Friday, December 25, 2009

MANGGA CHOKANAN

UTARA

ARKIB : 20/06/2009

Chokanan dapat sambutan


Kakitangan pusat pengumpulan mempelam, Aziizul Abidin, 23, menyusun buah yang baru dipetik di Ladang Mempelam Tobiar.


PENDANG 19 Jun - Meskipun lebih dikenali sebagai negeri jelapang padi, namun negeri ini kini boleh berbangga dengan tanaman mempelam jenis chokanan yang mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Usaha untuk mengusahakan tanaman berkenaan secara komersial dimulakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) tujuh tahun lalu selepas agensi berkenaan melihat potensi besar perniagaan buah berkenaan.

Ini lebih-lebih lagi apabila muka bumi negeri ini mempunyai tanah yang cukup subur dan sesuai untuk penanaman mempelam chokanan yang sekali gus mampu memberikan pulangan lumayan kepada para pengusahanya.

Sehubungan itu, MADA mengambil inisiatif dengan membuka ladang mempelam di kawasan yang pernah dijadikan sebagai padang ragut di Tobiar, di sini pada 2002.

Pegawai Pertanian MADA, Zulkifli Romzi berkata, pada awal pelaksanaan projek berkenaan, lembaga itu menanam sebanyak 7,236 pokok melibatkan tanah seluas 18 hektar di kawasan tersebut.

Memandangkan permintaan terhadap buah berkenaan semakin meningkat, katanya, MADA menanam sejumlah 10,223 lagi pokok pada fasa kedua dan fasa ketiga projek berkenaan setahun kemudian.

"Melihat kejayaan projek ini, MADA menambah 600 pokok pada fasa keempat dua tahun lalu dan sehingga kini keseluruhan 18,059 pokok mempelam telah ditanam dengan keluasan kawasan sejumlah 42 hektar di Tobiar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Zulkifli berkata, hasil mempelam berkenaan mula dituai pada 2004 dengan anggaran pengeluaran sebanyak lima tan.

Katanya, selepas hampir lapan tahun beroperasi, pihaknya menyasarkan pengeluaran pada tahun ini akan mencecah 150 tan dan dijangka meningkat kepada 200 tan pada tahun depan.

Menurutnya, bagi meningkatkan nilai produk, mempelam yang dikeluarkan di ladang kendalian MADA itu menggunakan jenama Tobiar Gold sempena nama tempat ia ditanam dan buah yang berwarna kuning keemasan.

"Mempelam Tobiar Gold bukan sahaja sedap dan berkhasiat, tetapi ia juga berbau harum serta setanding dengan buah yang dikeluarkan di tempat lain.

"Malah rasanya juga lebih manis dengan purata kandungan gula sejumlah 25 peratus," katanya.

Zulkifli memberitahu, mempelam Tobiar Gold juga mempunyai akreditasi Sijil Amalan Baik Ladang Malaysia yang diterima pada Jun 2006 dan Sijil Malaysia's Best pada Julai 2007.

Katanya, selain menjual buah yang masak, MADA juga menghasilkan produk hiliran berasaskan mempelam seperti kordial, sos mempelam dan jem.

"Buah mempelam Tobiar Gold yang mempunyai rasa lebih manis juga sekali gus menjadikannya amat sesuai untuk dijadikan sebagai jus," ujarnya lagi.

Bagi meluaskan penanamam buah mempelam itu, MADA juga mengadakan program pengagihan benih melibatkan peladang-peladang di empat wilayah lembaga itu.

Sehingga tahun lalu, seramai 979 peladang terlibat menanam 61,436 pokok melibatkan keluasan keseluruhan kawasan 209.12 hektar.

Zulkifli berkata, sehingga kini permintaan pasaran terhadap mempelam Tobiar Gold amat memberangsangkan dan percaya MADA mampu pengeluar mempelam Tobiar Gold atau klon chok anan utama di negara ini.

Dalam pada itu, katanya, ladang mempelam berkenaan mempunyai berpontensi untuk dijadikan projek agro pelancongan di wilayah utara.

Ladang itu, menurutnya, bukan sekadar menghasilkan buah mempelam semata-mata, tetapi merupakan ladang nukleus yang berperanan sebagai pusat pemindahan teknologi tanaman buah tersebut.

"Ia juga menjadi pusat latihan amali tanaman mempelam dan pusat pengumpulan dan pemasaran buah," ujarnya.

1 comment:

  1. jika saya mahukan manga berterusan di syarikat saya bagaimana saya boleh dpt kan pendeluar buah manga tanpa putus..dgn siapa saya boleh dpt info..?
    tq ^^

    ReplyDelete