Saturday, January 9, 2010

GANODERMA

TIMUR

ARKIB : 05/09/2009

Hasil ganoderma lumayan


ZULKIFLI Mahmood menunjukkan cendawan ganoderma yang matang di tapak projek tanamannya di Panji, Kelantan, baru-baru ini.


KOTA BHARU 4 Sept. - Ganoderma yang juga dikenali sebagai ling zhi bukanlah suatu nama yang asing di kalangan masyarakat di negeri ini kerana ia dikaitkan dengan produk kesihatan yang sering dipromosikan.

Jika cendawan lain berakhir di dapur sebagai hidangan, cendawan berwarna merah dengan kepingan keras ini dipasarkan sebagai bahan adunan herba di farmasi dan dalam bentuk makanan kesihatan tambahan termasuk kopi.

Cuma penglibatan usahawan tempatan dalam menanam cendawan ganoderma masih terlalu kecil serta baru sahaja mencuba merebut peluang sejajar dengan nilai komersialnya yang tinggi.

Salah seorang daripada mereka ialah Zulkifli Mohmood, 38, yang mahu membuktikan bahawa dia benar-benar serius untuk memajukan diri dan bukan sekadar ikut-ikutan.

Apatah lagi Zulkifli merupakan Setiausaha Persatuan Usahawan Cendawan Melayu Kelantan dan jika dia sendiri sekadar hangat-hangat tahi ayam dan gagal, sukar baginya untuk meyakinkan mana-mana pihak untuk terus membantu persatuan dan ahlinya.

Daripada 43 ahli persatuan itu, cuma empat orang terlibat dengan projek ganoderma manakala lebihnya cendawan tiram kelabu yang banyak kedapatan di pasar-pasar kini.

''Walaupun daripada segi modal, penyediaan tapak dan penjagaan tidak jauh berbeza dengan tanaman tiram kelabu tetapi jenis ganoderma belum lagi mendapat sambutan yang menggalakkan.

''Mungkin jika ramai yang tahu penjagaannya lebih mudah dan hasil tuaian lebih tinggi, projek ganoderma akan meningkat," katanya ketika ditemui di bangsal projeknya di Panji di sini baru-baru ini.

Hujung tahun lalu, dia melabur sebanyak RM37,000 bagi memulakan projek itu di samping mendapat kepercayaan skim pinjaman Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) sebanyak RM15,000 sebagai tambahan modal.

Lebih 25,000 beg plastik tersusun rapi dalam rak bertingkat di dalam bangsal di pinggir rumahnya membuktikan kesungguhan awalnya dan hasil tuaian cukup memberangsangkan apabila semuanya berjaya dijual.

Idea mengusahakan cendawan jenis itu bermula selepas dia mengikuti kursus asas anjuran Jabatan Pertanian yang memperkenalkan kepada peserta beberapa spesies cendawan termasuk ganoderma, tiram kelabu dan black jelly.

''Saya memilih ganoderma kerana tidak ramai yang mengusahakannya jadi persaingan lebih kecil. Selepas mencuba, saya dapati ia mudah dikendalikan kerana ia sama seperti tiram kelabu.

''Cuma tempoh tuaian lebih panjang namun hasil jualannya agak tinggi dan buat masa ini harganya mencecah RM25 sekilogram iaitu sama berat dengan jambak cendawan daripada 30 beg.

''Sebuah beg akan mengeluarkan dua hingga tiga jambak berkembar yang setiap satu saiznya sebesar tapak tangan orang dewasa berwarna coklat kehitaman apabila matang dan boleh dituai." katanya.

Dia yang sebelum ini mencari rezeki dengan menjadi subkontraktor, kini mencuba mencapai hasil tuaian maksimum sehingga lima kali melalui tanamannya yang disemai secara berperingkat-peringkat.

''Buat masa ini terdapat 25,000 beg dalam sebuah bangsal dan dua bangsal lagi sedang dalam proses penyediaan tapak dan dijangka mengeluarkan hasil pertengahan tahun hadapan," ujarnya.

Katanya, berdasarkan jumlah tersebut, hasil yang diperoleh secara bergilir-gilir mengikut tempoh matang dengan anggaran tuaian sebanyak 6,000 beg dalam tempoh dua minggu dan purata pendapatan sebanyak RM2,000.

''Cendawan jenis ini memerlukan persekitaran yang lebih semulajadi seperti kawasan teduh dan redup di dalam hutan untuk memperoleh hasil yang lebih berkualiti," katanya.

Bagi menjimatkan kos penyediaan tapak semaian, Zulkifli melakukan sendiri kerja-kerja campuran tiga bahan utama iaitu habuk kayu pokok getah, dedak dan kapur.

''Untuk menambah kualiti dan perisanya, masukkan sedikit serbuk kunyit, debu serai wangi dan ekstrak tongkat Ali," katanya berkongsi petua.

Katanya, selepas campuran tersebut sebati, ia diisi ke dalam beg plastik kemudiannya dikukus selama lapan jam dan dibiarkan sejuk selama dua hari sebelum disuntik benih ke dalamnya.

''Benih diperoleh dari biji gandum menggunakan teknologi tisu kultur yang diperoleh dari pembekal dengan harga RM5.50 seberat 350 gram untuk 60 beg.

''Selepas dituai, saya memasarkan secara terus ke kilang. Bagaimana pun pada masa hadapan saya bercadang membeli mesin untuk memasarkan dalam bentuk serbuk," katanya.

No comments:

Post a Comment