Tuesday, July 23, 2013

KOKO ORGANIK



BIJI koko kering organik yang akan diproses menjadi makanan seperti cokelat semakin mendapat sambutan pengguna terutama di pasaran Amerika Syarikat.


PERMINTAAN dan harga koko yang tinggi di pasaran dunia menyebabkan para petani di Tengah Amerika mula mengusahakan semula tanaman berkenaan.
Rantau itu sebelum ini terkenal sebagai salah satu pengeluar koko utama dunia tetapi pada 1990-an jumlah tanaman itu semakin berkurangan.
Ramai peladang mula memusnahkan tanaman koko mereka selepas ia diserang sejenis kulat dan kejatuhan harga koko di pasaran dunia.
Bagaimanapun kini beberapa syarikat coklat gergasi dunia mula beralih kepada peladang di Tengah Amerika bagi membekalkan koko yang dilabel sebagai organik.
Harga koko di Amerika Syarikat (AS) juga meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh 28 tahun selepas para pelabur mula melabur dalam komoditi itu di pasaran dunia.
Di antara tahun 2002 hingga 2006 jualan coklat organik diseluruh dunia meningkat sebanyak 120 peratus kepada AS$401.3 juta (RM1.26 bilion).
Permintaan yang semakin meningkat terhadap komoditi itu menyebabkan para petani kecil di Amerika Tengah mula meningkatkan keluaran mereka.
"Petani kini yakin mereka boleh meningkatkan pengeluaran koko tanpa menghadapi sebarang kesukaran memasarkannya," kata pakar koko di Costa Rica, Eduardo Somarriba.
Somarriba menganggarkan pengeluaran koko di Amerika Tengah meningkat sebanyak 40 peratus kepada 4,000 tan dan 5,000 tan pada tahun 2006 dan 2007.
Keluasan kawasan tanaman itu juga kini mencapai 21,000 hektar dan pada tahun ini sebanyak 2,000 hektar tanah pertanian dijangka ditanam dengan pokok koko.
"Koko kini menjadi tanaman yang bakal memberi pendapatan lumayan kepada penduduk miskin," katanya.
seorang petani membalik-balikkan biji koko untuk proses mengeringkannya di Punta Gorda, Belize.


Menurutnya, harga yang tinggi membantu petani meningkatkan pengeluaran dengan melabur dalam kaedah penanam yang mampu meningkatkan kualiti dan mengelakkan penyakit.
Seorang petani di Panama, Manuel Abrigo berkata, dia mula menanam pokok koko selepas harga komoditi itu semakin tinggi.
"Saya menanam koko selepas melihat jiran saya menanam tanaman itu dan saya juga mahu menambahkan pendapatan," katanya.
Pengeluar koko nombor satu dunia adalah Ivory Coast dan tanaman itu banyak ditanam di Afrika selepas dibawa masuk oleh penjajah Portugis pada tahun 1800-an.
Bagaimanapun, beberapa kumpulan hak asasi manusia menuduh Ivory Coast yang merupakan pengeluar koko nombor satu dunia menggunakan kanak-kanak sebagai buruh.
Pakar percaya pokok koko mungkin berasal dari kaki bukit di pergunungan Andes di Amazon dan Lebah Orinoco di Amerika Selatan.
Menurut sejarah pokok koko ditanam oleh penduduk asli Maya di Mexico serta Amerika Tengah sebelum kedatangan penjajah Sepanyol.
Koko juga merupakan sebahagian daripada tradisi masyarakat orang asli di Panama, Costa Rica, Belize, Guatemala dan Nicaragua.
Seorang ahli arkeologi dan penulis bersama buku The True History of Chocolate, Michael Coe berkata, penjelajah Sepanyol juga merekodkan bahawa penduduk di rantau itu menggunakan biji koko sebagai mata wang. - Reuters

No comments:

Post a Comment