ARKIB : 08/12/2009
JPV terajui industri burung walet negara
PUTRAJAYA 7 Dis. - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang menerajui industri burung walet negara menyasarkan lebih ramai pengusaha menceburi perniagaan yang mempunyai nilai tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa itu.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin berkata, kekurangan bekalan menyebabkan Malaysia hanya mampu memenuhi 10 peratus nilai eksport sarang burung walet ke China iaitu RM1 bilion.
''China, Hong Kong dan Taiwan lebih berminat dengan sarang burung walet dari Malaysia berbanding Indonesia, selatan Thailand dan selatan Vietnam kerana negara ini telah disahkan bebas dari wabak selesema burung.
''Hanya sekitar 50,000 rumah dijadikan tempat perusahaan sarang burung walet di seluruh negara dan kita memerlukan lebih ramai pengusaha untuk memenuhi permintaan dari China," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Ketika ini Malaysia hanya mampu menyumbang 10 peratus kadar pengeluaran sarang burung walet untuk pasaran antarabangsa berbanding Indonesia (70 peratus) dan Thailand (20 peratus).
Abdul Aziz berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga permohonan sehari daripada orang ramai yang berminat untuk menceburi industri sarang burung walet.
Menurutnya, JPV juga bekerjasama rapat dengan Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia untuk mengendalikan kursus-kursus penternakan burung walet.
JPV juga berjaya menangani isu-isu berkaitan perladangan walet seperti di bangunan warisan, berdekatan lapangan terbang dan premis tertutup di kawasan bandar.
''Kos termurah untuk memulakan perusahaan ini ialah RM10,000 dan sarang burung walet boleh mencecah RM4,000 sekilogram bagi yang belum dibersihkan dan RM7,000 jika sudah dibersihkan.
Jelas beliau, masih ramai yang tidak mengetahui burung walet berbeza dengan burung layang-layang walaupun fizikalnya hampir sama.
Burung layang-layang membuat sarang daripada bahan seperti rumput atau daun tetapi burung walet membuat sarangnya daripada air liur.
Sarang yang dibuat bukan untuk burung berkenaan tinggal di situ sebaliknya untuk bertelur dan anaknya membesar sahaja.
Abdul Aziz menambah, JPV telah mewujudkan laman web burungwalit.com.my untuk pendaftaran premis burung walet sebagai langkah pemantauan, pengawalseliaan dan pendaftaran.
26 September, 2008 16:43 PM
Sabrina Properties Bangun Pusat Ternakan Burung Walit Bernilai RM200juta
KOTA BAHARU, 26 Sept (Bernama) -- Sabrina Properties Sdn Bhd akan membangunkan pusat ternakan burung walit atau burung layang-layang secara komersil yang dikenali sebagai Walit Agro Park dengan pelaburan bernilai RM200 juta.
Pengarah Eksekutif Sabrina Properties, Azlan Mohd Yusof berkata projek itu merupakan kerjasama antara syarikat berkenaan dan Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) yang melibatkan pembangunan di kawasan seluas 16 hektar di pinggir Sungai Kelantan dan Sungai Keladi, di sini.
"Fasa pertama projek itu yang membabitkan pembinaan 200 unit bangunan teres, setiap unit dijual pada RM400,000, akan dimulakan pembinaannya pada tahun depan dan dijangka siap dalam tempoh 12 bulan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata keseluruhan projek itu melibatkan 515 unit bangunan yang merangkumi lima jenis binaan iaitu kluster, kembar, teres, banglo dan hotel.
"Ketika ini kami sedang menguruskan hal berkaitan pengambilan tanah kerana proses pemilikan belum selesai sebelum pembinaan fasa pertama membabitkan 200 unit bangunan teres dimulakan tahun depan," katanya.
Azlan berkata projek itu merupakan projek perintis kepada syarikat sejak penubuhannya dua tahun lalu dan dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengusaha tempatan.
"Projek burung walit mempunyai potensi besar kerana hasilnya mendapat sambutan menggalakkan di pasaran, selain pengusaha tidak perlu bimbang terhadap pemasaran hasil burung ini. Kami yakin, industri ini bakal memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha," katanya.
Beliau berkata selain bangunan yang menjadi lokasi pembiakan dan sarang burung walit itu, kawasan berkenaan juga akan dibangunkan dengan hotel, medan selera dan lokasi memproses sarang burung itu di samping pengawasan oleh kamera litar tertutup.
-- BERNAMA
RENCANA UTAMA
Oh walit yang ralit
Oleh AMREE AHMAD
amree.ahamad@kosmo.com.my
Sekumpulan burung walit yang tinggal di dalam bangunan lama.
MENDENGAR kicauan burung pada pagi hari mungkin agak syahdu bagi kebanyakan orang, seolah-olah mereka berada di kawasan hijau yang jauh daripada hingar-bingar enjin kenderaan. Namun bagi pemilik kedai kopi, Ong Poh Kok, 54, di Jalan Tok Lam, Kuala Terengganu, kicauan harmoni burung layang-layang yang juga dikenali sebagai walit kini berubah menjadi mimpi ngeri. Poh Kok bersama jirannya, pengusaha kedai makan, M. Ramachandran, 58, dan penduduk lain di Jalan Tok Lam ibarat hidup di sarang burung gergasi. Mereka pernah berpiket secara aman bagi membantah pihak berkuasa tempatan yang didakwa gagal bertindak biarpun puluhan aduan dibuat mengenai pencemaran udara dan bunyi di situ. “Kami bukan dengki dengan pengusaha burung itu tetapi perniagaan itu biarlah sensitif dengan penduduk di sini yang merana kerana dia menjadikan bangunan mereka sebagai sarang walit,” katanya. Masalah bermula apabila beberapa pengusaha membuka operasi penternakan burung layang-layang di tingkat atas rumah kedai di kawasan itu lima tahun lalu. Sejak itu, kicauan walit menjadi irama wajib Jalan Tok Lam. Ramai penduduk mengakui anak mereka juga tidak lagi mahu balik beraya ke rumah disebabkan kicauan burung itu selain aroma dan ketulan najisnya mencemarkan kawasan tersebut.
SARANG burung ini biarpun berbau kurang enak mendapat permintaan tinggi di pasaran. - Gambar hiasan
Gejala ini bukan sahaja berlaku di Terengganu. Ia juga menjadi masalah di Pulau Pinang. Kerajaan melalui Majlis Negara Mengenai Kerajaan Tempatan membenarkan industri itu dikembangkan secara komersial pada Oktober 2005 tetapi dengan syarat-syarat tertentu. Antaranya ialah bisnes itu tidak dibenarkan di dalam atau dekat dengan kawasan perumahan dan penghasilan bunyi untuk memanggil burung itu hendaklah pada tahap nada bunyi rendah. “Malangnya kerajaan negeri kurang bertindak tegas dalam menutup perniagaan sarang walit yang jelas ‘merosakkan’ sejarah bandar George Town,” kata Dr. Choong Sim Poey. Presiden Yayasan Warisan Pulau Pinang itu berkata, selaku badan bukan kerajaan yang membela nilai khazanah sejarah negeri, tapak warisan dunia itu kini menjadi syurga walit. “Ia sepatutnya sudah lama dihentikan tetapi lihatlah beberapa jalan bersejarah yang berubah kepada imej bising akibat burung walit seperti Lebuh Armenia dan Lebuh Campbell,” jelasnya dalam nada kesal.
IBRAHIM meninjau keadaan sarang burung walit miliknya yang dibina dalam bangunan khas dekat rumahnya di Kota Tinggi, Johor.
Bayangkan terdapat lebih 155 buah kedai sarang walit di hampir semua jalan di pusat bandar George Town sahaja dan dianggarkan kini terdapat lebih 10,000 premis burung walit di seluruh negara. Kerajaan tempatan perlu memperkenalkan syarat yang ketat untuk dipatuhi kerana industri itu menimbulkan pelbagai risiko di kalangan penduduk seperti penyakit, kotoran dan gangguan bunyi. Kesannya boleh menyebabkan nilai hartanah jatuh, kualiti hidup terjejas dan ternakan burung walit di kawasan padat penduduk akan membawa jolokan bandar hantu dalam jangka panjang. Di Pulau Pinang, sebahagian besar daripada lebih 800 pengusaha burung itu beroperasi di daerah Seberang Perai Selatan khasnya Nibong Tebal. Berdasarkan rekod semasa, Majlis Perbandaran Seberang Perai pernah menerima 1,046 permohonan daripada pengusaha di semua tiga daerah di Seberang Perai. Pegawai penyelidik Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Hatijah Hashim memberitahu, pihaknya banyak menerima aduan mengenai gangguan burung itu dari seluruh negara. “Dalam satu kes di Jalan Pejabat, Kuala Terengganu, sejumlah 60 penduduk di kawasan itu menghantar memorandum kerana aduan mereka sejak 10 tahun lalu tiada tindakan,” katanya. Penduduk beberapa pekan kecil di Kota Tinggi, Muar dan Batu Pahat turut menyuarakan ketidakpuasan hati ekoran industri itu dijalankan tanpa kawalan pihak berkuasa. Bau loya bahan makanan burung itu, pembiakan nyamuk daripada takungan air di sarang, tompokan najis selain bunyi cicipan tanpa henti daripada pembesar suara nyata menjadi masalah besar. “Tindakan keras perlu dikenakan kerana ada kes premis yang diluluskan tidak mematuhi syarat terutama mengeluarkan tahap bunyi lebih 40dB dan gagal mengikut jangka masa operasi,” katanya. PULANGAN lumayan bisnes sarang burung walit menjadikan semakin ramai yang berminat menternak spesies tersebut sejak kebelakangan ini. Namun, burung berwarna gelap itu sebenarnya ada kehidupan unik. Ia perlu diketahui sebelum seseorang menceburi bidang ternakan sarang burung walit. Selain kegemaran meluncur dan terbang pantas kerana saiznya kecil, haiwan itu adalah pemakan serangga kecil di sawah, tanah terbuka, hutan, pantai dan perairan. Spesies itu menetap di gua atau rumah yang mempunyai suhu lembap dengan keadaan remang dan menggunakan lelangit bangunan untuk membuat sarang daripada air liurnya. Bagi seorang penternak, Ibrahim Marsan, bukan mudah untuk memulakan projek sarang walit tetapi atas minatnya, dia menebalkan muka bertanya kepada penternak yang lebih berpengalaman. Peneroka Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, Johor itu bernasib baik kerana ada ramai rakan kaum Cina mengusahakan ternakan itu dan menurunkan ilmu kepadanya. Salah satu faktor dia menceburi bidang itu kerana ia mampu memberikan keuntungan lumayan selepas 22 tahun terlibat dalam kerja penanaman kelapa sawit. “Dalam penanaman kelapa sawit, pokok perlu ditebang untuk program tanam semula. Apabila pokok tiada, kita tiada hasil bagi meneruskan hidup. Saya lihat ternakan walit berbeza daripada kelapa sawit. “Tidak perlu benih, jagaan rapi atau bagi makan, cuma sediakan rumah dan bila cukup masa, kutip hasil,” katanya yang nekad membina rumah burung tersebut dua tahun lalu. Dengan modal permulaan sebanyak RM40,000, rumah burung itu yang dibina hasil titik peluh tanaman kelapa sawit didirikan di bahagian atas rumahnya sendiri. “Bisnes ini memang untung waima belum dikomersialkan sepenuhnya. Pulangannya cukup untuk rezeki sekeluarga,” katanya yang turut memiliki bengkel motosikal yang diuruskan anaknya. Pada masa ini terdapat 2,000 ekor walit menginap di rumah burung itu dan setiap hari Ibrahim memainkan bunyi burung itu dari pukul 6.30 pagi hingga 7.45 petang untuk memanggil mereka. Burung walit tidak mudah membina sarang jika kawasan sekitarnya tidak sesuai. Setelah empat bulan menginap, barulah burung itu membina sarang daripada air liurnya. Menyedari projek itu mampu memberi pendapatan lumayan, Ibrahim memperuntukkan RM200,000 untuk membina sebuah lagi rumah burung setinggi dua tingkat. “Kini saya hanya pungut hasil satu kilogram sebulan. Pada saya itu sudah baik kerana satu gram jualan ialah RM4.50. Mungkin pada masa depan saya mampu raih 10 hingga 20 kilogram sarang burung sebulan,” katanya. Setiap satu sarang burung mampu mencecah berat kira-kira 10 gram dan ia dijual dengan harga tinggi kerana khasiatnya dipercayai baik untuk kesihatan.
UTARA
ARKIB : 29/10/2009 .Marzuki pengusaha sarang burung walet
sEBAHAGIAN daripada 100 sarang burung walet yang diusahakan Marzuki Che Embi di Bandar Perda, Pulau Pinang.
BUKIT MERTAJAM 28 Okt. – Pelbagai cara digunakan oleh penduduk di kawasan luar bandar untuk menambah pendapatan mereka termasuk membina rumah burung layang-layang jenis walet. Salah seorang pengusaha burung walet yang terletak di Bandar Perda di sini ialah Marzuki Che Embi, 43, yang mula berkecimpung dalam projek tersebut lima bulan lalu. Beliau yang ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini berkata, pulangan lumayan daripada perniagaan itu seperti yang diperoleh pengusaha lain mendorongnya untuk mula berjinak-jinak membina rumah burung walet untuk mendapatkan sarangnya yang bernilai tinggi. Katanya, kedudukan Malaysia kini yang merupakan antara pengeluar sarang burung itu dengan nilai pembekalan kasar sebanyak tujuh peratus selepas Indonesia (60 peratus) dan Thailand (20 peratus) menarik minatnya untuk menceburi bidang itu. ‘‘Saya akui memang bukan mudah untuk menjalankan perniagaan seumpama ini namun jika seseorang itu betul-betul minat semuanya tidak sukar dilaksanakan. ‘‘Lebih menarik, usaha yang dilakukan sekarang diiktiraf oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang turut memperkenalkan syarat-syarat menternak burung walet kepada kami,” katanya. Tambahnya, bagi menjayakan projek seumpama itu ia memerlukan modal yang besar tetapi ramai pengusaha berjaya melaksanakannya setelah menerima khidmat nasihat dari pihak-pihak terbabit. Mengulas lanjut beliau berkata, pada masa ini masyarakat terutama golongan bumiputera di negara ini belum mengetahui secara mendalam potensi industri berkenaan yang kini dipelopori kaum lain. Marzuki menjelaskan, beliau yang pada mulanya memulakan perniagaan secara kecil-kecilan kini boleh berbangga kerana mampu membeli sebuah rumah kedai yang sekarang menampung hampir 100 sarang burung. ‘‘Pendapatan dari perniagaan ini begitu lumayan sekali dan potensinya juga amat cerah terutama dengan usaha untuk menjadikannya sebagai produk pelancongan di masa akan datang. ‘‘Selain itu, usaha seumpama ini juga boleh menjadikan seseorang terkenal sebagai usahawan burung walet yang sebenarnya begitu banyak sekali terdapat di Semenanjung Malaysia,” ujarnya. Beliau memberitahu, harga sarang burung putih belum diproses yang kaya dengan kalsium, zat besi, potassium dan magnesium boleh dijual pada harga RM3,500 hingga RM6,000 sekilogram. Menurutnya, terdapat pelbagai jenis burung layang-layang yang kerap berterbangan di kawasan perumahan itu termasuk seriti yang gemar hinggap di talian elektrik tetapi jenis dicari oleh pengusaha adalah jenis walet. ‘‘Tidak dinafikan ternakan ini juga seperti yang lain iaitu turut berdepan dengan pelbagai ancaman serta gangguan antaranya seperti burung helang, burung hantu dan juga biawak. ‘‘Bagaimanapun, itu semua boleh diatasi termasuk memastikan kawasan ternakan sentiasa dipasang muzik malah dengan cara itu juga saya jarang menjenguk ke sana,” katanya yang bercadang memperluaskan perusahaannya itu ke bandar ini tidak lama lagi.
ARKIB : 18/08/2009
Aeroswift majukan pusat ternakan burung walit RM4.5 juta
KULIM 17 Ogos - Aeroswift Consultancy Sdn. Bhd. (Aeroswift), syarikat perunding bumiputera, melaburkan RM4.5 juta bagi meneroka industri ternakan burung layang-layang atau walit secara komersial di Kampung Sungai Tengas, dekat sini.
Pengarah Eksekutif Aeroswift, Khairil Sani Wong Abdullah berkata, projek itu merupakan kerjasama antara syarikat berkenaan dan Persatuan Usahawan Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (Pushpiam).
"Projek itu membabitkan pembinaan sembilan unit rumah burung walit dengan pembabitan ahli-ahli Pushpiam dengan harga RM359,000.
"Apabila siap kelak, setiap rumah itu mampu memuatkan kira-kira 8,000 ekor dan menjana pulangan kepada peserta sebanyak RM120,000 sebulan," katanya selepas lawatan kerja Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Mukriz Mahathir di sini kelmarin.
Menurut Khairil Sani, projek ternakan berkenaan menggunakan teknologi Indonesia yang mana kesemua burung walit akan dipelihara bermula peringkat penetasan telur.
Jelasnya, burung walit yang dipelihara di tempat lain menggunakan kaedah semula jadi iaitu mendirikan rumah atau tempat perlindungan dan ditambah dengan sistem audio serta membiarkan burung membuat sarang.
"Bagaimanapun, projek di Sungai Tengas ini agak unik kerana kita akan tetas sendiri telur burung walit dan pelihara sehingga besar.
"Apabila membesar, ia akan dilepaskan ke dalam sangkar lebih besar sebelum dapat mengeluarkan sarang yang boleh dikawal selia kualitinya," katanya.
Beliau memberitahu, projek tersebut telah mendapat sambutan menggalakkan daripada 108 ahli Pushpiam yang rata-ratanya terdiri daripada kaum bumiputera.
"Projek itu berpotensi besar kerana hasilnya begitu lumayan iaitu sekitar RM5,000 hingga RM7,000 bagi setiap kilogram sarang Gred Super A," katanya.
Tambah Khairil Sani, kesemua hasil sarang burung tersebut akan dieksport ke China menerusi rakan kongsinya, Forevery Swallow Health Ltd.
Sementara itu, Mukhriz berkata, industri ternakan burung walit berpotensi untuk dibangunkan memandangkan ia mempunyai nilai dagangan besar iaitu sekitar RM500 juta setahun.
"Permintaan kepada sarang burung ini juga didapati meningkat sejak kebelakangan ini khususnya bagi pasaran Eropah dan China," katanya.
Sehubungan itu, katanya para usahawan perlu merebut peluang keemasan itu dan kerajaan khususnya MITI bersedia membantu dengan menyediakan modal serta kemudahan meluaskan pasaran.
ARKIB : 14/04/2009
Sarawak bakal pengeluar sarang burung walit
KUCHING 13 April - Sarawak berpotensi besar menjadi pengeluar sarang burung walit atau burung layang-layang memandangkan negeri ini sumber habitat haiwan itu.
Penasihat Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Adzmy Abdullah berkata, mengikut statistik Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, hasil eksport industri sarang burung ialah RM750 juta setahun (150,000 tan metrik sarang burung).
Malah, menurutnya, industri sarang burung mempunyai permintaan besar dari luar negara terutama China dan Eropah dengan pasaran dunia bernilai RM8 bilion.
"Bagaimanapun, para usahawan yang mahu menceburi bidang ini perlu memohon lesen terlebih dahulu dan mematuhi undang-undang dalam mengusahakan ladang burung walit ini.
"Sehubungan itu, para usahawan ternakan jangan melihat bidang penternakan melibatkan kambing dan lembu saja tetapi boleh mempelbagaikannya dengan membabitkan diri dalam industri ternakan burung walit ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Kursus Keusahawanan Penternakan Kambing di Pusat Latihan Sarawak di Telaga Air dekat sini hari ini.
Adzmy berkata, difahamkan Sarawak mempunyai lebih 1,500 pengusaha burung walit manakala di seluruh Malaysia pula sejumlah 23,000 pengusaha terbabit dalam industri sarang burung berkenaan.
Katanya, para usahawan sama ada menternak kambing atau lembu perlu memanfaatkan setiap ruang tanah yang dimiliki dengan ternakan lain yang difikirkan sesuai seperti ladang ternakan burung walit ini.
Tambahnya, usahawan ternakan juga perlu menetapkan minda mereka untuk mengusahakan bidang tersebut secara komersial sepenuhnya atau dalam kata lain 'zero waste' (sisa sifar).
"Apa yang dimaksudkan 'zero waste' ialah mengkomersialkan ternakan bukan hanya daging semata-mata tetapi segala yang dapat dihasilkan menerusi haiwan itu seperti contoh baja organik menerusi najis ternakan dan banyak lagi," katanya.
No comments:
Post a Comment