Saturday, December 26, 2009

TERNAK BELUT,LINTAH & CACING

AGROBIZ

ARKIB : 18/07/2008

Ternak cacing, belut dan lintah serentak


mustafa Abdul Wahab dan Azlinda Ros Abdul Aziz melihat baja cacing yang telah siap untuk dipasarkan.


Bermula dengan menternak cacing secara suka-suka di belakang rumah selama dua tahun, seorang kontraktor, Mustafa Abdul Wahab mengambil keputusan berhenti kerja dan menjalankan aktiviti secara sepenuh masa pada Julai tahun lepas.

Mustafa berkata, ramai yang tidak mengetahui mengenai kepentingan dan kegunaan cacing yang memang memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.

Malah pada peringkat awal, ramai yang mencemuh apabila beliau memulakan penternakan cacing.

“Cacing telah lama digunakan sebagai baja vermicast dan kaya dengan sumber protein utama dengan 20 jenis enzim dan asid amino yang berguna untuk kosmetik (kolagen) dan perubatan.

“Penternakan cacing bukanlah sesuatu yang baru kerana organisma ini banyak digunakan dalam bidang pertanian," katanya semasa ditemui di premis perniagaanya AZR Agro Centre di Bandar Sungai Mas, Banting, Selangor.

China misalnya, memerlukan lebih 500 tan cacing tanah sebulan bagi tujuan perubatan dan kosmetik manakala Jepun pula memerlukan satu tan seminggu.

Mustafa yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AZR Agro Centre menambah, cacing berpotensi dalam negara sebagai alternatif dalam makanan ternakan bagi menggantikan jagung dan soya memandangkan ia mempunyai protein haiwan yang amat diperlukan.

Kajian yang dijalankan menunjukkan lebih 30 jenis nutrien terdapat dalam cacing, malah tanaman yang menggunakannya baja vermicast tidak memerlukan racun serangga.

Menjalankan penternakan tiga serangkai - cacing, belut dan lintah, Mustafa menyifatkan ketiga-tiga haiwan berkenaan berkaitan antara satu sama lain.

“Malah pihak kami mendapat permintaan yang besar dari negara Jepun yang sehingga kini masih belum dapat dipenuhi,” kata rakan kongsinya Azlinda Ros Abdul Aziz.

Bercerita mengenai ternakan belut sawah atau nama saintifiknya Monopterus albus, Mustafa berkata, pihaknya mendapatkan induk belut yang diambil dari sawah untuk dibiakkan sendiri untuk tujuan pengeluaran.

Mustafa berkata belut mudah dipelihara kerana makanannya mudah diperoleh seperti daun-daun reput, jerami padi atau batang pisang.

“Bagaimanapun penternakan belut menghadapi masalah dengan pembiakan kerana jantinanya ditentukan oleh saiz.

“Biasanya belut yang berusia enam hingga sembilan bulan adalah betina dan lebih sembilan bulan adalah jantan,” katanya.

Pembiakan belut dijalankan secara semula jadi dengar kadar yang tidak konsisten kira-kira 800 hingga 3,000 biji telur dan hanya satu perempat saja akan menetas dan menghasilkan anak.

Berbeza dengan belut, lintah atau Hirudo medicinalis adalah haiwan dua jantina iaitu mempunyai kedua-dua organ jantan dan betina dan menghasilkan telur dalam bentuk kokon.

“Kami mendapat bekalan lintah yang diambil dari kawasan sawah, sungai dan hutan hujan tropika di dalam negeri untuk dibiakkan,” katanya.

Lintah biasanya digunakan dalam perubatan dan kosmetik dan dipelihara dalam kolam tanah, kanvas atau akuarium kerana haiwan ini memakan belut, siput sudu atau larva nyamuk.

Cacing atau Lumbricus rubellus, biasa dipanggil cacing merah pula boleh hidup sehingga enam tahun.

Haiwan berkenaan biasanya digunakan dalam perubatan, pertanian, kosmetik.

Cacing senang dipelihara menggunakan kotak bertingkat-tingkat menggunakan najis kambing atau lembu yang dicampur dengan habuk kayu dalam nisbah 70:30 serta sedikit air bagi melembapkan media.

Mempunyai ladang ternakan cacing, lintah dan belut di Sekinchan, Selangor, sebanyak 20 buah kolam yang memuatkan cacing lintah dan belut.

Di Sungai Mas, Mustafa menjadikan ladang transit yang boleh memuatkan satu tan cacing, satu tan belut dan 10,000 ekor lintah.

AZR Agro Centre juga menjalankan beberapa siri latihan bagi mendapatkan penternak baru, jabatan kerajaan dan menghasilkan produk.

Misalnya, cacing amat berguna untuk dijadikan baja semasa negara menuju ke arah pertanian selain dapat menghasilkan kolagen yang amat sesuai untuk kulit.

Lintah pula untuk dijadikan minyak lintah menerusi kaedah bioteknologi memandangkan protein akan terurai pada suhu yang tinggi.

Bagi mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat mengenai cacing, lintah atau belut boleh menghubungi AZR Agro Centre di 03-31803994 atau 03-31803996 atau faks 03-31803995 atau layari laman web www.azragrocentre.


TIMUR

ARKIB : 18/07/2009

Belut sumber pendapatan Ariffin


Mohd. Ariffin Daud menunjukkan dua buah tukil yang selalu digunakan untuk menahan belut di kawasan bendang di Kampung Paman, Kemaman.


KEMAMAN 17 Julai - Demi sesuap nasi Mohd. Ariffin Daud, 40, dari Kampung Paman di sini tetap tabah melakukan pekerjaan menangkap belut meskipun kadang-kala ia sering dianggap jijik oleh sesetengah orang.

Beliau melakukannya kerana menyedari ia adalah pekerjaan halal selain mampu menambah pendapatan sekeluarga.

Menyedari hakikat itulah, setiap petang pukul 6.30 Mohd. Ariffin dengan beberapa batang tukil (sejenis alat tangkapan belut) meredah rumput ditepi bendang yang terletak tidak berapa jauh dari rumahnya untuk menahan belut.

Pada kebiasaannya beliau akan menahan sehingga 40-50 tukil di beberapa petak bendang dan juga tali air.

''Ini dilakukan kerana pada kebiasaannya belut keluar pada waktu malam untuk mencari makan.

''Tukil yang ditahan akan dilumur dengan ikan yang dibakar dan cara sedemikian mampu memikat belut berkenaan masuk ke dalam tukil yang ditahan.

''Tukil diperbuat daripada paip PVC yang berukuran lilitan 3 inci serta panjangnya 3 kaki," katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Paman di sini baru-baru ini.

Untuk menangkap belut, Mohd. Ariffin yang lebih dikenali 'Pak Pin' di kalangan penduduk setempat berkata, tukil akan diletak pada petak sawah dengan mencondong tukil berkenaan.

Pada bahagian bawah tukil pula akan ditutup dengan plastik manakala bahagian lain akan ditebuk lubang kecil bagi membolehkan belut memasuki tukil.

''Belut kemudian akan meloloskan diri lantaran badannya yang licin apabila terhidu aroma ikan bakar didalam tukil berkenaan," katanya.

Mohd. Ariffin berkata, tukil yang ditahan pada pukul 6.30 petang akan diangkat pada keesokan harinya mulai pukul 7.00 pagi.

Adalah menjadi perkara biasa setiap kali tukil diangkat beliau akan memperolehi belut seberat antara 10 dan 15 kilogram, adakalanya menjangkau hingga 25 kilogram.

''Pada kebiasaannya belut lebih suka bermain ditanah berpaya atau tali air yang berlumpur yang mengandungi rumput kering di dasarnya.

''Kawasan itu juga menjadi tempat permainan ikan kecil dan besar dan sekali gus menjadi makanan belut," katanya.

Mohd. Ariffin menambah, selepas ditangkap beliau akan menjual belut di beberapa restoran dan kedai makan berhampiran.

''Setiap kilo belut saya jual dengan harga RM15.00. Setakat ini mereka berpuas hati dengan harga yang ditawarkan," katanya.

Katanya, bagi menampung tempahan pelanggan yang semakin meningkat saya terpaksa bekerja lebih serta menambah lebih 50 buah tukir lagi.

''Alhamdulillah, setakat ini saya masih mampu untuk memenuhi permintaan pelanggan. Ini kerana dengan keadaan bendang yang begitu luas ini, spesies belut masih banyak di kawasan ini," tambahnya.

Mohd. Ariffin menambah jika terdapat permintaan meningkat, pekerjaan menangkap belut dibantu oleh anak-anaknya.

Katanya, pembabitan anak-anak diperlukan kerana menyedari ia tidak mampu dilakukan secara keseorangan.

'' Saya sebenarnya sering melatih serta menunjuk tempat tempat yang menjadi tempat belut bermain kepada anak-anak," katanya.

Menurut Mohd. Ariffin kini anak-anaknya sudah mahir dengan tempat belut apatah lagi belut suka bermain dibendang dan tanah paya.

Mengenai khasiat belut, beliau berkata, ia boleh dijadikan sup, dagingnya manis serta berkhasiat.

Selain itu belut juga boleh membantu melancarkan perjalanan darah, mati pucuk dan juga mereka yang dihinggapi penyakit angin ahmar.

''Sesetengah penduduk di negeri ini melumatkan daging belut untuk dicampur dengan kuah laksa Terengganu.

''Ini kerana ianya begitu sesuai berbanding dengan ikan kerana kemanisannya,'' katanya.

Bapa kepada 9 orang anak yang berusia antara 4 bulan hingga 20 tahun ini begitu yakin menahan tukir di bendang lebih baik daripada memelihara belut di kolam.

Ini kerana dia tidak perlu menghabiskan wang yang banyak untuk membeli makanan belut sekiranya belut dijadikan ternakan.

''Ada ketikanya selepas memperolehi belut pelanggan akan sampai untuk mengambil tempahan mereka atau atau membelinya,'' katanya lagi.

Tambahnya lagi, beliau mempelajari cara menangkap belut daripada rakan rakannya ketika sama-sama tinggal di Kelantan.

Katanya, ia terjadi berikutan di negeri tersebut ramai penggemar belut manakala sebahagian lagi menjadikannya sebagai pekerjaan dalam kehidupan seharian.

2 comments: