Wednesday, January 13, 2010

TAMAN MARDI

UTARA

ARKIB : 08/12/2009

Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi dinaik taraf


Hassim Mat melihat buah anggur yang menjadi tarikan baru kepada pelancong tempatan di Taman Agro Teknologi Mardi di Langkawi, semalam. - BERNAMA


LANGKAWI 7 Dis. - Taman Agro Teknologi Mardi Langkawi, merupakan antara produk pelancongan yang sedang dinaik taraf bagi projek pembangunan prasarana pelancongan di pulau peranginan itu.

Pengurus Stesen Mardi Langkawi, Hassim Mat berkata, menara tinjau, dewan terbuka, pembangunan hutan tropika untuk tarikan ekopelancongan, pondok rehat serta laluan siar kaki adalah antara projek yang sedang dilaksanakan di taman berkenaan.

"Taman itu mempunyai keluasan lebih 25 hektar mula dibangunkan sebagai stesen penyelidikan pada Ogos 1990 dan dikenali sebagai Taman Agro Teknologi pada Julai 2005," katanya di sini.

Beliau berkata, pelancong yang berkunjung ke taman itu berpeluang melawat serta memetik sendiri buah-buahan yang ditanam Mardi.

Kedatangan pelancong ke taman itu meningkat kepada 32,000 orang dalam tempoh 10 bulan pertama tahun ini berbanding 25,000 orang dalam tempoh yang sama tahun lalu, katanya.

Hassim berkata, pelancong luar negara seperti dari Eropah, Australia, India serta Timur Tengah adalah antara pengunjung asing yang mengunjungi taman itu.

"Taman itu mempunyai visi untuk menjadi destinasi pelancongan teknologi pertanian yang tersohor dan bertaraf antarabangsa, selain itu menjadi pusat pembelajaran serta pemindahan teknologi pertanian, menggalakkan aktiviti agro pelancongan berasas teknologi.

"Pada masa ini, taman itu turut dibangunkan sebagai destinasi agro pelancongan yang mempunyai lebih 20 jenis buah-buahan bermusim seperti rambutan, belimbing, jambu, nanas, durian, ciku, mangga, betik dan limau," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment