Monday, January 4, 2010

PADI AEROB

UTARA

ARKIB : 10/06/2009

Padi aerob lebih ekonomik


ABDUL Rasad Mat Som memeriksa pokok padi di tapak semaian Seberang Perai di Kepala Batas, Pulau Pinang. - UTUSAN/Shamsudin Saleh


KEPALA BATAS 9 Jun - Sudah tiba masanya pengusaha sawah padi di seluruh negara mengubah pendekatan mereka dalam menanam padi.

Mereka seharusnya memikirkan untuk beralih kepada pendekatan tanaman padi yang jauh lebih komersial dan dalam masa yang sama hasil pengeluaran lebih tinggi.

Selama ini, kaedah menanam padi sejak turun temurun bergantung kepada penggunaan air yang banyak. Sebab itulah sawah menjadi becak, berlumpur dan bergelumang pula dengan lintah-lintah.

Pendekatan tradisi itu banyak bergantung kepada air bermula ketika anak padi disemai di petak-petak semaian sehinggalah pokok padi itu bersedia untuk dituai.

Bagaimanapun, kini kaedah penanaman baru bagi padi jenis aerob lebih ekonomik dengan tidak menggunakan air yang banyak.

Biasanya bagi keluasan satu hektar sawah padi mengambil masa 110 hari sebelum tanaman itu mengeluarkan hasil, tetapi dengan kaedah tanaman baru ini dipendekkan kepada cuma 95 hari.

Pembantu Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Abdul Rasad Mat Som, pendekatan penanaman padi aerob dapat mengatasi masalah kebergantungan kepada air yang banyak.

"Kita tahu, kebanyakan pesawah berdepan masalah sistem pengairan bagi menyalurkan air ke bendang.

"Sebab itulah, apabila kita memulakan kajian padi aerob, kita telah memikirkan kaedah yang boleh diguna pakai untuk menanam padi tanpa terlalu bergantung kepada penggunaan air," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di petak sawah model sempena pelancaran Hari Teknologi Padi di Stesen MARDI, Seberang Perai di sini baru-baru ini.

Abdul Rasad berkata, walaupun kaedah padi aerob masih dalam kajian namun progres kajiannya berjalan lancar dan ia kini dalam musim kedua penyelidikan.

Namun begitu, katanya, kajian penambahbaikan dan memendekkan tempoh menunggu sebelum padi dituai masih dalam peringkat penyelidikan.

Ini kerana, katanya, sekiranya kaedah tanaman padi aerob berjaya mencapai matlamat ia dijangka menghasilkan pengeluaran padi sehingga tiga tan sebaik saja tanaman itu mencapai umur 65 hari.

Tambah Abdul Rasad, dalam penyelidikan yang dijalankan, kajian itu harus memberi keputusan penghasilan padi lebih baik daripada yang dihasilkan mengikut kaedah tanaman biasa.

"Matlamatnya, masalah kekurangan bekalan beras dalam negara seperti mana yang melanda pada tahun lepas tidak akan berlaku lagi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment