Oleh LAUPA JUNUS
Utusan Malaysia, 13 Jun 2006
Ramai daripada kita mengenali burung layang-layang tetapi apabila disebut walit atau walet, hanya segelintir sahaja yang tahu mengenainya, itu pun di kalangan mereka yang terbabit dengan industri sarang burung.
Di sesetengah tempat, ia lebih dikenali sebagai burung layang-layang tetapi jika dibuat perbandingan, terdapat beberapa perbezaan antara kedua-dua spesies tersebut.
Apa pun, nilai burung ini bukanlah terletak kepada bulu, paruh atau pada mana-mana bahagian tubuhnya.
Pencinta burung sekali pun tidak mungkin tertarik kepadanya semata-mata kerana bunyi yang dikeluarkan, sebaliknya sarang burung ini umpama emas yang diburu oleh manusia.
Masakan tidak, nilai sarang burungnya mencecah ribuan ringgit sekilogram kerana khasiatnya yang sudah diketahui ramai.
Seorang perunding mengenai ternakan burung walet, Azman Shah Omar dari Bina Agro Nusantara Resources Sdn. Bhd. memberitahu, harga sarang burung mentah boleh mencecah antara RM2,000 dan RM5,500 sekilogram, manakala yang telah diproses atau dibersihkan boleh mencapai antara RM10,000 dan RM12,000 sekilogram.
Justeru di Malaysia, katanya, ramai telah menanam minat untuk menjadi pengusaha sarang burung walet ini kerana nilainya yang begitu lumayan.
Tambahan pula, katanya, rantau Asia Tenggara terutama Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan Singapura menjadi tumpuan pergerakan burung ini.
“Ini satu usaha yang lumayan kepada pengusaha dan mereka tidak perlu menternak dan memberi makan.
“Cukup sekadar membuat rumah di kawasan habitat makro burung ini,” katanya kepada Mega, baru-baru ini.
Melihat kepada potensi tersebut, sebuah syarikat tempatan Walit World Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif untuk membangunkan kawasan ‘perumahan walet' di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan menggunakan teknologi binaan dan sistem audio oleh Bina Agro Nusantara (BAN) yang telah terbukti berjaya di Indonesia.
Indonesia merupakan pengeluar utama sarang walet iaitu sebanyak 80 peratus, berbanding Malaysia di tangga kelima dengan lima peratus sahaja walaupun burung walet ini juga terdapat dengan amat banyaknya di negara ini.
Menyedari senario ini, projek perumahan bersepadu ini berpotensi besar untuk memberi pulangan lumayan kepada bakal pemilik rumah walet tersebut.
Menurut Pengarah Projek Walit World, Mohd. Nasir Che Fa, rumah yang dibangunkan berbentuk blok bangunan dengan empat jenis atau saiz yang berbeza.
Sebanyak 63 buah blok tiga tingkat akan dibangunkan yang dijangka dimulakan bulan ini yang melibatkan tiga fasa, dengan keluasan purata 5,000 kaki persegi setiap satu.
Empat jenis saiz setiap blok yang ditawarkan ialah 25 x 60 kaki, 25 x 50 kaki, 25 x 40 kaki dan 25 x 30 kaki bermula pada harga RM265,000.
Harga tersebut meliputi lot kawasan, rumah burung yang dilengkapi dengan sistem audio, kamera litar tertutup televisyen (CCTV) dan juga kawasan pagar yang tujuan keselamatan.
Menurut Mohd. Nasir, mereka yang berminat perlu membuat tempahan sebanyak RM5,000, dan jumlah deposit sebanyak 10 peratus daripada harga blok.
“Kita akan membangunkan 20 buah blok pada fasa pertama, 21 blok pada fasa kedua dan 22 blok pada fasa ketiga,” katanya.
Katanya, lagi konsep pembelian lebih kurang sama dengan sistem pembelian rumah kediaman pada masa ini.
Menurut beliau, pihaknya berusaha untuk membantu mendapatkan pinjaman dari AgroBank dengan tempoh pinjaman yang bersesuaian untuk para pelabur.
Beliau berkata, burung walet membuat sarang di kawasan yang bercahaya remang dalam bangunan menggunakan air liur.
“Sepasang burung membuat sarang bersama dan sarang matang dalam tempoh tiga bulan berikutnya,” ujar beliau.
Setiap blok bangunan, kata beliau, mampu mengeluarkan hasil maksimum setahun antara 100 kilogram (kg) dan 150 kg bermula tahun keenam.
Setiap kilogram pula katanya mengandungi 120 sarang burung.
Burung walet sukakan suhu antara 26 dan 31 darjah Celsius, berhampiran kawasan sungai, kolam atau tepi laut atau berhampiran dengan sumber makanan, antaranya serangga.
Azman Shah menambah, beliau membawa masuk teknologi dari Indonesia dalam perusahaan burung walet iaitu menggunakan alat pemikat daripada cakera video digital (DVD) dan MP3 dan twiter yang memainkan rakaman kicauan atau suara burung.
Bunyi rakaman dimainkan di tempat tertentu mengikut keadaan termasuk ketika musim burung mengawan, mencari tempat membuat sarang atau mula bertelur.
Burung yang terbang secara koloni bagaimanapun memerlukan kawasan yang sesuai termasuk kelembapan antara 85 dan 90 peratus, aroma dan suhu.
Rumah burung pula katanya perlu mempunyai bilik bersarang, ruang utama, dinding, langit-langit, sirip, lantai, pintau masuk, lubang pengudaraan, kolam atau tong air dan pagar.
Mengenai pasaran, Azman Shah berkata, ia menjanjikan pulangan lumayan memandangkan pengeluarannya masih kurang.
Kata beliau, nilai eksport tempatan pada masa ini mencecah RM500 juta.
Ketika ini, pengeluaran sarang burung walet seluruh dunia ialah bernilai RM4 bilion, satu angka yang lumayan untuk mereka yang mahu menceburkan diri.
Sementara itu, Walit World dan Bina Agro Nusantara Resources akan menganjurkan seminar dalam masa terdekat mengenai perusahaan burung walet yang bakal memberi peluang kepada peserta memahami lebih dekat sistem perumahan walet.
Beliau adalah wakil kepada Arief Budiman iaitu pengasas Bina Agro Nusantara Indonesia yang berjaya menghasilkan 13 judul buku berkaitan burung terbabit dengan jualan jutaan naskah.
Dengan adanya pakar dan konsultan berkelayakan, peserta memperoleh maklumat sebenar mengenai perusahaan burung walet dan potensinya sebelum memulakan hasrat menjadi pengusaha sarang burung.
Seminar tersebut akan memfokus mengenai keistimewaan burung walet, kawasan taburan, ciri-ciri dan populasi, peluang bumiputera, peranan dan tanggungjawab, pelaksanaan pembiayaan dan permintaan pasaran.
Mereka yang berminat menyertai seminar tersebut tersebut boleh menghubungi talian 06-8502600 atau melayari laman web www.walitworld.com atau menghubungi talian 03-26940595 atau melayari laman web www.ban-walitworld.com.
Berita Timur
September 13, 2009 17:31 PM | |
Industri Burung Walet Diperluas Ke Kampung
MARANG, 13 Sept (Bernama)-- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan memperluaskan industri sarang burung walet ke kampung-kampung bagi menggalakkan lebih ramai pengusaha bumiputera menceburi industri itu.
Ketua Pengarah JPV Datuk Abd Aziz Jamaluddin berkata pihaknya percaya industri itu boleh berkembang di kawasan kampung kerana ia mempunyai pelbagai sumber makanan untuk burung itu seperti tanaman dan dusun buah-buahan.
"Kalau boleh kita hendak melihat lebih ramai ramai bumiputera terlibat dalam industri burung walet ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau perusahaan burung walet di Kampung Pengkalan Berangan, di sini Ahad.
Abd Aziz berkata pada masa ini terdapat 200,000 pengusaha burung walet di seluruh negara dengan nilai pengeluaran sarang mencecah RM1 bilion setahun.
Beliau berkata daripada jumlah pengusaha itu hanya lapan peratus merupakan pengusaha bumiputra.
Abd Aziz berkata lawatannya ke kawasan perusahaan burung walet di kampung itu bertujuan membuat perbandingan sarang walet konvensional di Pengakalan Berangan dengan sarang yang ada di pantai barat.
"Kalau kita lihat ada potensi, mungkin kita akan perluaskan kaedah konvensional ini ke tempat lain," katanya.
Beliau berkata JVP bersedia memberikan bantuan dari segi pemasaran sarang burung walet bagi mengelak pengusaha dipermainkan orang tengah.
JPV juga akan membina sebuah pusat latihan veterinar di Cermin Kiri Jerangau sebagai pusat sehenti untuk memberi khidmat kaunseling burung walet, katanya.
-- BERNAMA
Rezeki ‘emas putih’
Oleh Norfaisal Jahuriam@hmetro.com.my
INDUSTRI sarang burung walet bukan baru di negara ini tetapi tidak ramai pengusahanya, terutama Bumiputera disebabkan kekurangan informasi mengenainya walaupun mampu memberi pulangan jutaan ringgit setiap tahun.
Atas alasan itu, Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia (PPPSBM) dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengadakan pameran sempena Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2009 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Ayer Keroh, Melaka, baru-baru ini.
Timbalan Presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia (PPPSBM), Datuk Tok Teng Sai, berkata PPPSBM buat julung kalinya bersama JPV mengadakan pameran perusahaan sarang burung walet di HPPNK.
Menurutnya, orang ramai dapat melihat sendiri dengan lebih dekat demonstrasi membersih sarang burung walet serta kaedah memelihara haiwan itu.
“Perusahaan ini mempunyai potensi untuk memperolehi keuntungan besar kerana sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 bagi setiap satu kilogram yang belum dibersihkan dan RM7,000 yang sudah dibersihkan.
“Sebab itulah pengusaha sarang burung walet menggelar sarang unggas itu sebagai ‘emas putih’ kerana nilainya tinggi dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Dengan hanya menjadikan tempat perlindungan burung untuk bersarang pada saiz sebesar rumah, pengusahanya mampu memperolehi sarangnya pada jumlah antara tiga hingga 10 kilogram setiap bulan,” katanya kepada Metro Ahad.
Pada masa ini, kata Tok, perusahaan terbabit dimonopoli masyarakat Cina membabitkan 99 peratus.
Disebabkan pembabitan orang Melayu boleh dikira dengan jari, beliau hanya mengenali seorang pengusaha sarang burung Melayu di Kuantan, Pahang.
“Dia hanya mempunyai satu rumah untuk pembiakan burung itu, namun keuntungan diperolehi setiap tahun RM1.2 juta,” katanya.
Menurutnya, jika seseorang pengusaha mempunyai rumah sarang burung yang banyak, sudah tentu mampu memungut keuntungan lebih besar.
Katanya, perusahaan sarang burung walet tidak memerlukan modal besar seperti pekerja serta kos penyelenggaraan.
“Mereka hanya perlu bersabar untuk menarik burung bersarang di tempat disediakan dan hanya menuai hasilnya selepas itu,” katanya.
Setakat ini, Malaysia hanya menyumbangkan 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).
Beliau berkata, jika diperluas dan dilakukan dalam skala besar, industri sarang burung walet mampu menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negara dan setanding dengan pengeluaran kelapa sawit dan getah.
“Setakat ini, ada 50,000 rumah dijadikan sebagai tempat perusahaan itu di seluruh negara. Jumlahnya masih sedikit berbanding perusahaan dijalankan di Indonesia serta Thailand,” kata Tok.
Beliau menjelaskan masih ramai tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang.
Walaupun fizikalnya hampir sama, tetapi burung layang-layang membuat sarang dengan bahan seperti rumput atau daun.
“Burung walet membuat sarangnya daripada air liur dan ia dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ. Ia adalah untuk anaknya bertelur dan membesar saja,” katanya.
Sarang burung walet mempunyai pasaran luas di peringkat antarabangsa dan antaranya China, Hong Kong, Taiwan, Jepun, Amerika Syarikat dan Kanada.
Menurut Tok, sarang burung walet mempunyai pelbagai khasiat untuk membantu menjaga kesihatan seperti awet muda dan kecergasan.
Majlis perasmian HPPNK 2009 disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lalu.
Selain pameran, aktiviti lain dijalankan adalah pertandingan menghias akuarium antara sekolah di seluruh negara, demonstrasi dan pertandingan masakan makanan hasil keluaran pertanian.
Acara lain membabitkan pameran sektor swasta, haiwan ternakan, ikan, jentera, Forum Perdana Hal Ehwal Islam dan Konvensyen Peladang, Penternak dan Nelayan 2009.
Sebanyak 340 gerai dan kios disediakan membabitkan penyertaan daripada agensi kerajaan selain usahawan tani dan peniaga untuk mempamerkan teknologi pertanian serta produk baru untuk dipromosikan.
mantap infonya semoga bermanfaat
ReplyDelete