Wednesday, July 24, 2013

BAKA AYAM KAMPUNG TERBAIK


Baka ayam kampung terbaik

MARDI bercadang mengeluarkan 10,000 ekor ayam kampung seminggu bagi menampung permintaan.
Gallus gallus adalah nama saintifik bagi ayam hutan merah, Gallus varius untuk ayam hutan hijau, Gallus sonneratii untuk ayam hutan kelabu dan Gallus lafatetii untuk ayam hutan Ceylon atau Sri Lanka.
Namun bagi kebanyakan daripada kita semuanya ialah ayam kampung yang secara mudahnya baka ayam tempatan berwarna perang balung merah, badan tegap dan dibiar berkeliaran atau lepas bebas.
Ayam pedaging dan penelur yang diternak secara komersial serta besar-besaran kini adalah berasal daripada spesies ayam hutan merah.
Berbanding ayam pedaging dan penelur komersial, ayam kampung tidak menjalani proses pembiakbakaan yang sistematik walaupun berasal dari ayam hutan merah.
Azlina Azma Ismail Affendee menunjukkan seekor ayam kampung hasil penyelidikannya di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang.
Proses pembiakbakaan yang tidak terkawal serta sistematik telah menghasilkan ayam kampung pada hari ini yang mempunyai pelbagai ciri fizikal yang berbeza dari seekor ke seekor walaupun dalam kelompok reban yang sama.
Industri penternakan ayam sama ada untuk pedaging atau penelur telah pun mencapai tahap sara diri (SSL), tetapi bilangan ternakan ayam kampung masih lagi dalam jumlah yang kecil iaitu kurang dari lima peratus sahaja.
Bilangan yang terhad, berserta tempoh penternakan yang lama (12 minggu minimum), ditambah dengan prestasi pertumbuhan yang kurang memuaskan menyumbang kepada harganya agak mahal di pasaran.
Ayam kampung bukan sahaja diternak sebagai sumber pendapatan penternak, tetapi juga untuk sajian-sajian istimewa selain untuk memenuhi masa lapang atau hobi.
Permintaan yang tidak pernah putus terhadap daging ayam kampung menyebabkan bekalan berkurangan.
Ini mendorong orang ramai untuk melibatkan diri dalam penternakan ayam kampung secara komersial.
Namun masalah bekalan anak ayam kampung berumur sehari menjadi penghalang kepada usaha-usaha penternak itu.
Menyedari permasalahan tersebut, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengambil inisiatif menjalankan penyelidikan pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung.
Usaha menambakbaik baka ayam kampung telah dimulakan seawal tahun 2000 di Ibupejabat MARDI, Serdang, Selangor.
Ayam kampung jantan telah dikahwinkan dengan ayam Sasso betina yang dibawa masuk dari Perancis untuk menghasilkan ayam kampung terpilih MARDI.
Kemudahan inkubator untuk penetasan telur yang terdapat di Pusat Penyelidikan Ternakan Strategik MARDI Muadzam Shah.
Ayam kampung terpilih itu mempunyai ciri-ciri seperti ayam kampung.
Tetapi dengan prestasi pertumbuhan mirip kepada ayam pedaging menyebabkan ia kurang diterima ramai sebagai ayam kampung.
Projek pembiakbakaan dan pembaikbakaan ayam kampung telah diteruskan pada 2008 di bawah geran penyelidikan Sciencefund Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berjumlah RM200,000.
Itu untuk menghasilkan ayam kampung yang seragam daripada segi saiz badan, bulu, rupa dan pertumbuhan serta peneluran yang lebih baik berbanding ayam kampung asli.
Pegawai Penyelidik MARDI di Stesen MARDI Muadzam Shah, Pahang, Azlina Azma Ismail Affendee berkata, untuk tujuan tersebut, pasukan beliau telah mendapatkan kumpulan ayam kampung daripada beberapa kawasan iaitu di utara, selatan dan tengah tanah Semenanjung Malaysia.
Berat ayam kampung MARDI yang diternak secara teratur dengan pemberian makanan komersial yang seimbang mampu mencapai 1.5 kilogram (kg) bagi jantan dan 1.3 kg bagi ayam betina pada umur 12 minggu dan telurnya menetas selepas 21 hari.

No comments:

Post a Comment