Monday, July 15, 2013

PENYAKIT KAMBING



KAMBING atau nama saintifiknya Capra hircus adalah merupakan ternakan yang agak popular pada masa kini.
Apabila disebut sahaja tentang kambing, pasti berkait rapat dengan ibadah akikah dan korban di kalangan masyarakat Melayu beragama Islam.
Kambing adalah antara ternakan yang agak mudah untuk diternak. Kos penternakan juga tidaklah terlalu tinggi dan ternakan ini juga cepat membiak.
Pasaran bagi ternakan ini sangatlah memberangsangkan.
Ini kerana permintaannya yang sentiasa meningkat pada setiap tahun lebih-lebih lagi pada musim perayaan, sekali gus menjamin pulangan yang agak lumayan bagi usahawan ternakan ini.
Menyedari akan potensi penternakan kambing ini, ramai penternak kini telah mula berjinak-jinak dalam menternak kambing.
Namun begitu, amalan penternakan yang baik perlulah diambil perhatian yang sewajarnya.
Melalui amalan ini, pengurusan ternakan akan menjadi lebih baik dan efisien.
Amalan sanitasi dan kebersihan ladang juga perlu dititikberatkan.
Ladang ternakan yang sentiasa dijaga dengan rapi dan kebersihan yang terkawal dapat menjamin kesihatan ternakan.
Ternakan yang sihat sudah pasti akan memberikan hasil yang terbaik dan berkualiti.
Dalam memastikan kesihatan ternakan terjamin, usahawan ternakan ini perlulah mengetahui sedikit sebanyak tentang aspek kesihatan ternakan.
Ini sangat penting kerana dapat membantu penternak menghindar, mencegah dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya apabila terdapat serangan penyakit.
Kefahaman ini juga dapat membantu penternak mengelakkan kematian ternakan yang boleh membawa kepada kerugian dalam bidang usaha ini.
Penyakit yang biasanya menyerang ternakan adalah disebabkan oleh beberapa faktor.
Faktor pengurusan ternakan yang tidak cekap adalah antara faktor yang menyumbang kepada masalah ini.
Pengurusan makanan dan minuman yang tidak sesuai dan tercemar, kandang yang kotor dan lain-lain peralatan yang tidak bersih adalah contoh kepada pengurusan yang tidak cekap.
Selain itu, faktor jangkitan parasit seperti masalah kecacingan, serangan virus, bakteria dan protozoa seperti coccidia, dan faktor bahan kimia yang digunakan di ladang boleh mendatangkan masalah dan penyakit pada ternakan.
Para penternak perlulah mendapatkan bantuan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) yang berhampiran sekiranya menghadapi masalah akibat serangan penyakit terhadap ternakan mereka.
Namun, kini usahawan ternakan boleh merawat sendiri penyakit-penyakit yang dianggap ringan.
Untuk mendapat maklumat dan penerangan selanjutnya, penternak yang berminat boleh menghadiri kursus yang bakal dianjurkan oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) dengan kerjasama Taman Pertanian Universiti, UPM Serdang, Selangor pada 22 Jun dan 23 Jun ini. Maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-89471819/1845/1807 atau layari laman web http://www.apeec.upm.edu.my dan http://www.tpu.upm.edu.my.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Agrobiz/20130617/ag_03/Penyakit-ternakan-kambing#ixzz2ZBDm8oC9
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment