kambing di tujuh daerah di negeri ini bagi memudahkan pemasaran kambing dan produk-produk hasil ternakan tersebut.

Beliau memberitahu, JPHN juga menyediakan perkhidmatan membeli semula hasil ternakan daripada para penternak selain mencari pasaran di dalam dan luar negara.

Sementara itu, kerajaan negeri dalam proses membangunkan dua buah kilang makanan ternakan ruminan di Manir, Kuala Terengganu dan Besut bagi membantu menyediakan bekalan makanan ternakan ruminan yang murah.

Mohd. Jidin berkata, kedua-dua buah kilang yang dijangka beroperasi tahun ini akan membantu mengurangkan harga makanan ternakan kepada separuh berbanding harga di pasaran sekarang.

''Kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan kira-kira RM2.5 juta bagi membangunkan dua buah kilang makanan ternakan tersebut bagi menyediakan bekalan makanan yang lebih murah kepada para penternak," katanya.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri mulai tahun ini juga akan menyediakan bantuan penyediaan plot rumput bagi membantu penternak yang menghadapi masalah dalam memberikan makanan kepada ternakan mereka.

Beliau memberitahu, satu kertas cadangan untuk mewujudkan subsidi makanan ternakan kambing juga sedang diusahakan oleh JPHN sebagai usaha berterusan dalam membantu memastikan penternakan kambing itu berjaya.

No comments:

Post a Comment