Monday, January 4, 2010

KELI KANVAS

UTARA

ARKIB : 24/01/2009

Ternak keli dalam kanvas


RAMLI Ibrahim memberi makan ikan keli yang diternaknya di Kampung Binjol Dalam, Baling, Kedah. - UTUSAN/AZMAN MD. NOOR


BALING 23 Jan. - Seorang bekas pegawai keselamatan memanfaatkan pengalaman bekerja di sebuah pusat pameran hidupan air terkenal di ibu negara dengan mengusahakan ternakan ikan keli di dalam kanvas di Kampung Binjol Dalam, Mukim Tawar dekat sini.

Ramli Ibrahim, 51, yang berkhidmat selama tiga tahun di pusat akuarium itu terdorong untuk menceburi bidang tersebut bagi merubah kehidupannya apabila menyedari potensi luas yang ada dalam perusahaan penternakan ikan keli.

Berbekalkan pengalaman dan semangat yang tinggi, dia mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan mula menternak ikan berkenaan di dalam kanvas sejak Jun tahun lalu dengan modal sendiri dan bantuan keluarga.

Ramli memilih mengusahakan ternakan ikan keli dalam kanvas di hadapan rumahnya di kampung berkenaan bagi membolehkan dia menumpukan sepenuh tenaga dalam bidang itu.

Katanya, sehingga kini dia telah menyediakan sebanyak 50 buah kanvas dengan setiap satu daripadanya boleh menampung sebanyak 1,200 ekor ikan keli.

''Kesemua 50 kanvas ini mampu menampung lebih 60,000 ikan keli melalui beberapa peringkat," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Ramli berkata, perusahaan menternak ikan keli secara kanvas tidak memerlukan kawasan yang luas.

Katanya, ini kerana, penggunaan kanvas mampu menampung jumlah ternakan yang banyak pada satu-satu masa.

''Kanvas yang digunakan juga boleh diubah dan tahan lama, sekaligus memudahkan usaha memelihara ikan tersebut,'' katanya.

Menurutnya, ikan keli kanvas kini menjadi rebutan pelanggan berikutan hasil ternakan menerusi kaedah tersebut tidak hanyir.

''Ikan keli yang diternak menerusi kaedah ini tidak berbau hanyir berbanding yang diternak di dalam kolam," katanya lagi.

Selain menternak ikan keli, dia juga turut menjalankan kerja-kerja penetasan benih keli.

Jelasnya, ternakannya kini telah mula dipasarkan dengan harga jualan sebanyak RM5 sekilogram.

Pada peringkat sekarang, katanya, dia mampu menjual sehingga 50 kilogram ikan keli sehari dan yakin pasaran jualan akan meningkat sehingga 300 kilogram sehari berdasarkan permintaan.

''Buat permulaan saya hanya memasarkan ikan keli kanvas ini di sekitar daerah ini dan terdapat juga peraih yang datang membeli," ujarnya yang turut dibantu oleh seorang rakannya, Abdul Manaf Kechik.

Mengenai perancangan masa depan, Ramli bercadang membuka 100 lagi sangkar kanvas di kawasan tersebut tidak lama lagi.

No comments:

Post a Comment