Wednesday, January 13, 2010

IKON MALAYSIA

UTARA

ARKIB : 02/03/2009




Impikan serama jadi ikon

syarizan Shamsuddin memasang impian untuk menjadikan ayam serama ikon Malaysia.


GURUN 1 Mac - Ayam, merupakan antara haiwan ternakan yang 'penting' dalam kehidupan masyarakat di negara ini sehingga ia diternak secara komersial bagi menampung permintaan tinggi di kalangan pengguna.
Sama ada bagi menghasilkan telur atau bagi keperluan daging, bidang ternakan ayam sudah begitu lama diceburi oleh usahawan-usahawan tanah air termasuk bumiputera, apatah lagi gerai-gerai makanan atau restoran kini 'tumbuh bak cendawan' dan memerlukan bekalan daging ayam begitu banyak.
Di sebalik pentingnya ternakan ayam untuk keperluan makanan negara, mungkin tidak ramai menyedari bahawa ada jenis-jenis haiwan tersebut diternak sekadar memenuhi hobi kalangan tertentu yang sudah 'jatuh cinta' dengan ayam terutama daripada spesies serama.
Apa keunikan ayam serama sehingga dipandang begitu istimewa sekali di kalangan penggemar ayam tersebut? Antara yang boleh memberikan jawapannya ialah Syarizan Shamsuddin, 30, dari Taman Ria Mesra di sini.
Syarizan atau lebih dikenali sebagai Syah dibantu oleh dua rakannya, Omar Othman, 46 dan Aiman Khir Johari, 21, mengusahakan ternakan ayam serama dengan menggunakan jenama Lamanserama sebagai pusat penggemar-penggemar haiwan tersebut mendapatkan ayam serama atau bakanya.
Daripada hobi memelihara ayam serama untuk kepuasan diri dan menyertai pertandingan, Syah kini mengusahakannya secara komersial dengan menjadi pembekal ayam serama kepada peminat-peminat haiwan tersebut di seluruh negara yang mengenalinya menerusi rakan-rakan atau laman webnya.
''Mula-mula saya main-main sahaja tetapi apabila melihat ayam serama berpotensi untuk dikomersialkan, saya ambil kesempatan untuk memeliharanya secara serius dan ternyata ia mempunyai nilai komersial tinggi.
''Saya pernah menjual seekor ayam serama dengan harga dalam lingkungan RM15,000, malah pernah ditawar RM20,000 yang saya pelihara tetapi tidak dijual," katanya.
Dengan berpengalaman luas memelihara ayam serama selama 10 tahun, dia tidak memerlukan ladang yang luas, cukup sekadar kawasan persekitaran rumahnya sebagai tempat penternakan haiwan berkenaan.
''Ayam serama boleh dipelihara di sekitar rumah kerana ia tidak begitu memerlukan kawasan yang luas," katanya.
Setakat ini, kata Syah, dia pernah menerima permintaan ayam serama daripada peminat-peminat haiwan berkenaan sehingga di Selangor dan Kuala Lumpur selain tumpuan di negeri-negeri utara, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.
''Ayam serama menarik, bukan sahaja jinak, malah bagaikan sama dengan sukan bina badan yang memperagakan kesasaan lelaki, ayam serama juga pandai beraksi atau bergaya, jalannya mendada dan ada di antaranya pandai menari sehingga menjadi daya tarikan ramai," katanya.
Menurut Syah, terdapat pelbagai kategori ayam serama iaitu anak A (bawah 140 gram) dan anak B (140 gram ke atas), remaja, muda, serama A dan serama B, serta serama tanpa lawi (tiada ekor panjang di belakang) dan induk.
Syah memberitahu, anak serama kategori A dan B dijual dari RM100 hingga RM300, remaja RM350 hingga RM600 serta muda RM650 hingga RM1,000.
''Serama A dan serama B pula masing-masing mengikut kualiti, boleh mencapai dari serendah RM1,500 ke atas tanpa had mengikut kadar penawaran, begitu juga dengan serama tanpa lawi.
''Bagaimanapun, induk ditawarkan pada harga dari RM400 hingga RM1,000," katanya.
Syah menjelaskan, dia bersama rakan-rakannya itu turut memberikan khidmat nasihat mengenai ayam serama termasuk kaedah penjagaan dan kesihatan haiwan berkenaan.
''Kami juga menawarkan khidmat pusat penjagaan bagi peminat-peminat yang tidak mempunyai tempat memelihara ayam serama, mereka boleh letakkan haiwan kesayangan mereka di sini dengan bayaran berpatutan dan kami akan jaga dengan baik.
''Bukan itu sahaja, saya cuba untuk menjadikan ayam serama sebagai ikon Malaysia sehingga boleh mengharumkan nama tanah air di peringkat antarabangsa," tambahnya.
Sehubungan itu, katanya, sesiapa yang berminat untuk memelihara ayam serama boleh menghubunginya menerusi 017-4327429 atau Omar 012-5518070 selain melayari laman web www.lamanserama.com untuk mendapatkan maklumat lanjut.

2 comments:

  1. salammm..

    boleh lihat kecantikan ayam serama di dalam blogspot ini...

    http://seramapenaga.blogspot.com/

    ReplyDelete
  2. sepasang anaknya berapa? bisa dikirim ke indonesia tidak? kalau di rupiah kan berapa? terima kasih...

    ReplyDelete