Tuesday, January 12, 2010

REBUNG BULUH MADU

UTARA

ARKIB : 27/05/2009

Rebung buluh madu


Abu Bakar Ismail bersama isterinya Siti Leha Hashim, membersihkan anak pokok buluh madu yang akan dijual di Kampung Pasir Putih, Tualak , Kuala Nerang, Kedah. - UTUSAN/ZAINAL AZHAR MOHAMED


KUALA NERANG 26 Mei - Umum mengetahui pokok buluh mempunyai pelbagai fungsi.

Tumbuhan yang banyak terdapat di merata tempat di negara ini bukan sahaja boleh dijadikan sebagai bahan kraf tangan tetapi batangnya turut digunakan untuk membuat lemang.

Malah masyarakat pada zaman dahulu menggunakan batang buluh untuk membuat rumah atau rakit serta sebagai senjata runcing.

Di sebalik segala kegunaan berkenaan, terdapat juga bahagian pokok tersebut yang boleh diambil untuk dijadikan makanan iaitu pucuk buluh yang muda dan masih lembut atau rebung.

Kebiasaannya rebung buluh digunakan sebagai masakan warisan yang menyelerakan seperti gulai rebung dan sayur lodeh di samping memeramnya untuk dijadikan jeruk.

Bagaimanapun tidak ramai yang menyedari potensi perniagaan yang boleh mendatangkan pulangan lumayan dengan mengusahakan tanaman buluh bagi mengeluarkan rebung.

Seorang pengusaha tanaman buluh madu, Abu Bakar Ismail, 68, dari Kampung Pasir Putih, Tualak di sini boleh tersenyum bangga kerana hasil usahanya menanam tumbuhan itu kini mampu menghasilkan rebung kira-kira 300 kilogram sebulan.

Beliau mengusahakan kebun buluh madu dengan menanam sebanyak 150 pokok bersebelahan rumahnya sejak dua tahun lalu selepas mendapati penduduk tempatan amat menggemari masakan menggunakan rebung.

Jelasnya, dia memilih buluh jenis madu kerana selain boleh menghasilkan rebung yang lebih sedap ia juga sesuai dijadikan tanaman hiasan yang menarik.

"Saya menjual rebung kepada masyarakat setempat dan ada juga peniaga yang mengambilnya dua kali seminggu untuk dijual di pasar-pasar malam.

"Permintaan terhadap bahan makanan ini amat tinggi dan ia berpotensi luas untuk diusahakan secara berskala besar," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Abu Bakar yang mengusahakan tanaman berkenaan bersama isterinya, Siti Leha Hashim, 65, dan dibantu tiga anak mereka memberitahu, dia menjual rebung yang belum diproses dengan harga RM3.50 sekilogram manakala yang siap diproses pula RM5 sekilogram.

Katanya, permintaan pasaran untuk rebung yang ditanamnya itu meningkat pada musim cuti sekolah khususnya daripada individu yang ingin mengadakan kenduri.

"Kebiasaannya di majlis-majlis kenduri, rebung ditempah untuk dicampurkan bersama masakan kari yang menambah kelazatannya," jelasnya yang menganggarkan telah meraih pendapatan RM30,000 sejak mengusahakan tanaman berkenaan.

Abu Bakar memberitahu, tanaman buluh tidak sukar dijaga jika mengikut kaedah yang betul kerana ia merupakan tumbuhan yang lasak.

"Ia cuma perlu dibaja selain memastikan aliran air yang sempurna bagi menjaga tahap kelembapannya terutama pada musim kemarau," katanya yang turut menjual benih pokok buluh madu pada harga RM10 sepokok.

Mengenai rancangan masa panjang, Abu Bakar memberitahu dia kini menanam kira-kira 400 pokok buluh madu lagi di belakang rumahnya bagi memenuhi permintaan pasaran.

Katanya, dia juga sedang mencari kawasan yang mungkin boleh disediakan kepadanya oleh kerajaan untuk mengembangkan lagi perniagaannya itu selain menjadi model kepada orang lain untuk sama-sama menceburi tanaman berkenaan.

"Saya berhasrat melangkah setapak lagi dengan mempelbagaikan fungsi pokok buluh madu dengan tidak hanya menumpukan kepada pengeluaran rebung sahaja.

"Mungkin pada masa hadapan saya akan berurusan dengan pihak tertentu untuk menggunakan batang pokok ini sebagai bahan membuat perabot dan penyucuk sate," katanya.

1 comment: