Tuesday, December 1, 2009

TANAMAN CILI PADI

Tanam cili padi

Bersama Abdul Rahim Rashid (Pakar Hortikultur)


Cili padi banyak digunakan dalam resipi masakan Nusantara.

Penanaman guna polibeg atau kotak mampu keluarkan hasil dalam masa 10 - 14 minggu

CILI ialah tanaman daripada genre Capsicum, keluarga Solanaceae. Mengikut istilah botani, capsicum dalam kategori buah berri, namun cili sering dimasukkan dalam kumpulan sayuran yang mempunyai rasa pedas dan bahan penyediaan masakan.

Bagaimanapun, cili bukan saja digunakan sebagai bahan pedas, ia juga menjadi hiasan menarik untuk masakan mengikut keperluan pengguna.

Cili dipercayai berasal dari benua Amerika dan kini hidup di seluruh dunia kerana penggunaannya meluas dalam masakan mahu pun perubatan.

Namun, salah satu cili yang mendapat sambutan di negara ini dan sesuai dengan selera orang Asia ialah cili padi yang juga dikenali cili burung.

Cili ini bersaiz kecil dan bentuknya seperti biji padi menyebabkan ia mendapat nama cili padi. Di sesetengah tempat pula, ia dikenali cili burung kerana menjadi makanan unggas berkenaan.

Gambar dari kiri, Anak cili dalam pasu gantung. Bunga cili berwarna putih. Semai cili di tempat teduh.

Selain menjadi bahan makanan, cili padi turut menjadi hiasan menarik bagi laman terutama dalam penyediaan taman ramuan atau taman dapur (Edible Garden).

Berikut kaedah yang sesuai untuk menanam cili padi:

Langkah mudah penyediaannya.
A. Penyediaan anak benih
Ada dua jenis cara semaian mudah bagi penggunaan sendiri (bukan komersial).

1. Semaian Polibeg
Bahan diperlukan: Biji benih, polibeg dan media tanaman (Peatgro).

Cili hibrid menghasilkan buah pelbagai warna.

Taburkan dua hingga tiga biji sedalam 0.5 cm. Penjarangan dilakukan apabila anak benih mempunyai dua hingga tiga helai daun. Pilih pokok yang sihat. Tinggalkan satu pokok dalam setiap polibeg. Simpan di tempat teduh dan tunggu sehingga 6-8 minggu sehingga dialihkan ke lokasi tanaman tetap ( atas batas atau pasu).

2. Kotak Semaian
Bahan diperlukan: Biji benih , bekas semaian, media (Peatgro).

Menggunakan bekas semaian, pastikan mempunyai lubang pengairan di bahagian bawah. Taburkan media ke dalam bekas siram sehingga lembap keseluruhannya.

Biji benih disemai pada kedalaman 0.5 cm. Pastikan dilindungi daripada hujan lebat serta gangguan serangga. Penyiraman secara semburan halus dilakukan setiap hari. Anak benih dipindahkan ke tempat penanaman selepas tiga hingga enam minggu disemai.

Nota: Semburan baja daun boleh digunakan pada minggu kedua

B. Penyediaan media tanaman
1. Campuran tanah terbaik untuk pasu tanaman pokok gantung:

3 : 2 : 1 atau;
Tanah Atas : Bahan organik (Peatgro) : Pasir

Ingat... Pokok yang bagus bermula dengan tanah (media) yang bagus.

2. Baja Asas
Baja Organik - 150 g
Baja Phosphate ( TSP ) - 150 g
Kapur Pertanian ( Ca ) - 60 g

  • Sila rujuk keluaran Berita minggu mengenai topik campuran tanah

    C. Persediaan menanam
    Memindah anak benih:


    1. Selepas enam minggu di tapak semaian

    2. Pilih anak cili yang sihat, normal dan tidak berpenyakit.

    3. Sebelum mengubah anak pokok, dedahkan kepada sinaran matahari secara beransur-ansur (proses pengerasan)

    4. Siram media agar basah supaya mudah untuk mencabut anak pokok dan mengurangkan kerosakan pada akar.

    5. Masa sesuai adalah pada waktu petang (redup) diikuti dengan penyiraman.

    D. Pembajaan dan pengurusan air pembajaan
    Cuba elakkan menggunakan baja kimia memandangkan hasilnya untuk kegunaan sendiri.

    Memandangkan campuran tanah sudah mengandungi baja asas, pembajaan seterusnya boleh di lakukan selepas minggu ke dua selepas dipindahkan.

    Pembajaan seterusnya boleh dilakukan dua minggu sekali.

    Penggunaan hormon atau vitamin atau penggalak ataupun EM (mikrob baik) dalam bentuk cecair boleh digunakan sekali seminggu. Penyemburan keseluruhan pangkal pokok sehingga daun juga boleh dilakukan.

    Bagi mendapatkan jenis baja organik serta hormon dan EM, bolehlah rujuk di kedai baja atau kedai pokok semaian (nurseri).

    Nota: Penggunaan Peatgro sebagai media penanaman utama sangat penting kerana memberikan kualiti media yang baik, pH yang sesuai serta memastikan kelembapan yang sekata.

    Penyiraman
    Siram dua kali sehari, pada awal pagi dan petang. Jika hujan, penyiraman boleh dikurangkan.

    E. Penuaian Hasil
    Hasil boleh diperoleh pada tempoh 10 -14 minggu. Memetik cili sebaik-baiknya dilakukan pada waktu pagi atau lewat petang.

    Elakkan menuai atau memetik cili sehingga dahan cili terluka.

  • Pengurusan Serangga Perosak dan Penyakit akan dibincangkan pada artikel akan datang.

    Nantikan penerangan secara mudah bagaimana untuk membuat bahan pencegah serangga perosak dan penyakit secara organik. Daripada bahan mudah, murah dan senang diikuti.

    Selamat Mencuba.

    Fakta: Cili
  • Tanaman genre Capsicum, keluarga Solanaceae
  • Dipercayai berasal dari benua Amerika
  • Ada lebih 400 jenis cili ditanam di seluruh dunia
  • Cili padi atau cili burung antara yang mendapat sambutan di Malaysia
  • Penggunaan cili meluas dalam masakan dan perubatan
  • Turut kaya vitamin A - antioksidan yang penting bagi meningkatkan daya tahan badan
  • Rasa pedas dihasilkan bahan kimia capsaicin dikatakan boleh meningkatkan tahap metabolik dan membantu masalah seperti selesema.
  • No comments:

    Post a Comment