Monday, January 4, 2010

IKAN PUYU

TIMUR

ARKIB : 21/04/2009

Nilai ikan puyu kacukan


MOHD. Nizam (kiri) dan Mohd. Asri Mahadzir menunjukkan telur ikan puyu dalam tangki di Felda Jengka 12, Maran, Pahang.


MARAN 20 April - Dalam kategori ikan air tawar, puyu atau betuk tidaklah sehebat ikan patin, kelah atau temoleh dari segi 'kegilaan' kaki pancing.

Ikan yang sering ditemui di sungai dan parit itu dianggap kurang berharga dan tidak menjadi rebutan di kalangan penggemar ikan darat.

Namun tidak ramai yang tahu bahawa ikan puyu atau nama saintifiknya, Anabas Testudineus mempunyai nilai yang tinggi jika dapat diternak dalam bentuk komersial.

Ikan puyu kini semakin mendapat perhatian selepas beberapa usaha dijalankan untuk mengeluarkan hasil yang lebih bermutu.

Maka tidak hairanlah ada ikan puyu yang dijual di sini berharga sehingga RM20 sekilogram berikutan saiznya yang lebih besar selain rasa yang lebih enak selepas beberapa eksperimen dijalankan.

Semua itu dihasilkan selepas penubuhan pusat pembenihan ikan air tawar milik peneroka Felda Melor Jengka 12 di Bandar Jengka di sini sejak tiga tahun lalu.

Pusat pembenihan itu dikendali oleh Syarikat Khazanah Danau Rimba Enterprise (Khazanah Danau Rimba) yang dimiliki oleh peneroka Felda kawasan tersebut.

Pengurus Kanan Khazanah Danau Rimba, Zainal Abidin Mansor berkata, tumpuan projek lebih kepada penternakan ikan puyu kerana ternakan itu berpotensi besar untuk dikomersialkan.

Menurutnya, ikan puyu yang sering ditemui di kawasan sawah padi, parit dan sungai mempunyai keistimewaan tersendiri walaupun spesies itu seolah-olah kurang dipedulikan berbanding keli, sepat siam dan haruan.

Katanya, kebarangkalian pupusnya spesies ikan puyu mendorongnya menubuhkan sebuah syarikat pembenihan bagi menghasilkan benih ikan puyu secara komersial di samping menganjurkan kursus jangka pendek menternak ikan itu.

''Felda menyediakan sebuah bangunan di kawasan seluas kira-kira tiga hektar di Felda Melor Jengka 12 untuk menjayakan projek penternakan dan pembenihan ikan puyu malah dijadikan lokasi tempat berkursus kepada peserta,'' katanya.

Zainal Abidin memberitahu, bangunan yang mampu menempatkan 40 peserta itu turut dilengkapi pejabat pentadbiran, bilik kursus, asrama, tangki pelbagai saiz sebagai peralatan utama ternakan ikan puyu.

Menurutnya, setiap kali kursus dianjurkan, sambutan amat menggalakkan apabila para peserta bukan sahaja datang dari Pahang tetapi juga dari luar termasuk Singapura.

Beliau menambah, teknologi kacukan baka ikan puyu Thailand dengan spesies ikan puyu tempatan yang dihasilkan Khazanah Danau Rimba berjaya menghasilkan baka ikan puyu bersaiz besar.

Katanya, penghasilan ikan puyu bersaiz besar itu secara langsung membuka mata masyarakat terhadap potensi ikan itu boleh dikomersialkan apatah lagi rasa ikan itu lebih enak untuk dimasak dengan pelbagai resipi.

''Berdasarkan kepada permintaan tinggi pasaran tempatan bermakna bidang penternakan ikan puyu kacukan boleh dikomersial untuk pasaran luar negara seperti Singapura,'' katanya.

Menurutnya, ikan puyu kacukan amat berkhasiat di samping mudah dipelihara, tahan lasak dan kurang risiko untuk mati sekali gus memudahkan proses penjagaan ternakan itu.

Tambah beliau, Khazanah Danau Rimba bukan sahaja menawarkan ikan puyu segar dewasa malah turut menyediakan benih-benih ikan puyu untuk diusahakan oleh penternak persendirian.

Sehubungan itu, tambah beliau, golongan belia harus merebut peluang untuk mengusahakan ternakan ikan puyu kerana projek tersebut mampu memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Eksekutif Kanan Khazanah Danau Rimba, Mohd. Nizam Mahadzir pula berkata, projek ternakan ikan puyu secara terancang itu mampu melonjakkan harganya iaitu antara RM17 hingga RM20 sekilogram di pasaran.

