Industri lumayan sarang burung walet Oleh LAUPA JUNUS | |
Ramai daripada kita mengenali burung layang-layang tetapi apabila disebut walit atau walet, hanya segelintir sahaja yang tahu mengenainya, itu pun di kalangan mereka yang terbabit dengan industri sarang burung. Di sesetengah tempat, ia lebih dikenali sebagai burung layang-layang tetapi jika dibuat perbandingan, terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua spesies tersebut. Apa pun, nilai burung ini bukanlah terletak kepada bulu, paruh atau pada mana-mana bahagian tubuhnya. Pencinta burung sekali pun tidak mungkin tertarik kepadanya semata-mata kerana bunyi yang dikeluarkan, sebaliknya sarang burung ini umpama emas yang diburu oleh manusia. Masakan tidak, nilai sarang burungnya mencecah ribuan ringgit sekilogram kerana khasiatnya yang sudah diketahui ramai. Seorang perunding mengenai ternakan burung walet, Azman Shah Omar dari Bina Agro Nusantara Resources Sdn. Bhd. memberitahu, harga sarang burung mentah boleh mencecah antara RM2,000 dan RM5,500 sekilogram, manakala yang telah diproses atau dibersihkan boleh mencapai antara RM10,000 dan RM12,000 sekilogram. Justeru di Malaysia, katanya, ramai telah menanam minat untuk menjadi pengusaha sarang burung walet ini kerana nilainya yang begitu lumayan. Tambahan pula, katanya, rantau Asia Tenggara terutama Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura menjadi tumpuan pergerakan burung ini. “Ini satu usaha yang lumayan kepada pengusaha dan mereka tidak perlu menternak dan memberi makan. “Cukup sekadar membuat rumah di kawasan habitat makro burung ini,” katanya kepada Mega, baru-baru ini. Melihat kepada potensi tersebut, sebuah syarikat tempatan Walit World Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif untuk membangunkan kawasan ‘perumahan walet' di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan menggunakan teknologi binaan dan sistem audio oleh Bina Agro Nusantara (BAN) yang telah terbukti berjaya di Indonesia. Indonesia merupakan pengeluar utama sarang walet iaitu sebanyak 80 peratus, berbanding Malaysia di tangga kelima dengan lima peratus sahaja walaupun burung walet ini juga terdapat dengan amat banyaknya di negara ini. Menyedari senario ini, projek perumahan bersepadu ini berpotensi besar untuk memberi pulangan lumayan kepada bakal pemilik rumah walet tersebut. Menurut Pengarah Projek Walit World, Mohd. Nasir Che Fa, rumah yang dibangunkan berbentuk blok bangunan dengan empat jenis atau saiz yang berbeza. Sebanyak 63 buah blok tiga tingkat akan dibangunkan yang dijangka dimulakan bulan ini yang melibatkan tiga fasa, dengan keluasan purata 5,000 kaki persegi setiap satu. Empat jenis saiz setiap blok yang ditawarkan ialah 25 x 60 kaki, 25 x 50 kaki, 25 x 40 kaki dan 25 x 30 kaki bermula pada harga RM265,000. Harga tersebut meliputi lot kawasan, rumah burung yang dilengkapi dengan sistem audio, kamera litar tertutup televisyen (CCTV) dan juga kawasan pagar yang tujuan keselamatan. | |
| |
Menurut Mohd. Nasir, mereka yang berminat perlu membuat tempahan sebanyak RM5,000, dan jumlah deposit sebanyak 10 peratus daripada harga blok. “Kita akan membangunkan 20 buah blok pada fasa pertama, 21 blok pada fasa kedua dan 22 blok pada fasa ketiga,” katanya. Katanya, lagi konsep pembelian lebih kurang sama dengan sistem pembelian rumah kediaman pada masa ini. Menurut beliau, pihaknya berusaha untuk membantu mendapatkan pinjaman dari AgroBank dengan tempoh pinjaman yang bersesuaian untuk para pelabur. Beliau berkata, burung walet membuat sarang di kawasan yang bercahaya remang dalam bangunan menggunakan air liur. “Sepasang burung membuat sarang bersama dan sarang matang dalam tempoh tiga bulan berikutnya,” ujar beliau. Setiap blok bangunan, kata beliau, mampu mengeluarkan hasil maksimum setahun antara 100 kilogram (kg) dan 150 kg bermula tahun keenam. Setiap kilogram pula katanya mengandungi 120 sarang burung. Burung walet sukakan suhu antara 26 dan 31 darjah Celsius, berhampiran kawasan sungai, kolam atau tepi laut atau berhampiran dengan sumber makanan, antaranya serangga. Azman Shah menambah, beliau membawa masuk teknologi dari Indonesia dalam perusahaan burung walet iaitu menggunakan alat pemikat daripada cakera video digital (DVD) dan MP3 dan twiter yang memainkan rakaman kicauan atau suara burung. Bunyi rakaman dimainkan di tempat tertentu mengikut keadaan termasuk ketika musim burung mengawan, mencari tempat membuat sarang atau mula bertelur. Burung yang terbang secara koloni bagaimanapun memerlukan kawasan yang sesuai termasuk kelembapan antara 85 dan 90 peratus, aroma dan suhu. Rumah burung pula katanya perlu mempunyai bilik bersarang, ruang utama, dinding, langit-langit, sirip, lantai, pintau masuk, lubang pengudaraan, kolam atau tong air dan pagar. Mengenai pasaran, Azman Shah berkata, ia menjanjikan pulangan lumayan memandangkan pengeluarannya masih kurang. Kata beliau, nilai eksport tempatan pada masa ini mencecah RM500 juta. Ketika ini, pengeluaran sarang burung walet seluruh dunia ialah bernilai RM4 bilion, satu angka yang lumayan untuk mereka yang mahu menceburkan diri. Sementara itu, Walit World dan Bina Agro Nusantara Resources akan menganjurkan seminar dalam masa terdekat mengenai perusahaan burung walet yang bakal memberi peluang kepada peserta memahami lebih dekat sistem perumahan walet. Beliau adalah wakil kepada Arief Budiman iaitu pengasas Bina Agro Nusantara Indonesia yang berjaya menghasilkan 13 judul buku berkaitan burung terbabit dengan jualan jutaan naskah. Dengan adanya pakar dan konsultan berkelayakan, peserta memperoleh maklumat sebenar mengenai perusahaan burung walet dan potensinya sebelum memulakan hasrat menjadi pengusaha sarang burung. Seminar tersebut akan memfokus mengenai keistimewaan burung walet, kawasan taburan, ciri-ciri dan populasi, peluang bumiputera, peranan dan tanggungjawab, pelaksanaan pembiayaan dan permintaan pasaran. Mereka yang berminat menyertai seminar tersebut tersebut boleh menghubungi talian 06-8502600 atau melayari laman web www.walitworld.com atau menghubungi talian 03-26940595 atau melayari laman web www.ban-walitworld.com. |
Tuesday, December 1, 2009
EMAS PUTIH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment