Saturday, January 9, 2010

STRAWBERI

UTARA

ARKIB : 13/05/2008

Strawberi di Gunung Jerai


DUa pekerja menanam strawberi daripada jenis Chandler dan Kama Rosa yang dikatakan sesuai untuk ditanam di Gunung Jerai, Gurun, Kedah.


ALOR STAR 12 Mei - Gunung Jerai yang setinggi 1,200 meter dari aras laut merupakan antara kawasan tanah tinggi yang masih lagi terpelihara keindahan dan keasliannya.

Kawasan pergunungan yang terletak di dalam daerah Kuala Muda ini merupakan salah satu produk pelancongan di negeri Kedah yang amat berpotensi untuk dijadikan kawasan agropelancongan.

Tidak mustahil dengan segala keunikan dan komitmen yang diberikan oleh pelbagai pihak, kawasan ini bakal menarik ribuan pelancong pada masa depan.

Selain daripada pemandangan yang menarik dan udara nyaman yang masih tidak dinodai asap-asap kenderaan, kawasan Gunung Jerai juga dianugerahkan tanah yang subur.

Menyedari akan potensi yang boleh diperolehi di sebalik keindahan flora dan fauna yang ada di puncak Jerai, dua pengusaha mengambil inisiatif mengusahakan dua tanaman berbeza sebagai menyahut seruan kerajaan supaya menjadikan bidang perniagaan sebagai sumber rezeki.

Zulkifli Muhyiddin, 51, dan Ooi Chooi Liang, 55, adalah dua insan yang mempunyai visi dan misi berbeza dalam hidup mereka tetapi mempunyai minat yang sama dalam bidang pertanian.

Ini kerana bagi mereka berdua hanya bidang ini dapat memberi kepuasan dalam hidup mereka.

Mereka menjadikan puncak Gunung Jerai yang subur sebagai kawasan pertanian dan mampu memberi nafas baru kepada industri agropelancongan di negeri ini.

Bagi Zulkifli yang merupakan pesara tentera laut, beliau mengambil langkah untuk menjadi perintis dalam bidang penanaman strawberi di Gunung Jerai.

Baginya tiada yang mustahil dalam hidup ini asalkan berani dan tidak pernah putus asa dalam mencari rezeki.

Katanya, sebagai bekas anggota tentera, beliau diajar untuk menjadi berani dalam kehidupan dan sekali melangkah tidak menoleh ke belakang dan kini langkahnya semakin laju dalam bidang pertanian.

Menurut Zulkifli, setelah bersara dalam bidang ketenteraan dia merasa bosan dan dia mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian dengan mengusahakan tanaman nenas.

"Setelah berjaya dengan tanaman nanas dan menghasilkan produk-produk sampingan seperti jem dan minuman, saya mahu terus berjaya dalam bidang ini.

"Setelah mendengar taklimat daripada Zainol Hashim yang merupakan pegawai pertanian tertinggi, Jabatan Pertanian Kuala Muda mengenai tanaman strawberi di Gunung Jerai saya terus tertarik untuk mencubanya," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Taman Strawberi Gunung Jerai baru-baru ini.

Jelasnya, walaupun mendapat pelbagai halangan terutamanya kata-kata sinis bahawa strawberi tidak dapat tumbuh di Gunung Jerai, namun beliau optimis bahawa strawberi mampu membesar dengan baik berdasarkan percubaan demi percubaan yang dilakukan olehnya bersama penasihat projek ini, Zainol Hashim.

Berbekalkan modal RM50,000 itu, beliau membina tapak semaian di atas puncak gunung yang berkeluasan 60x20x3 unit dan mampu menempatkan kira-kira 2,000 pokok strawberi.

Katanya, beliau mengambil anak benih daripada dua baka yang berlainan iaitu Chandler dari Amerika Syarikat dan Cama Rosa dari Holland yang boleh diperoleh daripada pembekal di Cameron Highlands.

"Strawberi yang menggunakan kaedah fertigasi amat mudah dijaga dan hanya memerlukan pengawasan yang minimum.

Keseronokan"Tuaian pertama dijangka boleh dipetik setelah 70 hari ditanam iaitu pada bulan Julai ini dan kami akan memberikan peluang kepada pengunjung yang berminat untuk datang dan merasai sendiri keseronokan memetik buah strawberi yang segar dari pokok," katanya.

Berbeza dengan Chooi Liang yang berpengalaman sebagai pengusaha cendawan shiitake, beliau mengambil keputusan untuk menanam sayur-sayuran organik yang bebas daripada sebarang bahan kimia sebagai produk sampingan keluaran syarikatnya.

"Saya menyedari kebanyakan sayur-sayuran yang berada di pasaran banyak menggunakan bahan kimia yang boleh mendatangkan bahaya kepada kesihatan manusia.

"Jadi dengan kemahiran yang ada, saya mencuba untuk menanam sayur-sayuran organik dengan bantuan anak saya Dr. Shirley Ooi di kawasan Gunung Jerai tanpa memusnahkan keindahan asli kawasan ini," jelasnya.

Chooi Liang menambah, kawasan Gunung Jerai ini memang subur dan kawasan persekitaran yang sesuai juga membantu mendapatkan pertumbuhan sayur-sayuran yang sihat.

"Saya menggunakan bahan buangan daripada kompos tanaman cendawan sebagai medium tanaman sayur-sayuran di sini setelah anak saya berjaya menyakinkan bahawa kompos cendawan amat berkhasiat kepada pertumbuhan sayur-sayuran," ujarnya.

Sewaktu kunjungan Utusan Malaysia ke tapak penanaman sayur-sayuran tersebut mendapati, kawasan semula jadi di situ yang bersih dan indah amat berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu tempat yang mesti dikunjungi jika datang ke Gunung Jerai.

Antara sayur-sayuran yang ditanam di situ ialah seperti salad, cili, terung dan banyak lagi.

Selain itu, jelas Chooi Liang, sayuran organik yang dihasilkan di sini amat baik untuk kesihatan manusia kerana ia langsung tidak menggunakan sebarang racun perosak dan bahan kimia sampingan yang lain.

Katanya, permintaan orang ramai untuk sayur-sayuran organik amat menggalakkan kerana semakin ramai pengguna mengambil berat tentang kesihatan mereka.

"Walaupun ditanam di kawasan pergunungan tiada satu pokok yang ditebang kerana kami mahu mengekalkan keaslian kawasan ini kerana ladang saya merupakan ladang yang bersifat mesra alam.

"Kawasan penanaman cendawan shiitake dan sayur-sayuran organik milik saya sentiasa terbuka kepada orang ramai yang ingin tahu dengan lebih lanjut mengenainya," ujarnya.

1 comment: