Tuesday, December 8, 2009

MANGGA HARUMANIS

Friday, June 12, 2009

Utara: Penanam mempelam raih RM70,000 dalam 2 bulan

Hasil harumanis mengalahkan gaji pegawai tinggi kerajaan

KANGAR: Seorang penduduk mampu memperoleh pendapatan RM70,000 dalam tempoh dua bulan, jauh melebihi gaji pegawai tinggi kerajaan dengan mengusahakan 80 pokok mempelam harumanis di kawasan seluas 0.4 hektar di Kampung Gial, dekat sini.

Seorang pemborong buah itu di Kampung Santan dekat sini, pula memperoleh keuntungan lebih RM100,000 selepas menjual kira-kira 100 tan mangga jenis sama dalam tempoh sama. Pemborong itu, Abdullah Lebai Isa, 71, berkata beliau bersama isteri serta dua cucunya sudah tiga kali menunaikan haji sejak berkecimpung dalam perusahaan mempelam harumanis lebih 20 tahun lalu.

"Perniagaan mempelam harumanis memberi pendapatan lumayan kepada mereka yang mengusahakannya, termasuk kepada penanam dan penjual. Setiap musim saya mampu menjual lebih 100 tan harumanis.

"Empat anak saya turut membantu menjual harumanis, selain 15 pekerja sementara yang diambil untuk merawat, memeram dan mengutip buah yang dibeli daripada penanam di sini," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Beliau berkata, walaupun musim harumanis di Perlis sudah mencapai penghujungnya sejak seminggu lalu tetapi ramai masih datang ke rumah untuk mendapat buah terbabit, termasuk lima pembeli, semalam.

Katanya, tahun ini, musim pengeluaran terlalu singkat iaitu dua bulan bermula 13 April lalu kerana faktor hujan berbanding tempoh lima hingga enam bulan tahun sebelumnya.

Mengenai pendapatannya, Abdullah enggan mengulas tetapi berkata beliau membeli daripada penanam dengan harga RM5 sekilogram (kg) manakala kos merawatnya RM1 bagi setiap kg sebelum dijual kepada pembeli mengikut gred antara RM8 dan RM9 sekilogram.

Katanya, beliau membelanjakan hampir RM70,000 untuk membeli harumanis daripada seorang penanam di Kampung Gial, manakala selebihnya diperoleh daripada 20 pengusaha di sekitar negeri ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Abdul Razak Shafiai, berkata musim pengeluaran harumanis di Perlis yang bermula dua bulan lalu, berakhir minggu lalu.

"Perlis mengeluarkan kira-kira 350 tan harumanis setiap musim dan kapasiti pengeluarannya ditingkat dari semasa ke semasa, selain menjalankan penyelidikan untuk menghapuskan makhluk perosak yang menyerang pokok terbabit," katanya ketika dihubungi.

sumber:Berita Harian


TANAMAN MANGGA SALA BERBALOI

Hamid Sharif menunjukkan buah mangga Sala yang hanya
menunggu masa untuk dipetik dan dipasarkan.

Bukan mudah bagi petani yang telah lama menggunakan kaedah lama untuk berubah menggunakan teknologi terkini yang belum dilihat keberkesanannya walaupun boleh mendatangkan hasil yang lebih memberangsangkan.

Pemindahan teknologi bukanlah sesuatu yang mudah diterima oleh petani terutama apabila ia mengubah cara pertanian yang telah diikuti sejak zaman-berzaman.

Inilah yang berlaku dengan Hamid Sharif, 61, yang pada mulanya endah tidak endah dengan kaedah penanaman mangga Sala yang diperkenalkan oleh pihak Institut Penyelidikan dan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) lebih kurang lima tahun lalu.

“Memang sukar untuk saya membenarkan pokok mangga yang berdaun lebat yang ditanam lebih 10 tahun lalu dicantas hampir seluruh pokok selepas hasilnya dituai.

“Tetapi selepas dipujuk dan pihak MARDI memberi jaminan akan memberikan ganti rugi jika pokok mangga ini tidak mengeluarkan hasil, saya terpaksa akur dengan membenarkan satu hektar saja kebun sebagai kajian,” katanya semasa ditemui di ladangnya di Kampung Bilal Huduh, Perlis, baru-baru ini.

Hamid menambah, pada mulanya beliau hanya melihat kaedah cantasan yang dilakukan dengan sedih memandangkan hampir semua ranting dan dahan dicantas.

Selepas itu baja dibubuh di sekeliling pangkal pokok bagi mengembalikan nutrien kepada tanaman berkenaan.

Apabila pokok telah mengeluarkan pucuk separuh matang, hormon penggalak bunga dibancuh dan disiram di sekeliling pangkal pokok bagi menggalakkan pengeluaran bunga di luar musim.

Setelah pokok mula mengeluarkan bunga, baja penggalak buah pula ditabur pada pokok bagi menggalakkan pengeluaran buah.

Hamid menambah pada tahun pertama pengeluaran sehektar dengan 257 pokok mangga di ladangnya meningkat daripada sembilan tan sebelum menggunakan kaedah berkenaan kepada 16 tan.

Meningkat

“Saya merasa amat gembira dengan hasil tanaman yang meningkat hampir sekali ganda walaupun baru tahun pertama melaksanakan kaedah yang disarankan oleh MARDI,” katanya.

Pada tahun kedua, Hamid mula mencantas dahan dan ranting tanamannya dengan kerjasama dan tunjuk ajar pihak MARDI.

“Cantasan yang betul bukan saja memberikan ‘bentuk’ kepada tanaman tetapi juga memudahkan saya mengutip hasil.

“Pokok yang rendah dan daun yang kurang menyebabkan nutrien akan berkumpul pada buah sekali gus meningkatkan hasil tanaman,” katanya yang gembira dengan hasil tanamannya.

Kebunnya yang kini dikenali sebagai Projek Perintis Pengeluaran Mangga Terancang MARDI telah menjadi ladang contoh di negeri Perlis.

Pokok yang rendah dan kurang daun kata Hamid, lebih mudah diuruskan kerana tidak menjadi habitat serangga perosak yang gemarkan tempat gelap dan tersorok.

Justeru, serangan serangga perosak dan penyakit dapat diminimumkan dan mengurangkan penggunaan racun serangga dari 3,000 liter kepada 1,000 liter setahun.

Jika dulu Hamid mengambil masa seminggu untuk melakukan kerja-kerja menyembur racun serangga, kini beliau hanya menghabiskan masa tiga hingga empat jam untuk kerja yang sama.

“Kini dengan kaedah yang digunakan, saya dapat berjimat dalam penggunaan racun serangga,” katanya.

Hamid menambah, beliau yang teruja dengan kaedah yang diperkenalkan oleh MARDI mula melaksanakannya pada tahun kedua dan seterusnya.

“Setiap tahun saya mencatatkan hasil tanaman yang semakin bertambah tahun demi tahun.

“Tahun kedua hasil tanaman saya meningkat kepada 25 tan, selepas itu ia terus meningkat kepada 30 tan, 45 tan dan 50 tan setahun pada tahun lalu bergantung kepada cuaca.

“Hampir semua jenis mangga memerlukan cuaca kemarau semasa berbunga bagi memastikannya boleh berputik dan menghasilkan buah,” katanya cukup berpuas hati dengan hasil tanamannya.

Walaupun telah berjaya melampaui sasaran yang ditetapkan, ramai yang tidak percaya dengan hasil yang didapati.

Hamid menambah, setelah satu hektar tanamannya menampakkan hasil, beliau mula mengaplikasikan kaedah berkenaan kepada kebun mangganya yang lain.

“Sehingga kini ramai yang tidak percaya dengan hasil yang saya dapat setiap kali tuaian,” katanya yang amat berbangga dengan hasil tanamannya.

Tidak lokek dengan ilmu, Hamid bersedia memberikan tunjuk ajar bagi kaedah dan cara yang betul mengenai cara mencantas, pembajaan dan hormon bagi petani yang perlukan khidmat nasihat.

Bagaimanapun, beliau menekankan petani yang mahu menggunakan kaedah berkenaan perlu mempunyai disiplin yang tinggi dan perlu mengikut seperti yang diarahkan.

Sumber: Utusan Online


UTARA

ARKIB : 07/05/2008

50 tan harumanis ke Jepun


Md. Isa Sabu menunjukkan buah mempelam harumanis yang dijual di Pusat Pertanian Bukit Bintang selepas sidang akhbar Pesta Harumanis 2008 di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis, kelmarin.


PADANG BESAR 6 Mei - Kerajaan negeri Perlis akan mengeksport kira-kira 50 tan mempelam harumanis setiap musim ke Jepun yang bernilai lebih RM100 sekilogram mulai tahun depan berikutan permintaan yang tinggi di negara itu.

Sehubungan itu, Menteri Besar Perlis, Datuk Dr. Md. Isa Sabu berkata, ladang harumanis seluas 20 hektar di Paya Kelubi, Chuping di sini diusahakan oleh penduduk tempatan untuk mengisi permintaan tersebut.

Katanya, pengusaha ladang mempelam harumanis turut mendapat khidmat nasihat daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

''Ini merupakan cabaran baru kepada pengusaha mempelam harumanis kerana bagi tujuan eksport kualiti mempelam perlu dijaga dengan baik dan umum mengetahui Jepun terkenal dengan sikap mengutamakan kualiti.

''Apabila mempelam harumanis berjaya dieksport, ini juga membuktikan produk pertanian kita mendapat permintaan tinggi dan layak berada di pasaran antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke ladang harumanis di Bukit Bintang di sini semalam.

Md. Isa turut mengumumkan pesta harumanis selama enam hari yang akan diadakan di Laman Brasmana, Kuala Perlis bermula Jumaat ini.

Pesta yang dianjurkan oleh Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Perlis itu bagi mempromosikan Perlis sebagai satu-satunya negeri destinasi hasil mempelam harumanis dan sebagai destinasi agro pelancongan.

Beliau memberitahu, Jepun menyambut baik mempelam harumanis apabila harga buah itu melebihi RM100 sekilogram.

Di negara ini harumanis dijual pada harga RM8 sekilogram bagi gred A (450-650 gram), RM7 bagi gred B (350-450 gram) dan RM6 bagi gred C (bawah 350 gram).

Md. Isa berkata, penduduk Perlis perlu mengambil peluang yang ada dengan menanam pokok mempelam harumanis bagi menjadikan negeri Perlis sebagai destinasi utama produk itu.

''Oleh kerana harumanis hanya sesuai ditanam di Perlis dan mendapat sambutan baik di pasaran antarabangsa, pekebun perlu mengambil peluang dengan mengusahakan amalan pertanian yang baik.

''Negeri ini sesuai dengan tanaman harumanis kerana cuaca panas yang panjang dan ada sedikit unsur-unsur monsun.

''Tanaman harumanis tidak akan menjadi kalau tiada ciri-ciri ini dan buah yang baru membesar akan luruh jika terkena hujan," jelasnya.

Sementara itu, Md. Isa menasihatkan agar para penjual buah mempelam tidak mengambil kesempatan daripada populariti dan jenama harumanis untuk melariskan jualan mereka.

''Ada laporan menyatakan terdapat penjual mempelam yang mendakwa produk mempelam yang dijual sebagai harumanis sedangkan ia mempelam jenis lain yang banyak terdapat di pasaran.

"Sekiranya perkara ini berlaku sudah pasti ia akan merosakkan nama baik Perlis sebagai satu-satunya pengeluar utama harumanis," katanya.

1 comment:

  1. salam en adam,
    sy cik siti norbaya, ada buat kajian pasal mangga harumanis. sy sekarang mencari ladang untuk dilawat. boleh en adam bg suggestion ladang mane yg sesuai dan dimana.

    ReplyDelete