ARKIB : 05/01/2009
Lintah sumber rezeki Jusoh
|
|
SETIU 4 Jan. - Permintaan tinggi terhadap lintah untuk kegunaan bahan asas kosmetik dan perubatan bukan setakat memberi pulangan lumayan kepada seorang warga emas daripada hasil jualan hidupan air itu, malah pengetahuan tentang selok-belok ternakannya turut 'dijual' kepada pengusaha yang berminat.
Pengalaman sejak dua tahun menternak lintah menjadikan Jusoh Awang, 67, orang yang sering dicari oleh kalangan bakal penternak hidupan itu untuk mendapatkan panduan mengenai cara menceburi bidang berkenaan.
Walaupun belajar setakat darjah lima dan bekerja sebagai nelayan, namun dalam hal berkaitan lintah, Jusoh yang menetap di Kampung Fikri di sini tidak memerlukan segulung ijazah atau diploma untuk memberi ceramah sebaliknya kejayaannya sebagai penternak lintah sudah cukup menyakinkan pendengarnya.
Justeru, tidak hairan jika warga emas itu kini dibayar RM250 sejam untuk mencurahkan pengalaman dan ilmu berkaitan penternakan lintah kepada mereka yang berminat.
Jusoh ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini berkata, beliau mula dijemput untuk memberi ceramah tentang lintah September lalu dan setakat ini telah mengadakan ceramah berkaitan ternakan lintah hingga ke Pahang, Johor dan Perak.
Menurut bapa kepada lapan anak itu, ceramah yang disampaikannya meliputi cara pembiakan, pembesaran dan penjagaan lintah.
''Ceramah biasanya dihadiri antara 10 hingga 20 penternak dan mereka amat berminat untuk mengetahui kaedah memelihara lintah itu secara lebih berkesan.
''Saya berbangga dengan kebolehan ini dan saya bersyukur kerana menerusi kejayaan menternak lintah, saya dapat memberi tunjuk ajar kepada orang lain yang berminat untuk memelihara lintah yang mendapat pasaran baik sekarang dan pada masa akan datang," ujarnya.
Jusoh kini mengusahakan 10 kolam ternakan lintah terletak berhampiran rumahnya dengan dibantu oleh seorang anaknya, Mazlan, 32, dan dua lagi cucunya.
Warga emas itu memberitahu, beliau mengutip pengetahuan dalam bidang ternakan lintah menerusi khidmat nasihat seorang pensyarah dalam bidang akuakultur dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Zaleha Kassim.
Selain mengendalikan projek ternakan lintah yang memberi pulangan antara RM1,000 hingga RM1,500 setiap bulan, Jusoh juga menjual makanan lintah dengan harga RM5 sebungkus bagi paket seberat 500 gram.
Makanan lintah itu yang diberi nama Baja S.A. itu diperbuat daripada belut kering dan bahan-bahan organik juga berkesan untuk merawat air selain sesuai untuk tanaman.
Jusoh memberitahu, kolam miliknya telah menghasilkan kira-kira 80,000 ekor lintah yang dijual dengan harga RM1.60 seekor.
Menurutnya, tempoh matang bagi lintah adalah lima bulan sebelum boleh dijual kepada pembeli.
''Kebanyakan pembeli yang datang membeli lintah ini adalah dari negeri Johor, Kedah, Selangor dan Perak untuk tujuan pembuatan kosmetik dan minyak lintah," ujarnya.
No comments:
Post a Comment