Saturday, January 9, 2010

JANA HASIL LUMAYAN

SELATAN

ARKIB : 11/03/2009




Hasil ayam serama lumayan

ZAKARIA Tompang menunjukkan ayam serama peliharaannya di Semabok, Melaka.


MELAKA 10 Mac - Sebut sahaja ayam serama, sudah tergambar kecantikan fizikal ayam itu yang telah berjaya menawan hati pelbagai masyarakat.
Kecantikannya mampu menghiburkan hati pemiliknya. Malah ayam ini sangat mudah dan murah untuk dipelihara. Memang tidak menjemukan jika berpeluang bermain-main dan melihat ayam serama.
Ayam serama cukup popular pada masa kini. Justeru sudah wujud kumpulan pencinta ayam ini dan ada pula yang menubuhkan persatuan bagi menghimpunkan pemilik haiwan peliharaan ini.
Uniknya ayam ini, terletak pada kebolehannya beraksi seperti model yang berjalan di atas pentas dengan dada yang menegak apabila diletakkan di atas meja. Lebih menarik perhatian, jika ia berdiri sambil mengangkat sebelah kaki.
Saiznya yang kecil dengan warna bulu yang menarik membuatkan ayam serama kelihatan sangat comel lebih-lebih lagi ketika ia bergaya.
Tetapi masih ramai yang terkeliru dengan baka ayam kecil lain seperti ayam kapan, ayam katik dan lain-lain kerana ia tidak dikategorikan sebagai ayam serama.
Ayam serama yang popular pada masa kini adalah hasil kacukan pelbagai spesies burung seperti burung hutan, ayam kerdil Thai dan juga bantan.
Sering dikatakan bahawa serama tidak dapat dinilai dengan wang kerana ayam ini dapat menjadi haiwan peliharaan yang mendatangkan keuntungan apabila menjuarai sesuatu pertandingan.
Pertandingan ayam serama sering diadakan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.
Anak ayam baka juara boleh dijual pada harga RM1,000 hingga RM2,000 seekor, manakala anak ayam yang agak dewasa boleh mencapai harga antara RM2,000 dan RM10,000.
Harga pasaran bagi ayam bergelar juara pula berkisar antara RM10,000 hingga RM80,000.
Bagaimanapun, tidak ada harga yang tetap dalam urusan jual beli serama. Semuanya bergantung kepada rundingan antara pembeli dan pemilik.
Penternak serama, Zakaria Tompang, 49, berkata, kerjaya yang dilakukannya menjanjikan pendapatan yang lumayan.
"Mula berjinak-jinak sebagai pemilik ayam serama tetapi lama kelamaan timbul idea untuk menternak dan menyediakan bakanya pula," katanya yang mendapatkan baka serama dari Kelantan.
Di pekarangan rumah Zakaria, terdapat lebih kurang 18 sangkar serama dengan setiap sangkar boleh memuatkan sepasang ayam.
Zakaria yang juga Pengerusi Kelab Peminat Ayam Serama Melaka berkata, dia kini mempunyai hampir 36 ekor ayam serama, tidak termasuk yang sudah dijual dan diberikan kepada rakan-rakan.
Menurut Zakaria, ayam serama yang mempunyai berat lebih kurang 200 gram, mempunyai jangka hayat sehingga 10 tahun sekiranya dijaga dengan baik dan diberikan perhatian khusus.
Katanya, ibu ayam serama mampu bertelur antara lima hingga enam biji dalam satu masa dan saiz telurnya lebih besar sedikit daripada telur burung merpati.
Ujarnya, dari segi penjagaan dan pemakanan ayam itu, tidak rumit malah senang untuk dijaga selain perbelanjaannya juga lebih murah jika dibandingkan dengan kos membela burung.
"Kos pembelian ayam ini memang mahal tetapi daripada segi penjagaannya sangat murah. Serama hanya perlu diberi makan dua kali sehari dan kadang-kadang sehari sekali.
''Makanannya daripada campuran bijirin, jagung dan juga biji buah tembikai atau sekoi untuk mendapatkan bulunya yang berkilat. Minumannya daripada air tapisan ataupun air perigi," katanya.
Kos sebulan bagi penjagaan dan pemakanan seekor ayam serama hanya RM5 dan hanya seminggu sekali ayam ini akan dimandikan dan diberi vitamin supaya lebih bertenaga.
"Jika dimandikan, ayam ini akan disyampu dan disiram dengan cecair Dettol sebelum dijemur di bawah matahari. Kakinya akan digosok dengan berus gigi bagi menghilangkan kotoran yang melekat pada kakinya.
''Ada juga peminat ayam serama yang memberi makan ayam mereka jamu serta minyak ikan bagi mencantik dan mengilatkan lagi bulu ayam serama mereka," ujarnya.
Menurut Zakaria, jika balung ayam berwarna kehitam-hitaman atau pun kebiru-biruan, bererti ayam itu sedang sakit dan tidak sihat.
"Reban dan najis serama tidak berbau berbanding ayam proses dan ayam kampung," katanya ketika ditemui di rumahnya di Semabok, baru-baru ini.
Jelas Zakaria lagi, ayam serama yang telah dipilih untuk menyertai pertandingan, telah dilatih untuk berjalan di atas meja yang beralaskan karpet bagi menyesuaikan dirinya dengan keadaan ketika hari pertandingan.
Salah seorang peminat ayam serama, Mohd. Hasbullah Abu Hasan, 34, berkata, bagi pemilik serama, ayam ini mempunyai keistimewaan tersendiri.
"Melihat aksinya bergaya sahaja, hati jadi gembira. Sebab itu ada pemilik yang bercakap dengan serama dan boleh membelainya selama dua hingga tiga jam sehari.
"Memelihara serama nikmatnya lebih terasa jika dibandingkan dengan burung kerana jika ayam serama ini kerap dilatih ia mampu bergaya mengikut alunan muzik," katanya.
Menurut Mohd. Hasbullah lagi, seorang yang betul-betul meminati serama, mampu mengetahui anak ayam yang baru beberapa minggu menetas akan mengikut baka induknya atau tidak dan boleh dikatakan tekaan mereka itu 80 peratus tepat.
Peminat setia serama, Mohd. Hululazmi Abd. Aziz, 45, pula berkata, bukan semua ayam ini boleh bertanding kerana ia mesti mengikut kriteria yang telah ditetapkan oleh pengadil.
"Kriteria yang diambil kira pihak juri termasuk bentuk tubuh, gaya, ekor, balung, kabir, lawi dan sayap,'' katanya.
Terdapat juga ayam serama yang membuat ragam ketika diadili pihak juri. Justeru pemiliknya harus memberi makanan yang secukupnya supaya serama tidak keletihan ketika menunggu waktu untuk diadili.
Serama yang hendak dipertandingkan pula mesti diasingkan daripada pasangannya supaya ia lebih galak dan garang untuk beraksi bagi menarik perhatian pasangannya.

1 comment:

  1. salam,rumah en.zakaria ni area mana?boleh x sy datang nak tengok ayam serama

    ReplyDelete