Tuesday, January 12, 2010

KILANG KENAF

TIMUR

ARKIB : 16/04/2008

Kilang sabut terbiar diubah bagi proses kenaf


Beberapa orang pekerja sedang memproses pokok kenaf di kilang kenaf Kampung Air Tawar, Semerak, Pasir Puteh, Kelantan, kelmarin.


PASIR PUTEH 15 April - Lembaga Tembakau Negara (LTN) berjaya mengubah suai sebuah kilang memproses sabut kelapa terbiar miliknya menjadi kilang pemerosesan hasil pokok kenaf di kampung Air Tawar Semerak dengan kos RM300,000.

Penolong Pegawai LTN Kelantan, Nik Mahadi Nik Mohd Noor berkata, langkah itu dapat menjimatkan kos pembinaan kilang khusus bagi tanaman gantian tembakau yang dianggarkan menelan lebih RM1 juta.

Katanya, kilang itu telah memulakan operasi sejak akhir tahun lalu, dengan lancar dan mampu memproses 10 tan metrik pokok kenaf yang dibeli daripada petani setiap hari.

''Kita menggunakan sepenuh kepakaran dalam kalangan pegawai LTN sendiri tanpa bergantung kepada tenaga luar bagi menjimatkan kos pengurusan pemerosesan dan pentadbiran.

"LTN hanya membelanjakan peruntukan sebanyak RM300,000 bagi tujuan itu berbanding keperluan sebenar melebihi RM1 juta jika bangunkan baru dan mengimport peralatan mesin," katanya di sini semalam.

Katanya, dengan beroperasinya kilang pemerosesan itu, ia memberi keyakinan kepada petani untuk terus mengusahakan tanaman tersebut kerana mereka mula memperoleh pendapatan yang lebih baik berbanding tembakau.

"Kami anggap ini adalah satu kejayaan yang diperjuangkan oleh LTN Kelantan dalam membela nasib penanam tembakau secara menyeluruh," katanya.

Nik Mahadi berkata, sebelum ini mereka yang mengusahakan tanaman kenaf secara kecil-kecilan bergantung kepada pihak pengilang dari luar negeri ini untuk membelinya dengan harga pasaran yang tidak menentu.

"Tanaman kenaf mampu menghasilkan 15 tan metrik sehektar dalam tempoh tiga hingga empat bulan dengan pulangan bersih RM2,000 dengan proses tanaman dan penjagaan yang mudah.

"Ia adalah tanaman yang mudah diseliakan berbanding tanaman tembakau yang perlu diberi perhatian yang teliti," katanya.

Nik Mahadi berkata, pada tahun ini LTN merancang menggalakkan petani mengusahakannya seluas 700 hektar di seluruh negeri berbanding hanya 200 hektar tahun lalu.

No comments:

Post a Comment