Monday, July 15, 2013

KEMARAU JEJAS PENGELUARAN MADU



SEORANG penternak lebah menunjukkan sarang lebah yang kekurangan madu di Pekan Maria Pinto, Chile.


KEKURANGAN air merentasi Chile telah membuatkan kuntuman bungaan menjadi kering sehingga menghalang lebah-lebah memperoleh makanan terdiri daripada madu bunga.
Menurut Persatuan Pemeliharaan Lebah Kebangsaan, penuaian madu lebah telah merosot sebanyak 60 sehingga 70 peratus pada tahun ini.
Disebabkan lebah mendebungakan kebanyakan buah-buahan eksport utama Chile seperti avokado dan epal, pakar-pakar memberi amaran kesan domino terhadap industri pertanian yang menyumbang kepada ekonomi negara berkenaan.
“Sebahagian besar penghasilan buah-buahan tempatan memerlukan lebah-lebah untuk pendebungaan,” kata Profesor Pemeliharaan Lebah Universidad de Chile, Mario Gallardo.
“Serangga ini mempunyai kecenderungan pengkhususan. Sebagai contoh, sebaik sahaja ia mendebunga sebiji epal, ia akan setia bersama buah berkenaan sekali gus membuatkan pendebungaan lebih cekap,” jelasnya.
Lebah-lebah membantu pembiakan tumbuh-tumbuhan dengan memindahkan debunga subur antara pokok-pokok.
Tumbuh-tumbuhan pertanian boleh didebunga secara manual atau semula jadi oleh angin, tetapi kaedah tersebut lebih mahal atau kurang cekap.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pemeliharaan Lebah, Marcelo Rodriguez Fernandez , memberi amaran jika pemeliharaan lebah tidak diperbaiki pada akhir tahun, banyak pengeluar kecil pertanian akan gulung tikar.

PENDEBUNGAAN yang dilakukan lebah lebih cekap berbanding menggunakan teknik angin.


“Cuaca La Nina yang bertanggungjawab terhadap kemarau dijangka akan berterusan sehingga musim luruh. Sekiranya hujan tidak turun atau pun kerajaan tidak membentuk skim bantuan menyeluruh, situasi tidak dapat dipertahankan lagi,” katanya.
“Seluruh wilayah telah diisytiharkan zon kecemasan oleh kerajaan kerana kemarau,” tambahnya lagi.
Pihak berkuasa secara perlahan-lahan menyedari kos kehilangan lebah-lebah itu dan skim bantuan kini dipertimbangkan pada peringkat serantau.
Sebagai contoh wilayah Valparaiso telah membeli 10,000 kilogram (kg) fruktosa untuk memberi makan kepada lebah-lebah semasa ketiadaan bunga-bungaan.
Pada tahun 2010, Chile telah mengeksport madu bernilai AS$21 juta (RM63 juta).
Jumlah madu Chile adalah pertengahan pasaran kepelbagaian bunga walaupun negara itu mempunyai beberapa campuran tunggal premium seperti madu halus Ulma.
Kemarau yang menyebabkan penurunan pemeliharaan lebah Chile telah menambah getir kepada industri lebah-lebah di peringkat global.
Kebanyakan lebah di seluruh dunia berada dalam keadaan kritikal dengan perubahan cuaca, pancaran telefon bimbit dan racun perosak merupakan antara penyumbang kepada keruntuhan koloni lebah global.

No comments:

Post a Comment