Saturday, January 9, 2010

USAHAWAN KELAPA

TIMUR

ARKIB : 13/12/2008

Usahawan buah kelapa


PENDUDUK kampung mengambil upah mengopek kelapa berhampiran kediaman Mohd. Zulkifli Daud di Kampung Baru Hujung Repek, Bachok, Kelantan.


BACHOK 12 Dis. - Dengan kedudukan sebagai jajahan pinggir pantai yang banyak diselaputi tanah bris, Bachok merupakan kawasan paling banyak kelapa yang tumbuh subur dan meninggi.

Namun dahulu nilai kelapa begitu rendah dan banyak penduduk tidak ambil peduli soal pemasarannya, selain untuk kegunaan sendiri kerana tidak setimpal dengan penat lelah memetiknya.

Mohd. Zulkifli Daud, 30, dibesarkan dalam persekitaran itu di Kampung Baru hujung Repek, dekat ini dan setelah lebih enam tahun mencari rezeki di Jengka Pahang sebagai buruh, dia kembali semula ke kampung kelahiran.

Dia percaya boleh mencari rezeki dengan lebih banyak buat masa depan keluarganya dengan memanfaatkan kelapa, walaupun terpaksa terus bekerja keras kerana tiada jalan mudah untuk mencapai kesenangan.

''Semasa bekerja di Jengka, saya menyewa rumah peneroka dan masa terluang saya gunakan untuk menternak lembu sehingga mencapai 30 ekor. Akhirnya saya bertekad memulakan penghidupan baru di kampung sendiri.

''Dengan menjual semua ternakan dan juga berbekalkan sedikit simpanan, saya balik dengan membina sebuah rumah dan membeli sebuah lori," ujar bapa kepada tiga orang anak itu, ketika ditemui baru-baru ini.

Dia mula menjadi pembekal kelapa empat tahun lalu dengan membeli buah kelapa yang dipetik sendiri di beberapa jajahan negeri ini sebelum diperluaskan ke Terengganu dan juga Pahang.

''Saya menggunakan khidmat 11 ekor beruk bagi menurunkan kelapa tua. Di samping itu, saya agihkan berbelas ekor haiwan itu kepada penduduk di beberapa jajahan dan mereka ini membantu saya mengumpulkan kelapa mengikut jadual masa yang ditetapkan.

Katanya, menjadi suatu kelaziman bagi pengusaha buah kelapa yang terpaksa memiliki beruk sendiri yang mahir dan pantas memetik kelapa.

Menurutnya, harga seekor beruk yang mahir mencecah RM3,000 tetapi itu tidak menjadi soal kerana haiwan itu adalah tenaga kerja yang penting untuk menurunkan kelapa.

Kini, setiap hari kecuali Jumaat, dia mengumpulkan 2,000 hingga 4,000 buah kelapa yang diangkut dengan tiga buah lori miliknya dan dikopek oleh berbelas orang pekerjanya yang terdiri daripada sanak- saudara dan penduduk kampung.

Katanya, kerja mengopek kelapa turut memberi peluang pekerjaan kepada jiran- jiran khususnya suri rumah memenuhi masa lapang mereka pada waktu siang atau malam.

Mereka dibayar pada kadar harga enam sen sebiji tetapi akan mendapat jumlah bayaran upah harian yang tinggi apabila mahir dan cepat mengopek kelapa dalam bilangan yang banyak.

''Purata setiap bulan, 100,000 buah kelapa dibekalkan untuk pasaran dalam negeri dan juga dibawa ke luar termasuk di Terengganu, Pahang, Pulau Pinang.

Dianggarkan lebih 500,000 buah kelapa dibekalkan ke beberapa negeri lain dalam sebulan oleh pengusaha di negeri ini termasuk Mohd. Zulkifli.

Jadual kerja harian Mohd. Zulkifli bermula pada pukul 8 pagi dan berakhir pada pukul 6 petang tetapi terpaksa menyambung pekerjaan menghantar bekalan ke kedai makan dan kedai memproses santan segera pada waktu malam hingga awal pagi.

"Saya pada umumnya membeli dengan harga atas pokok 40 sen sebiji dan terpaksa menampung kos pengangkutan, gaji enam pekerja yang mahir mengendalikan beruk ketika memetik kelapa, pengopek kelapa, pemandu dan kelindan," katanya.

Mohd. Zulkifli berkata, pasaran ke Pulau Pinang adalah pada kadar RM1.10 saja berbanding kadar harga borong tempatan iaitu 80 hingga 90 sen.

Kekurangan

Beliau berkata, kekurangan kelapa di Pantai Barat menyebabkan ramai pengusaha di kawasan berkenaan datang sendiri membeli kelapa di kebun dengan menawarkan harga yang lebih tinggi.

Bagaimanapun, katanya, keadaan itu tidak menyulitkannya kerana sudah mengikat perjanjian dengan pemilik kebun kelapa untuk menjual kepadanya secara berterusan.

Mohd. Zulkifli berkata, sehingga kini perniagaan kelapa di kawasan Bachok bagaikan cendawan tumbuh dan sehingga kini berpuluh pengusaha yang menjalankan perniagaan sepertinya.

''Ini termasuk tiga adik beradik saya, ia membuka lebih banyak rezeki buat keluarga kami. Untuk meningkatkan lagi pendapatan, saya bercadang untuk memasarkan atau membekalkan isu kelapa," ujarnya.

"Selain membekalkan buah kelapa, sabut yang diasingkan dari buah dikeringkan sebelum dijual kepada pengusaha kuih baulu dan kilang menghasilkan tilam di Kemayang tidak jauh dari kampungnya.

Jajahan Bachok, katanya, selaku salah satu kawasan pembekal utama kelapa tua di negara ini seharusnya mendapat perhatian kerajaan untuk membantu pemilik kebun melakukan penanaman semula.

"Langkah menyediakan baka baru yang menghasilkan buah yang besar, lebat dan cepat berbuah dalam tempoh yang singkat perlu diambil perhatian. Pokok yang ada sudah tua dan hanya diwarisi oleh penduduk kini.

''Jika tidak ada usaha untuk melakukan tanaman semula secara meluas, kekurangan kelapa akan semakin terasa dalam tempoh beberapa tahun akan datang dan menimbulkan masalah kepada masyarakat," ujarnya.

3 comments:

  1. a'kum..klu sy nk beli klapa ni mcm mna yer?sy dok p.mas kelantan..blh x sms atau wasap sy d no 0132994559

    ReplyDelete
  2. Saya dari kg Kandis nok older sabut 100guni

    ReplyDelete
  3. 013-9538732 matyie.. Memerlukan nyor tuo..

    ReplyDelete