Tuesday, July 23, 2013

SABUT TERPAKAI


Pengusaha tanaman tembikai, Nazmi Mohd. Zain mengakui kualiti tanamannya tidak terjejas meskipun menggunakan sabut terpakai sebagai medium tanaman.
TANAMAN tidak terjejas apabila menggunakan sabut kelapa terpakai.


GUNA selagi boleh. Kalau boleh sampai sabut kelapa yang dijadikan medium tanaman itu bertukar jadi hitam legam.
Bagi pengusaha tanaman tembikai rock melon jenis glamor, Nazmi Mohd. Zain, 39, beliau tidak sanggup membuang sabut kelapa yang masih boleh digunakan begitu sahaja.
Katanya yang tinggal di Kampung Gelugor Kedai, Kuala Terengganu, tanaman jenis fertigasi bagi menanam tembikainya memberikan hasil yang lumayan kepadanya.
"Saya tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan sabut kelapa baru yang perlu digantikan. Kualiti tanaman juga tidak akan terjejas jika menggunakan sabut terpakai walaupun lebih daripada dua kali," katanya.
Beliau ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini sanggup mengangkut sabut kelapa terpakai daripada rakan-rakan yang berniat mahu membuangnya.
Katanya, jika terdengar sahaja rakan-rakan sudah habis menuai hasil tembikai, beliau akan bertanya mengenai sabut kelapa terpakai milik mereka.
Lebih menyeronokkan katanya, apabila mereka memang mahu membuang sabut berkenaan.
"Daripada dibuang begitu sahaja baik saya 'selamatkan' sabut itu sebelum menjadi bahan buangan.
"Apabila sabut terpakai itu dikumpulkan, saya akan menggemburkannya di dalam satu bekas besar sebelum dimasukkan ke dalam poli beg.
"Selepas itu saya boleh mula menanam apa sahaja tanaman yang saya mahukan seperti terung, sawi putih, kangkung dan salad," katanya.
Walaupun beliau baru mula menanam pelbagai jenis tanaman mengikut kaedah fertigasi ini pada bulan Disember tahun lalu, dalam masa kurang setahun itu beliau tidak pernah menggantikan sabut kelapa baru.
Dia mahu menggunakan sehingga sabut kelapa yang pertama kali dibeli bernilai hampir RM1,800 sebanyak 350 guni itu sudah tidak boleh digemburkan lagi dan bertukar warna kehitaman.
"Sehingga kini saya sudah guna lapan kali sabut yang sama, tanaman yang saya tanam tetap mengeluarkan hasil seperti biasa.
"Tidak ada pula tanaman yang terencat jika menggunakan sabut lama," katanya yang mendakwa perlu bekerja keras bagi memastikan sabut kelapa terpakai digemburkan sebaik mungkin bagi mewujudkan ruang oksigen di dalam sabut berkenaan.
Jika tidak kata Nazmi, tanamannya mungkin akan terbantut kerana tidak mendapat oksigen yang mencukupi.
Ujarnya, walaupun sabut kelapa itu hanya bernilai RM5 seguni beliau perlu menggunakannya sebaik mungkin.

NAZMI melakukan kerja penanaman sayur-sayuran menggunakan sabut kelapa terpakai di kebunnya.


Menanam tembikai rock melon dengan kaedah berkenaan amat menguntungkannya, lebih-lebih lagi dia tidak perlu bermain dengan selut atau tanah.
"Saya menanam sayur-sayuran tersebut sementara menunggu tempoh rehat menanam semula tembikai rock melon yang mengambil masa sehingga sebulan.
"Sekurang-kurangnya saya mampu menjimatkan wang bagi menggantikan sabut baru sebaliknya membeli benih serta baja," katanya yang menanam tembikai berkenaan di atas tanah seluas 0.2 hektar di belakang rumah.
Berkenaan baja pula, dua buah tangki yang dicampurkan dengan baja dibina di kawasan penanaman dan disalurkan terus kepada pokok mengikut kadar tertentu.
Katanya, satu saluran paip getah kecil berwarna hitam terus dimasukkan ke pangkal pokok di setiap poli beg dan pertumbuhan tanaman bergantung kepada kualiti baja yang diberikan.
Tambah lelaki yang mempunyai lima orang cahaya mata berusia antara 14 hingga setahun itu, dengan kaedah tersebut dia tidak memerlukan kerja-kerja menyiram pokok kerana air lagi.
"Ia juga dapat mengatasi masalah tanah yang tidak sesuai untuk tanaman tertentu atau yang tidak subur. Masalah rumpai juga mampu diatasi.
"Penggunaan racun serangga mampu dikurangkan seterusnya kualiti tanaman akan menjadi lebih baik bagi mendapatkan hasil yang lebih tinggi kerana kandungan nutrien yang lengkap disalurkan kepada setiap tanaman," katanya.

No comments:

Post a Comment