Tuesday, January 12, 2010

TANAM VANILLA

SABAH & SARAWAK

ARKIB : 04/06/2008

Petani perlu rebut peluang tanam vanila


Yahya Hussin (kanan) diberi penerangan mengenai batang vanila oleh seorang pegawai Koperasi Pembangunan Desa di Pusat Nurseri Vanila di Lumadan, semalam.
- Bernama


BEAUFORT 3 Jun - Para petani di Sabah diminta merebut peluang menyertai program tanaman vanila kerana bukan sahaja mudah ditanam malah mempunyai harga pasaran yang tinggi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin berkata, kerajaan negeri mendapati vanila berpotensi untuk diketengahkan sebagai salah satu produk baru untuk dieksport sekali gus memberi peluang kepada para petani menambah pendapatan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri berkata, dengan harga pasaran dunia hari ini iaitu sekitar RM570 sekilogram, tentu sekali tanaman vanila mampu mengatasi pendapatan daripada kelapa sawit jika diusahakan dengan bersungguh-sungguh.

"Kita berharap petani khususnya masyarakat di kawasan luar bandar mengambil peluang ini untuk menambah pendapatan mereka kerana tanaman vanila hanya memerlukan kawasan yang kecil iaitu sekurang-kurangnya 0.1 hektar sahaja.

"Pulangannya pula amat lumayan kerana satu pokok boleh mencapai pengeluaran antara satu kilogram hingga lima kilogram dan dengan keluasan itu, petani boleh meraih pendapatan sekurang-kurangnya sekitar RM30,000 setahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Pusat Nurseri Vanila Lumadan milik Korporasi Pembangunan Desa (KPD), dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Kamarlin Ombi dan ADUN Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris.

Beliau sebelum itu diberikan taklimat oleh Pengurus Besar KPD, Datu Basrun Datu Mansor.

KPD pada masa ini menguruskan penjualan benih pokok vanila serta menyediakan kursus dan latihan kepada pengusaha yang berminat.

Yahya berkata, petani yang berminat digalakkan terlebih dahulu mengikuti kursus bagi memastikan tanaman yang diusaha dapat menghasilkan buah yang bermutu.

''Pada masa ini Indonesia merupakan pengeskport kedua vanila dunia selepas Madagascar dan kita berharap petani di Sabah dapat menyumbang kepada usaha yang dirintis oleh KPD untuk membolehkan kita juga bersaing sebagai pengeksport," ujar beliau.

Tambah beliau, pada masa ini hanya sekitar 15 hektar sahaja tanaman vanila diusahakan di seluruh Sabah secara bersendirian yang akan mengeluarkan buah tahun depan.

Beliau berkata, secara asasnya bagi 0.1 hektar, sebanyak 800 pokok vanila dapat ditanam dan dijangka dengan keluasan seperti itu, seseorang pengusaha mampu memperoleh pendapatan sekitar RM2,000 sebulan.

Katanya, kerajaan negeri tidak menolak menjadikan tanaman vanila sebagai satu usaha untuk membasmi kemiskinan di negeri ini.

2 comments:

  1. apakah bentuk bantuan diberikan jika saya tinggal di pendalaman??...maksud saya meoenghantar bibit dari lumadan ke pekan nabalu ranau dan akan melalui jalan grabel yang agak mencabar.....
    sy berminat dengan vanilla tetapi memandangkan lokasi geografi yang amat mecabar mendorong saya untuk bertanya.

    ReplyDelete
  2. Selain Borneo Vanilla dan KPD, ada tak pembekal benih vanilla di kawasan Kota Kinabalu?

    ReplyDelete