Tuesday, December 1, 2009

Q&A BURUNG WALET

Apakah yang dikatakan burung layang-layang (walet)?
Burung walet atau Aerodramus Fuchipagus adalah burung pemakan serangga yang mampu terbang dengan kelajuan dan pergerakan yang cepat. Ia tidak boleh mendarat di tanah atau hinggap pada dahan pokok kerana kakinya yang pendek dan biasanya boleh didapati di gua-gua pinggir hutan, sawah, habitat yang berkayu serta di kawasan pantai atau lombong. Burung ini mampu terbang dalam kegelapan melalui kaedah ‘eccholation’ dan membuat sarang menggunakan air liurnya.

Adakah industri perniagaan ini sah di sisi undang-undang?
Ya, ia merupakan satu peniagaan, pelaburan dan industri yang sah yang mendapat perhatian serta diikitiraf oleh pihak kerajaan dengan penglibatan pihak Jabatan Perhilitan, Jabatan Veterina (Haiwan), pihak berkuasa tempatan serta Kementerian Kesihatan. Pihak Jab Veterina juga ada menerbitkan sebuah buku bertajuk Garis Panduan Amalan Penternakan Burung Walit (GAHP) untuk dijadikan panduan dan asas kepada pengusaha.

Berapakah pulangan pelaburan yang boleh didapati melalui sebuah rumah burung walet yang berjaya?
Anggaran pendapatan sesebuah rumah burung walet berkeluasan 20’ x 70’ x 2 tingkat adalah RM40-RM60k sebulan atau 10-15kg sebulan selepas tempoh matang atau kebiasaannya selepas tahun ke-4.

Bagaimanakah kawasan yang sesuai untuk membina rumah burung dan menjalankan pembiakan burung walet?
Kawasan pembiakan burung walet yang sesuai adalah di kawasan habitat yang berkayu seperti pinggir hutan, ladang kelapa sawit, sawah, tepi pantai dan kolam atau lombong yang mempunyai potensi pemakanan seperti serangga dan sumber minuman yang banyak.

Perlukah sebuah rumah bururng walet dipasang bunyi suara burung berterusan (24 jam) sejak beroperasi?
Rumah burung walet dibenarkan dipasang bunyi dalaman burung walet selama 24 jam tetapi bunyi luaran hanya perlu dipasang pada waktu-waktu tertentu sahaja iaitu pagi (7.00pagi – 12 tengahari) dan petang (5.00 petang -7.30 malam). Waktu tersebut adalah waktu yang disyorkan oleh Jab Veterina dan kekuatan bunyi (decibel) pula di antara 0.0525dB – 0.1578dB atau frekuensi 1khz – 16khz iaitu di bawah pendengaran manusia.

Adakah jangkitan penyakit seperti selsema burung boleh berlaku?
Selesema burung tersebar disebabkan sisa kotoran najis di atas tanah yang dimakan oleh binatang ternakan seperti ayam sebaliknya burung walet mencari makan di udara. Namun, sisa kotoran najis burung di dalam rumah burung perlu dibersihkan secara berkala bagi mengelakkan hama atau penyakit lain boleh merebak.

Saya memiliki sebuah rumah kedai 20’ x 70’ x 2 tingkat dan ingin mengubahsuai rumah tersebut kepada rumah burung walet. Apakah yang perlu saya lakukan dan berapakah anggaran kos yang diperlukan?
Lesen mengubahsuai bangunan perlu diperolehi dari pihak Majlis Daerah terlebih dahulu seterusnya pihak perunding yang dilantik perlu membuat lawatan dan penilaian ke atas rumah kedai tersebut sebelum pengiraan jumlah anggaran kos dibuat serta mengenalpasti adakah rumah burung sesuai dibina di kawasan tersebut. Anggaran kos adalah berbeza antara sesuatu tempat bergantung kepada lokasi dan kedudukan kedai tersebut.

Sarang rumah vs sarang gua.. apakah perbezaan antara keduanya?
Sarang rumah berwarna putih dan lebih bersih serta terdiri dari 85-95% air liur dengan harga yang tinggi sedangkan sarang gua biasanya berwarna hitam dan lebih kotor di mana 85% adalah bulu atau pelepahnya pada harga nisbah 1:5 lebih rendah berbanding dengan sarang rumah.

