Tekno Tani: Pertanian komersial bawa pulangan RM70,000 sebulan
Oleh Mohd Amin Jalil
Berita Harian, 5 Okt 2007
PENGGUNAAN bahan efektif mikro hasil kajian Universiti Putera Malaysia (UPM) selain baja asli yang diproses sendiri, adalah antara bahan digunakan pengusaha kebun sayur di Kuala Pilah, Negeri Sembilan sehingga mampu muncul usahawan tani cemerlang dengan pendapatan memuaskan.
Pengusaha berkenaan, Shamsuddin Md Ali, 52, kini mengusahakan kebun sayur-sayuran serta menternak lembu, kambing dan arnab di dua lokasi, iaitu di Kampung Dingkir, Inas, Johol dan Kampung Pilah Tengah, Kuala Pilah.
Bahan efektif mikro itu digunakan sebagai baja utama selain bahan organik lain bagi tujuan tumbesaran dan mengawal serangan serangga, membolehkan hasil pengeluaran tanamannya meningkat ke kadar memuaskan.
Penggunaannya digilirkan dengan baja asli yang diproses sendiri daripada batang pokok jagung yang sudah dipetik buahnya yang kemudian diperam di dalam tong sehingga tempoh tertentu sebelum dijadikan silaj.
Silaj berkenaan akan diberi kepada lembu sebagai sumber makanan dan najis yang dikeluarkan ternakan itu diproses sebagai baja asli tanaman, sekali gus menjimatkan kos bagi tumbesaran sayur-sayuran ditanamnya.
Shamsuddin berkata, kaedah kawalan serangga secara biologi memberi kesan baik kepada sayur-sayuran selain menjamin hasil kebunnya selamat untuk dimakan kerana tidak menggunakan sebarang bahan kimia.
Ketika ini, beliau mengusahakan tanah seluas 22.8 hektar di Kampung Dingkir dan 16.4 hektar di Kampung Pilah Tengah, kebanyakan adalah tanah adat yang terbiar dan disewa daripada penduduk setempat.
Antara sayur-sayuran ditanam ialah kacang panjang, bayam, bendi, sawi, kailan, timun, cili padi dan cili besar serta jagung, manakala ternakan lembu, kambing biri-biri dan kambing bulu lilin serta arnab kini mencecah 393 ekor.
Usahawan kelahiran Banting, Selangor ini menggunakan sistem giliran tanaman dan integrasi dalam usaha memaksimumkan pengeluaran hasil kebun serta memastikan sayur-sayuran dapat dipasarkan setiap hari.
Menurutnya, setiap hari sekurang-kurangnya dua tan sayur akan dipasarkan di Pasar Borong Selayang dan Puchong, Selangor, selain dibeli secara terus di kebunnya.
Beliau yang mempunyai 50 pekerja, termasuk 12 di Pasar Selayang dan Puchong, memulakan projek itu sejak tujuh tahun lalu, tetapi sebenarnya sudah memperoleh pengalaman lebih awal apabila berniaga sayur-sayuran secara kecil-kecilan di Selayang dan Cameron Highlands, Pahang.
Ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Johol ini boleh berbangga dengan usahanya apabila mampu meraih pendapatan kasar antara RM60,000 hingga RM70,000 sebulan, sekali gus membuktikan bidang pertanian menjamin masa depan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh secara berskala besar.
"Untuk memastikan projek yang diusahakan itu berjaya... contohnya kebun sayur-sayuran, kami perlu menjaga tanaman sama seperti menjaga anak sendiri yang perlu dibelai dan disayangi," katanya, yang turut melantik seorang pengurus, Mohd Tarmizi Osman, 27, bagi memantau ladangnya.
Beliau yang menggunakan sepenuhnya modal sendiri, termasuk bagi membeli peralatan seperti jentera pembajak dan lori, menyarankan lebih ramai menyertai sektor pertanian bagi menyokong hasrat kerajaan untuk memaju dan mengembangkan lagi bidang berkenaan.
"Generasi muda, termasuk siswazah harus mengikis tanggapan bahawa pertanian tidak menjamin masa depan kerana ramai yang sudah berjaya. Peluang yang diberikan kerajaan, termasuk dana harus dimanfaatkan dengan menyertai pertanian dan industri asas tani.
"Generasi muda tidak harus memilih kerja atau hanya berharap mahu makan gaji kerana banyak ruang untuk mereka mencapai kejayaan selagi melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh," katanya.
INFO
Kejayaan Shamsuddin
- Berjaya meraih pendapatan hingga RM70,000 sebulan.
- Mengusahakan tanaman seluas 40 hektar di Kampung Dingkir dan Kampung Pilah Tengah.
- Sayuran ditanam ialah kacang panjang, bayam, bendi, sawi, kailan, timun, cili padi dan cili besar serta jagung.
- Dua tan sayur dipasarkan di Pasar Borong Selayang dan Puchong.
No comments:
Post a Comment