Monday, January 4, 2010

BENIH IKAN

IMUR

ARKIB : 19/01/2009

Hasil lumayan usaha benih ikan


ROSLAN Omar menunjukkan seekor induk ikan keli yang digunakan untuk penetasan.


PASIR PUTEH 18 Jan. - Roslan Omar, 30, berkelulusan dalam bidang Sains Biologi Universiti Malaysia Sabah pada awalnya bekerja sebagai operator kawalan mutu di sebuah kilang kereta di Kuala Lumpur.

Ia tiada kaitan dengan bidang yang dipelajari di universiti setelah menghabiskan banyak masa, juga belanja. Jawatan yang disandang pula tidak memerlukan ijazah sekadar sijil peringkat menengah.

Namun, Roslan yang berasal dari Kampung Banir Belikong, Selising dekat ini terpaksa bekerja untuk menampung keperluan sementara menunggu peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, setelah bapanya meninggal dunia, dia pulang semula ke kampung bagi menemani ibunya yang tinggal bersendirian dan di situlah Roslan yakin dia tidak perlu terus berharap makan gaji tetapi berdikari untuk masa depannya.

''Saya dapati begitu kurang pengusaha dalam projek benih ikan bagi menampung keperluan, berbanding mereka yang mengusahakan ternakan ikan.

''Saya pada awalnya turut menternak ikan secara kecil-kecilan di kawasan tali air Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu sejak tiga tahun lalu dan kemudiannya melibatkan diri dalam proses penetasan benih ikan setelah mempelajari daripada mereka yang berjaya," katanya.

Setakat ini, beliau mampu memenuhi permintaan termasuk benih ikan puyu, tilapia, sepat, patin dan keli oleh penternak yang memerlukan antara 1,000 hingga puluhan ribu ekor pada satu-satu masa.

''Harga jualan bagi benih mengikut ukuran antara satu setengah inci hingga tiga inci dengan harga antara lima hingga 10 sen seekor," jelasnya.

Menurutnya, dalam menyediakan semua benih ikan tersebut, dia mempunyai beratus ekor induk bagi mendapat telur yang ditempatkan dalam kolam tanah dan simen.

Setakat ini, katanya, beliau mampu menghasilkan antara 10,000 hingga 100,000 benih ikansebulan melibatkan semua jenis bagi memenuhi keperluan penternak yang memerlukannya.

''Kini saya puas hati melihatkan kerja yang dilakukan mendapat hasil lumayan berikutan pasaran yang baik sekarang dan juga pada masa hadapan," ujarnya.

Roslan memberitahu, semasa memulakan usahanya itu, dia hanya bermodalkan kira-kira RM15,000, hasil simpanan dan bantuan keluarga untuk menyediakan kolam dan sangkar serta membeli benih ikan.

''Tetapi saya lebih menumpukan kepada ikan keli kerana boleh dipasarkan dalam tempuh tiga bulan berbanding tilapia, puyu, patin dan sepat yang mengambil kira-kira tujuh bulan sebelum boleh dijual," ujarnya.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berusaha memproses sendiri makanan untuk ikan tersebut bagi mengurangkan kos termasuk menggunakan beras hancur dan hampas kacang soya yang dimasak seperti dodol.

''Andainya menggunakan pelet di pasaran, saya terpaksa membelanjakan lebih RM1,000 tetapi dengan memprosesnya sendiri, saya mampu mengurangkan kos sehingga RM400," ujarnya.

Setakat ini beliau juga mempunyai kira-kira 40,000 ekor ikan ternak dan menjualnya dalam jumlah kira-kira 200 kilogram setiap bulan yang ditempatkan dalam sebahagian daripada 12 buah kolam dan tujuh sangkar.

Katanya, harga peraih bagi ikan keli dan patin ialah RM3.50 sekilogram , ikan puyu RM12, tilapia RM8 manakala sepat pula RM10 sekilogram.

Roslan yang buat masa ini cuma mempunyai seorang pembantu berkata, berdasarkan potensi bidang ini, dia menyasarkan dapat mengeluarkan 500,000 hingga sejuta benih dalam satu-satu masa bagi tempoh beberapa tahun lagi.

''Saya juga bercadang untuk melibatkan ternakan ini dalam program Inap Desa untuk mempopularkan masakan ikan air tawar di samping menyediakan peluang pelancong dan pelawat memancing ikan air tawar itu," ujarnya.

1 comment: