Tuesday, January 12, 2010

TANAMAN KANTAN LUMAYAN

UTARA

ARKIB : 27/09/2008

Hasil bunga kantan lumayan


Zulkifli Mohamad (kanan) bersama rakannya menunjukkan bunga kantan yang dituai dari kebunnya di Kampung Temin, Sungai Siput, Perak, baru-baru ini.
- Gambar TAJUL SAFUAN ABU HASSAN


SUNGAI SIPUT 26 Sept. - Bunga kantan yang selalunya digunakan dalam masakan laksa bukan sahaja tanaman untuk mencetuskan perisa pada makanan tetapi juga mendatangkan pendapatan lumayan kepada pengusahanya.

Pengusaha bunga kantan, Zulkifli Mohamad, 47 berkata, pokok bunga kantan atau juga dikenali sebagai bunga siantan merupakan sejenis pokok herba berwarna merah muda boleh juga digunakan sebagai gubahan hiasan.

Tunas bunga ini boleh dijadikan bahan memasak dalam masakan Melayu seperti laksa dan nasi kerabu selain itu ia juga boleh digunakan dalam masakan asam pedas, nasi ulam serta masakan kari.

Katanya, terdapat beberapa jenis bunga kantan di Malaysia dan biasanya ialah jenis merah jambu atau 'phaeomeria magnifica'.

Jenis bunga kantan merah atau 'phaeomeria maingayi' kurang ditemui di pasar-pasar. Pokok kantan merah lebih kecil dan bunganya juga lebih kecil sedikit dari kantan biasa.

Pokok ini sama keluarga dengan pokok halia dan tingginya lebih kurang 2.5 meter. Sejenis halia hutan yang bunganya boleh dimakan. Ia banyak ditanam kerana bunganya.

Kini, Zulkifli mempunyai lebih 0.6 hektar tanaman bunga kantan di kawasan bekas sawah padi di Kampung Temin, di sini.

Katanya, daripada tanaman seluas itu, kini beliau mempunyai sebanyak 1,300 perdu dengan setiap perdu berkenaan mempunyai 30 pokok.

''Saya boleh mengutip antara 4 hingga 7 kuntum bunga kantan seminggu dari setiap perdu bunga yang mempunyai aroma yang sangat menarik itu," katanya.

Beliau berkata, pada masa kini beliau memasarkannya di psar-pasar sekitar Ipoh dan Sungai Siput dengan setiap kuntum boleh dijual pada harga 70 sen.

''Saya mampu memperoleh pendapatan sehingga RM400 sebulan melalui penjualan bunga kantan ini," katanya.

Zulkifli berkata, tanaman bunga kantan tidak begitu cerewet kerana ia mudah dan hidup subur terutama di kawasan atau tanah yang lembap.

''Saya rasa di kawasan bekas sawah padi ini memang sesuai kerana ia hidup subur dan begitu rimbun dan tidak banyak menghadapi masalah musuh tanaman.

''Penjagaannya juga tidak rumit kerana ia hanya memerlukan baja organik untuk membesarkan pokok serta mengeluarkan bunga yang besar dan lebat," katanya.

Beliau berkata, tanaman ini akan mula mengeluarkan bunga setelah berusia setahun dan selepas itu setiap minggu bunga tersebut perlu dipetik untuk dipasarkan.

''Saya boleh mengumpul sehingga 600 kuntum setiap kali memetiknya dan apa yang menariknya ia akan tumbuh lagi di pokok yang lain dalam rumpun yang sama," katanya.

Sementara itu, rakannya Mahfoz Omar Bee berkata, pokok bunga kantan tidak sukar ditanam asalkan ia ditempatkan di tanah yang sesuai.

''Saya anggap penanaman bunga kantan ini sebagai satu sumber lagi pendapatan lebih-lebih lagi di musim perayaan ini untuk memasak asam pedas, laksa dan lain-lain campuran masakan,'' katanya.

Kepada sesiapa yang berminat untuk mendapatkan bunga kantan ini boleh menghubungi Zulkifli di talian 013-5288670.

No comments:

Post a Comment