Bolehkah burung walet ini diternak dan bagaimana boleh kita mempelajari tentang penternakan burung walet?
Kehidupan asal burung walet adalah burung yang terbang bebas dengan mencari makan sendiri secara semulajadi sebaliknya jika diternak, makanannya yang terdiri dari serangga perlu disediakan dan kos akan bertambah serta tidak efektif dan apabila burung tersebut meningkat dewasa ianya akan kembali membesar secara semulajadi.

Bagaimana boleh saya mengenalpasti atau mengira jumlah burung walet yang telah melawat rumah burung walet saya?
Jumlah burung walet boleh dikenalpasti dengan memerhatikan dan menanda tompokan tahi burung yang terdapat di lantai, ini bermakna pada malam hari ada burung walet tidur di dalam rumah tersebut.

Bagaimanakah caranya untuk mendapatkan sarang burung berwarna merah?
Sarang merah terjadi disebabkan serapan mineral dari makanan laut (kandungan zat besi yang tinggi) serta banyak terdapat di kawasan Borneo dan bukan disebabkan burung tersebut kepenatan sehingga mengeluarkan darah.

Siapa dan apakah pemangsa utama burung walet?
Pemangsa semulajadi bagi burung walet adalah cicak, lipas, tikus, helang, burung hantu, biawak dll tetapi manusia (pencuri sarang burung) kini merupakan pemangsa yang utama.

Rumah burung saya telah dibina 6 bulan yang lalu dan mempunyai suhu, kelembapan dan pencahayaan yang sesuai tetapi mengapa burung walet masih tidak berminat untuk membuat sarang?
Rumah burung yang berjaya bukan sekadar perlu diadaptasikan suasananya seperti gua tetapi memerlukan ruang legar (rooving room) untuk berpusing atau terbang yang sesuai (minima 10’x10’) di samping sistem bunyi yang mampu menarik minat burung walet untuk bermain dan membuat sarang. Susunan kayu beluti juga perlu selari dengan ruang masuk serta banyak faktor lain lagi yang turut menyumbang kepada minat burung walet untuk berdiam.

Apakah material atau bahan binaan yang paling sesuai untuk mendirikan rumah burung walet samada menggunakan bata merah, bata pasir, bata blok atau dinding ‘foam’?
Penggunaan bata merah (tanah liat) adalah paling sesuai berbanding bata pasir, bata blok atau dinding ‘foam’ kerana ianya terbukti dapat menstabilkan suhu dalaman rumah burung pada waktu siang dan malam serta mempunyai aroma atau bau tanah yang bersesuaian dengan kehendak burung. Sebaliknya dinding ‘foam’ (campuran simen + pasir + bahan kimia) lebih digemari di kawasan pendalaman dan kosnya lebih murah tetapi tidak begitu sesuai di kawasan terbuka.

Apakah caranya untuk meningkatkan mutu dan kuantiti sarang burung dalam sebuah rumah burung yang telah mempunyai hasil?
Mutu sarang burung dapat ditingkatkan dengan mengawal suhu pada kadar 25-29 darjah Celcius dan kelembapan antara 85-90% di samping kebersihan dan keadaan dalam rumah burung perlu dititikberatkan. Kuantiti sarang burung pula dapat ditingkatkan dengan menambah kayu meranti samada secara rak berlapis/bertingkat atau ditambah satu lapisan lagi tetapi ketinggian rumah burung tersebut mestilah >8 kaki. Di samping itu hasil sarang burung juga dapat dituai 2x sebulan selepas tahun ke-5 dan seterusnya.

Mengapakah masih terdapat banyak rumah burung walet yang gagal dan apakah kesilapan yang sering dilakukan?
Kurangnya pengetahuan, pengalaman dan kajian terhadap teknik-teknik dan kesesuaian mengikut kehendak burung menyebabkan faktor utama kegagalan sesebuah rumah burung walet. Ramai yang mendakwa seorang kontraktor binaan mampu membina sebuah rumah tetapi tidak untuk rumah burung. Rumah burung juga memerlukan penyelenggaraan yang berkala dan berpengalaman bagi mengekalkan suhu, kelembapan, cahaya, kebersihan, kualiti bunyi dll adalah pada tahap maksima.