Katanya, misi Khazanah Danau Rimba untuk membantu pengusaha di kalangan warga Felda termasuk generasi baru, ibu tunggal, persatuan belia atau individu melaksanakan projek ini lebih serius.

''Bagi tujuan itu, Khazanah Danau Rimba melakukan roadshow, taklimat pembenihan dan menternak ikan puyu serta kursus mempelbagaikan produk untuk bersaing dalam pasaran global,'' katanya yang merupakan graduan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai Johor.

Mohd. Nizam menegaskan, objektif kursus bertujuan mempromosi ikan puyu kacukan ke pasaran tempatan dan antarabangsa sekali gus menjana pendapatan pengusaha.

Menurut beliau, menternak ikan puyu kacukan dalam tangki amat mudah dikendalikan oleh individu yang berminat untuk menambah pendapatan dengan hanya memanfaatkan persekitaran kawasan kediaman.

Tambah beliau, usaha berterusan dilakukan bagi mempromosi ikan puyu kacukan di kalangan penduduk luar bandar di samping mewujudkan rangkaian perniagaan berasaskan produk ikan itu.

''Kami komited memantau perkembangan projek ternakan ikan puyu yang dikendalikan peserta kursus termasuk memberikan khidmat nasihat dan kepakaran bagi menjamin projek itu berjaya,'' katanya.

Pembantu Kanan Khazanah Danau Rimba, Mohd. Asri Mahadzir optimis projek ternakan ikan puyu kacukan dalam tangki boleh diusahakan secara serius oleh peneroka dan pekebun kecil sebagai pendapatan tambahan.

Katanya, keyakinan itu tercetus berikutan permintaan ikan segar air tawar itu terus mendapat permintaan pasaran tempatan dan antarabangsa berbanding bekalan yang ditawarkan terhad.

Tambah beliau, ikan puyu jika diternak dalam bilangan yang banyak boleh menjamin pendapatan yang lumayan kepada pengusaha.

Dengan menggunakan teknologi pembenihan canggih, jelasnya, ikan puyu yang diternak dalam bilangan banyak boleh dijual di pasaran dalam tempoh empat bulan berbanding ikan air tawar lain.

Dalam perkembangan berkaitan beliau memberitahu, pihaknya berusaha mengkomersialkan ternakan ikan ketutu atau ikan ubi yang turut mendapat permintaan tinggi di kalangan masyarakat Cina.

Sementara itu, seorang peserta, Nelson Ku, 35, dari Taman Puteri Wangsa, Johor Bahru, Johor, amat teruja apabila mengikuti kursus menternak dan pembenihan ikan air tawar itu.

''Saya sanggup bermotosikal dari Johor Bahru semata-mata untuk menambah pengetahuan mengenai ternakan ikan air tawar terutama puyu mengikut teknik yang betul,'' katanya.

Menurutnya, kursus dua hari yang dikendalikan pakar dalam bidang itu banyak memberi maklumat berguna untuk projek secara komersial dan berskala besar.

Seorang lagi peserta, Noraini Mahadzir, 22, dari Felda Melor Jengka 12 beruntung apabila mengikuti kursus menternak dan pembiakan benih ikan air tawar itu kerana menerima banyak maklumat daripada golongan pakar dalam bidang itu.

Para peserta, katanya, berpeluang mencuba melakukan proses pembenihan ikan puyu dan mengeluarkan telur ikan keli untuk dikacuk serta melihat peringkat pembesaran ikan dalam tangki.

''Projek ternakan ikan puyu dalam tangki ini boleh dilakukan sesiapa sahaja asalkan mempunyai kemahuan dan minat untuk mengkomersialkan bagi menambah pendapatan sambil mengurangkan belanja dapur,'' katanya.

Tambahnya, pasaran ikan puyu adalah meluas kerana di Jengka sahaja terdapat banyak pekan sehari yang beroperasi di setiap tanah rancangan Felda yang mempunyai lebih 100,000 peneroka yang mempunyai kuasa beli yang tinggi.

2 comments:

  1. Askum, sy berminat mahu g kursus ternkan ikan puyu...mcm mne sy mahu hadirkan diri...blh email kat sy shahrulfauzan@gmail.com

    ReplyDelete
  2. Askum, sy berminat mahu g kursus ternkan ikan puyu...mcm mne sy mahu hadirkan diri...blh email kat sy shahrulfauzan@gmail.com

    ReplyDelete