ARKIB : 08/01/2010
Mencari nilai perubatan kuda laut
|
|
KEPELBAGAIAN biologi yang negara miliki merupakan satu kekayaan yang tidak ternilai harganya. Kekayaan tersebut merupakan satu khazanah alam semula jadi dengan kepelbagaian spesies dan ia menjadi satu peluang penerokaan yang lebih luas menerusi aktiviti penyelidikan.
Sesuai dengan matlamat penubuhannya untuk memanfaatkan sumber semula jadi marin dan selaras dengan tagline, Terokaan Seluas Lautan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sejak beberapa tahun lepas menjalankan penyelidikan spesies kuda laut dengan tumpuan kepada beberapa aktiviti.
Usaha tersebut dijalankan oleh Institut Bioteknologi Marin (IMB), UMT dengan kerjasama Perbadanan Bioteknologi Johor dan Jabatan Perikanan.
Menurut Pengarah IMB, Prof. Dr. Mohd. Effendy Abd. Wahid, penglibatan pihaknya dalam penyelidikan bioteknologi marin adalah selaras matlamat UMT untuk memanfaatkan sumber laut untuk faedah masyarakat.
"Lautan menawarkan kekayaan spesies untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan.
"Ia merupakan satu lagi potensi dalam bidang bioteknologi yang belum diterokai sepenuhnya,'' katanya ketika ditemui di pejabat IMB di kampus UMT Kuala Terengganu baru-baru ini.
Malah, katanya penyelidikan dalam bidang bioteknologi marin semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan yang boleh menjana gelombang baru dalam bidang tersebut sejak pelancaran Dasar Bioteknologi Kebangsaan (NBD) pada 2005.
Justeru katanya, IMB dengan kerjasama dua pihak terbabit telah memulakan penyelidikan bioteknologi dan pembiakbakaan kuda laut di Sungai Pulai, Johor.
Menerusi kerjasama tersebut, IMB menawarkan kajian dan kepakaran, JohorBiotechCorp (dana) manakala Jabatan Perikanan berhubung kait dengan kemudahan dan kelengkapan.
Berdasarkan rekod, ia melibatkan Pusat Penyelidikan Ikan Air Payau, Jabatan Perikanan yang menjalankan program kultur makanan hidup bagi pembiakan kuda laut secara tiruan bagi mengelakkannya daripada pupus akibat kegiatan manusia yang mencari keuntungan dengan menjualnya untuk tujuan perubatan tradisional.
perubatan tradisional
Kajian tersebut mula dijalankan pada 2002 selepas satu kajian pada April hingga Julai tahun tersebut dan mendapati populasinya semakin berkurang. Berdasarkan fakta, setiap tahun, sebanyak 20 juta kuda laut ditangkap dengan 95 peratus daripadanya digunakan untuk tujuan perubatan tradisional.
Justeru, program melibatkan tiga pihak itu mempunyai objektif untuk mempromosi, membangunkan dan meningkatkan industri bioteknologi marin selain mengenal pasti potensi kuda laut untuk mendapatkan sebatian aktif bagi kegunaan manusia.
Projek tersebut juga penting bagi meningkatkan ilmu pengetahuan dalam bidang penting bioteknologi marin menerusi penyelidikan dan aplikasi bioteknologi.
Menurut Mohd. Effendy lagi, projek berkenaan juga penting bagi meningkatkan kefahaman dan tanggungjawab mengenai kelestarian organisme marin.
IMB katanya, melihat beberapa kemungkinan potensi kuda laut dalam pencarian terhadap sebatian aktif iaitu untuk membantu merawat kanser , ketumbuhan, mati pucuk, pembekuan darah, penyaktoksik buah pinggang, asma, rawatan kulit, antipenuaan sebatian anti-fatigue (anti kelesuan), sistem hormon ketahanan badan serta saraf .
Projek penyelidikan tersebut melibatkan spesies Hippocampus kuda dan melibatkan empat fokus iaitu pengurusan dan kultivasi, penskrinan sebatian bioaktif, kajian anti mikrob dan antikulat daripada bakteria yang hidup pada mukus kuda laut serta pemprofail molekul dan pembinaan DNA kuda laut.
Menerusi objektif pertama, ia bertujuan memulihara dan menempatkan semula kuda laut di Sungai Pulai yang mana populasinya semakin berkurangan, dan membantu mengurangkan eksploitasi berleluasa spesies tersebut menerusi perdagangan serta menilai kemungkinan untuk mengkultur spesies Hippocampus kuda, yang amat bernilai.
Menurut Mohd. Effendy lagi , IMB ketika ini telah mengkultur beberapa pasang Hippocampus kuda di pusat penetasan di Johor sejak enam bulan lepas yang mana pertumbuhannya diawasi sepanjang masa.
Parameter fizikal dan kimia air juga diawasi sepanjang masa untuk menilai tahap optimum pertumbuhannya.
Setakat kedua-dua pasang kuda laut tersebut telah menghasilkan antara 90 dan 100 anak dan IMB bercadang mengeluarkan satu protokol mengkultur kuda laut sekiranya kajian tersebut dapat menghasilkan kadar boleh hidup yang tinggi.
Menerusi objektif untuk penskrinan sebatian aktif, setakat ini, IMB telah berjaya mengesan 11 sebatian tulen.
Ekstrak mentah tersebut diperoleh menggunakan kaedah terkini termasuk penggunaan hexana, klorofom dan metanol pada peratusan tertentu .
Lapisan nipis kromatografi (TLC) digunakan untuk mendapatkan sistem pelarut yang sesuai manakala sebatian diperoleh dengan pengasingan Column Chromatography (CC).
"Sebatian juga diuji dengan aktiviti sitotoksik menentang sel kanser.
"Keputusan awal juga mendapati sebatian aktif daripada kumpulan asid lemak sterol, alkaloid dan sebatian kristal yang belum dikenal pasti berjaya dipencilkan," ujarnya.
Dalam pada itu, terdapat tiga jenis penyakit yang disasarkan untuk ujian bioassay (ujian biologi) iaitu asma dengan menggunakan sejenis enzim untuk menghasilkan 5-Lipoxygenase yang menyebabkan komplikasi semasa asma.
Ujian yang sama dijalankan untuk penyakit kanser terutama kanser buah dada dan serviks selain penyakit aphrodisiac iaitu sejenis penyakit berkaitan batin.
Menurut Effendy lagi, penskrinan dan pencirian bakteria yang melekat pada kuda laut juga dijalankan bertujuan mencari kandungan atau sebatian kimia yang boleh dikomersialkan dan mencari enzim yang boleh dimanfaatkan untuk kegunaan industri dan farmaseutikal.
No comments:
Post a Comment