Jika semakin banyak rumah burung didirikan setiap bulan, apakah kemungkinan terdapat lebihan penawaran sarang burung di pasaran dunia?
Indonesia (60%), Thailand (20%), Malaysia (7%)dan lain-lain Negara (13%) merupakan pengeluar utama sarang burung cuma mampu menyumbang 30% dari permintaan pasaran dunia dan burung walet ini tidak terdapat di tempat lain sedangkan permintaannya bertambah setiap tahun.

Adakah sarang burung walet ini halal dimakan?
Sarang burung walet adalah halal untuk dimakan dan anda bolehlah merujuk dengan jabatan yang berkaitan (JAKIM) untuk mengesahkannya.

Industri Burung Walet Diperluas Ke Kampung

MARANG, 13 Sept (Bernama)-- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung-kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha bumiputera menceburi industri itu.

Ketua Pengarah JPV Datuk Abd Aziz Jamaluddin berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.

"Kalau boleh kita hendak melihat lebih ramai ramai bumiputera terlibat dalam industri burung walet ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau perusahaan burung walet di Kampung Pengkalan Berangan, di sini Ahad.

Abd Aziz berkata pada masa ini terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran sarang mencecah RM1 bilion setahun.

Beliau berkata daripada jumlah pengusaha itu hanya lapan peratus merupakan pengusaha bumiputra.

Abd Aziz berkata lawatannya ke kawasan perusahaan burung walet di kampung itu bertujuan membuat perbandingan sarang walet konvensional di Pengakalan Berangan dengan sarang yang ada di pantai barat.

"Kalau kita lihat ada potensi, mungkin kita akan perluaskan kaedah konvensional ini ke tempat lain," katanya.

Beliau berkata JVP bersedia memberikan bantuan dari segi pemasaran sarang burung walet bagi mengelak pengusaha dipermainkan orang tengah.

JPV juga akan membina sebuah pusat latihan veterinar di Cermin Kiri Jerangau sebagai pusat sehenti untuk memberi khidmat kaunseling burung walet, katanya.

SUMBER EKONOMI BARU - SARANG BURUNG LAYANG-LAYANG

HARGA sarang burung yang siap diproses kini boleh mencecah RM15,000 hingga RM25,000 sekilogram di China. Perkembangan terbaru itu semestinya mendorong penternak burung layang-layang di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk melihat sumber pendapatan yang lebih tinggi memandangkan lebih banyak pusat penternakan kini dibuka di wilayah itu.
Kelantan merupakan pusat penternakan burung layang-layang kedua terbesar di negara ini selepas Perak yang menghasilkan sarang burung bernilai tinggi serta menjadi idaman ramai iaitu hidangan yang mahal dihasilkan daripada ekstrak air liur burung layang-layang.
Sehingga Jun 2004, terdapat 300 sarang burung layang-layang di negeri itu terutama di Kota Bahru, Tumpat dan Rantau Panjang.
Kawasan lain termasuk dalam kawasan ECER adalah di Pasir Mas di Kelantan; Kampong Air Papan di Mersing; Kuala Besut, Kuala Terengganu; Tok Soboh, Kampung Pinang di Terengganu; dan juga Rompin serta Pekan di Pahang.
Malaysia kini merupakan pengeluar sarang burung yang boleh dimakan dengan nilai pembekalan kasar sebanyak tujuh peratus, selepas Indonesia (60 peratus) dan Thailand (20 peratus).
Sehingga akhir tahun 2006, terdapat hampir 36,000 burung layang-layang di seluruh negara dengan purata kadar pertumbuhan sebanyak 35 peratus setahun sepanjang tempoh lima tahun lepas.
Jumlah nilai pengambilan keseluruhan sarang burung yang boleh dimakan di seluruh dunia pada tahun 2006 dianggarkan RM8 bilion hingga RM12 bilion.
Hong Kong merupakan negara pembeli sarang burung terbesar iaitu sebanyak 50 peratus manakala China (lapan peratus), Taiwan (empat peratus) dan Macau (tiga peratus) dengan jumlah pengambilan kira-kira 160 tan pada tahun 2006.
Sekilogram sarang burung berwarna putih yang boleh dimakan belum diproses dijual pada harga RM4,500 hingga RM6,000 pada tahun 2006. Harganya berganda lebih tinggi di China dan Hong Kong.
Lonjakan
Industri penternakan burung layang-layang di Malaysia telah menyaksikan lantunan serta lonjakan pertumbuhan untuk tempoh lapan tahun sebelum ini.
Ladang-ladang ternak kebanyakannya dibina di bandar-bandar kecil di mana sumber makanan melimpah dan tahap pencemaran masih rendah.
Kerajaan Perak misalnya, menawarkan 10 kawasan berpotensi untuk peladangan burung layang-layang, manakala Johor mencadangkan sebuah taman eko burung layang-layang di Endau dan Desaru.
Kerajaan Negeri Sembilan juga menunjukkan minat yang sama untuk membina sebuah taman eko bagi tujuan tersebut.
Bank Pertanian Malaysia atau kini dikenali sebagai AgroBank menawarkan pembiayaan sehingga 85 peratus berikutan perusahaan sarang burung kini menjadi sebahagian daripada industri berasaskan tani.
Suruhanjaya Koperasi Malaysia pula telah mengiktiraf enam buah syarikat pengusahaan sarang burung bagi menjalankan usahasama perniagaan dengan gerakan koperasi di seluruh Malaysia di bawah program pemadanan perniagaan (business matching).
Namun begitu, perunding dan pakar reka bentuk rumah burung layang-layang, Abdul Aziz Mohd. Rejab dari GEM Sdn. Bhd., memaklumkan buat masa ini hanya 20 peratus daripada keperluan dunia dapat dipenuhi.
Bagi memenuhi keperluan pasaran, GEM Sdn. Bhd. bekerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menganjurkan seminar dan kursus kepada para usahawan yang berminat.
Lumayan
Penternak burung layang-layang mendapat pendapatan lumayan dengan menjual sarang burung yang boleh dimakan, menguruskan ladang-ladang ternakan burung layang-layang dengan berjaya atau menyediakan khidmat perundingan mengenai penternakan burung layang-layang.
Pengarah Urusan Nespure Birdnest Sdn. Bhd, Ng Ching Phock berkata, penternakan burung layang-layang telah menjadi industri baru untuk membangkitkan ekonomi negeri Kelantan selain menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk di situ.
Dengan memiliki ladang serta pusat jualan sendiri iaitu di Kota Bharu, Nespure Birdsnest memasarkan produk sarang burungnya di rangkaian kedainya serta menjualnya kepada pihak ketiga.
“Sarang-sarang burung hasil keluaran tempatan adalah antara yang terbaik di dunia dari segi kualiti dan mendapat permintaan daripada pasaran antarabangsa sama ada yang mentah atau pun yang siap diproses,’’ kata Ching Phock.
Katanya, di Nespure Birdsnest, pekerja-pekerja digaji untuk memungut, membersih dan memproses sarang-sarang burung berkualiti dengan menggunakan kaedah tradisional.’
Syarikat itu juga merupakan yang pertama membuka pusat jualan di Pantai Timur dengan memasarkan produk sarang burung layang-layang laut termasuk puding longan dan puding sarang burung; dan juga soya dengan sarang burung.
“Sarang burung layang-layang laut adalah berkualiti. Ia dipasarkan di luar negara dan dieksport ke beberapa negara di Asia Barat,’’ tambahnya.
Menurut Dr. Christopher Lim, yang merupakan salah seorang pengendali ladang ternakan burung layang-layang paling berjaya di Malaysia dan turut memegang rekod pencapaian ‘pertumbuhan kedua terpantas dalam pengeluaran sarang burung yang boleh dimakan’ di negara ini, ladang yang berjaya mesti mampu menghasilkan satu sarang burung yang boleh dimakan bagi setiap kaki persegi setiap empat bulan sekali.
Dr. Lim yang juga pakar buah pinggang serta ketua Unit Nefrologi dan pensyarah kanan perubatan di Universiti Putra Malaysia telah melibatkan diri dalam penternakan burung layang-layang sejak Jun 2005.
Beliau berkata, sebuah rumah kedai dua tingkat dengan keluasan 20 kaki dan 70 kaki serta ruang binaan 2,800 kaki persegi sepatutnya berkeupayaan menghasilkan 2,800 sarang burung setiap empat bulan.
“Ini menjadikan jumlah keseluruhan pengeluaran sebanyak 8,400 sarang burung yang boleh dimakan setahun dan menjangkakan harga jualan sebanyak RM4,500 sekilogram, maka pulangan pelaburan adakah sebanyak RM342,000 setahun.
“Populasi burung layang-layang begitu menggalakkan sehingga ruang untuk menghasilkan sarang burung menjadi sesak kebiasaannya untuk tempoh lima hingga tujuh tahun.
“Apabila keadaan ini terjadi, burung layang-layang sedia ada tidak akan berhijrah, tetapi anak-anak burung layang-layang yang menetas di pusat penternakan itu terpaksa mencari tempat kediaman baru. Inilah masanya untuk sesebuah pusat penternakan itu diperbesarkan atau ditambah keluasannya.’’
Bio Research Centre (M) Sdn. Bhd yang lebih dikenali sebagai BRC iaitu salah sebuah pusat penternakan burung layang-layang terbesar di Perak turut menjelajah ke Mersing, Kota Baru dan juga di Kuantan serta Kuala Rompin di Pahang.
Pengarah Urusan BRC, Loke Teu Loong berkata, sejak pengeluaran secara komersial sarang burung yang boleh dimakan mula berkembang pada tahun 1998, semakin banyak ahli perniagaan dan usahawan industri kecil sederhana, tuan tanah serta para pelabur mula menyedari potensi kewangan hasil industri penternakan burung-burung layang di Malaysia.
“Ladang-ladang burung layang-layang mestilah terletak di jajaran terbang burung layang-layang iaitu dari tengah hutan simpan, kawasan paya bakau, ladang-ladang, sungai dan laut. Ini membentuk suasana yang sempurna untuk burung layang-layang,’’ kata Teu Loong.
80 peratus gagal
Ketiga-tiga pengusaha ladang ternak burung layang-layang itu bersetuju bahawa semua orang boleh menceburi bidang tersebut walaupun 80 peratus daripada mereka tidak berjaya.
Ini disebabkan, mereka tidak memiliki pengetahuan mengenai tingkah laku burung layang-layang, menternak di lokasi yang tidak betul atau reka bentuk ladang yang tidak sempurna.
“Berbanding 20 tahun lalu, burung layang-layang di Malaysia sekarang ini mempunyai banyak pilihan.
“Jika mereka tidak terbang dan mendiami ladang anda, terdapat 25,000 ladang lain menunggu, kerana itu seseorang pengusaha tidak boleh melakukan sebarang kesilapan,’’ tegas Dr. Lim.
Pada 2004, industri penternakan burung layang-layang di Malaysia telah diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebagai penyumbang kepada tukaran mata wang asing bagi negara ini.
Sehubungan dengan itu, pihak kementerian telah mewujudkan satu Garis Panduan Penternakan Burung Layang-Layang untuk semua pihak berkuasa tempatan di peringkat daerah, majlis tempatan dan majlis bandar raya di seluruh negara.
Sebagai tambahan, Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga mempunyai garis panduan untuk penternakan burung layang-layang.
Sarang burung dipercayai kaya dengan kalsium, zat besi, potassium dan magnesium yang amat berguna kepada kesihatan.
Sarang-sarang burung dibina semasa musim mengawan dengan burung layang-layang jantan mengeluarkan jaluran air liur untuk tempoh 35 hari.
Bentuknya ketika itu seakan-akan cawan mungkum yang melekat pada siling atau dinding.


2 comments:

  1. RUMAH SARANG BURUNG WALIT UNTUK DIJUAL

    LOKASI : KASA, PASIR MAS, KELANTAN.

    SIZE BANGUNAN : 4 TINGKAT ( 30 X 70 )

    KELUASAN TANAH : 15,000 KP @ 1394 MP @ 320 DEPA

    HARGA : RM 700,000.00

    HASIL KUTIPAN : 2 TAHUN LEBIH.

    BERMINAT SILA HUBUNGI:
    EN RIZAL
    017-985 4627

    ReplyDelete