Monday, July 15, 2013

ARNAB


Pertandingan arnab semakin diiktiraf



RUPANYA yang comel dengan bulu panjang serta berkarakter manja menyebabkan arnab hiasan kini menjadi haiwan peliharaan kesayangan rakyat Malaysia.
Haiwan itu menjadi obses baharu pencinta haiwan yang dambakan ‘teman’ di rumah.
Peningkatan jumlah penternak dan pembiak arnab hiasan menyebabkan semakin banyak pertandingan arnab hiasan turut diadakan di sekitar Lembah Kelang.
Pertandingan arnab cantik dan cerdik itu hampir sama dengan pertandingan kucing yang sering diadakan di seluruh negara.
Seorang peminat arnab hiasan, Che Mahdhir Che Mohamad, 21, berkata, salah satu pertandingan arnab hiasan terbesar yang pernah diadakan ialah Pertandingan Pertunjukkan Arnab dan Simposium (MRSS) 2012.
MRSS 2012 diadakan pada April lalu oleh Chin Woo Worldwide Trading dengan kerjasama Persatuan Penternak Arnab Amerika Syarikat (ARBA) dilihat tepat pada masanya.
Kongsi Che Mahdhir, beliau antara salah seorang daripada ratusan peserta yang menyertai MRSS 2012.
“Sebenarnya sebelum ini banyak pertandingan kecil diadakan sepanjang tahun. Tetapi MRSS 2012 bukan sahaja melibatkan ratusan peserta, turut disertakan dengan simposium khas,” katanya sambil memberitahu, obsesi terhadap arnab hiasan mula berkembang sejak 2008.
“Pada mula kehadiran arnab ini ke sini, harganya mahal kerana semua arnab hiasan diimport dari Amerika Syarikat. Namun, kini harganya mula menurun dan mampu dibeli ramai orang. Harga seekor arnab hiasan
SEORANG kanak-kanak membelai dan memberi makan seekor arnab hiasan.


kini bermula dari RM500 hingga RM3,000 mengikut baka,” katanya ketika ditemui di MRSS yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Perniagaan Global, Petaling Jaya, Selangor.
Tambahnya, peningkatan minat orang ramai terhadap arnab hiasan tambah merebak pada tahun 2010 apabila lebih banyak penternak arnab hiasan mula muncul dalam kalangan orang tempatan selain diimport dari Indonesia.
Fenomena itu turut disertai oleh Che Mahdhir yang mula berjinak-jinak membiakkan arnab yang dipelihara bermula dengan sepasang sehingga kini mencecah 30 ekor.
Kutip ilmu di MRSS
Akui pemuda tersebut, MRSS 2012 yang julung-julung kali diadakan itu memberi peluang kepada penternak dan peminat arnab hiasan untuk mendapatkan ilmu mengenai arnab hiasan secara lebih mendalam.
“Dalam pertandingan ini kita akan jumpa ramai penternak, peminat dan peniaga barang keperluan arnab hiasan. Dari sini kita dapat banyak ilmu tentang arnab hiasan yang kita pelihara. Peminat arnab juga dapat mengetahui sejauh mana kesihatan, kebaikan baka dan cara-cara sesuatu baka arnab itu diternak untuk mendapatkan kualiti yang terbaik,” katanya.
Seorang lagi peminat dan penternak arnab hiasan, Ihsan Mukhlis Mohamad, 29, berkata, dalam MRSS beliau dapat mencari kenalan baharu yang mempunyai minat sama.
Menurut penternak arnab dari Kelantan itu, dalam pameran tersebut peminat arnab hiasan juga dapat mengetahui mengenai kewujudan pelbagai spesies arnab lain.
Secara jujurnya Ihsan Mukhlis berkata, masih ramai rakyat negara ini yang belum pernah melihat arnab eksotik itu.
“Pada pameran ini, kita akan dapat lihat arnab dalam pelbagai rupa dan karakter. Di sini ada arnab arnab berbulu panjang, berbulu halus, berbadan pendek atau telinga panjang.
“Secara khususnya arnab tersebut terdiri daripada Netherland dwarf, dwarf hotot, lionhead, Jersey wooly, Californian, America fuzzy lop, mini rex dan Holland lop,” katanya yang mula menternak arnab hiasan sejak setahun lalu.
Seorang peminat arnab hiasan wanita, Athirah Hamizah Abdul Azizi, 25, memberitahu, melalui penyertaan pertandingan arnab seperti itu dia dapat mengetahui tahap kualiti baka arnab yang dibiakkannya sendiri.

PARA pemenang bergambar kenangan selepas arnab masing-masing menjuarai kategori yang dipertandingkan.


Dia mula memelihara arnab daripada baka teddy bear yang jarang ditemui selain memiliki bulu seperti kucing Parsi sejak tiga tahun lalu di rumahnya di Setiawangsa, Kuala Lumpur.
Katanya, ketika itu dia hanya memiliki seekor arnab betina daripada jenis teddy bear selepas diberikan rakan.
“Selepas beberapa bulan saya lihat arnab itu kesunyian dan saya mula terfikir untuk mencarikan seekor teman untuk arnab yang dibela.
“Selepas itu, arnab yang dipelihara mula membiak sehingga kini saya sudah ada tujuh ekor arnab,” katanya yang telah membiakkan arnab miliknya sebanyak empat kali.
Juri dari Amerika Syarikat
Pengarah MRSS, Anthony Ng, 37, memberitahu, pertunjukan tersebut merupakan julung-julung kali dianjurkan secara besar-besaran bersama simposium.
“Sebelum ini pihak penganjur hanya adakan pertandingan kecil-kecilan sahaja.
“Pertunjukan kali ini lebih besar dengan melibatkan lebih 300 penyertaan. Selain itu, yuran penyertaan yang dikenakan sangat murah iaitu setinggi RM30 sahaja,” katanya.
“Sejak beberapa tahun kebelakangan ini jumlah peminat arnab semakin meningkat. Mungkin disebabkan orang ramai sudah
mula boleh menerima arnab sebagai haiwan peliharaan di rumah berbanding dijadikan sebagai makanan semata-mata,” katanya.
Tambah Anthony, pada pertandingan arnab kali ini, pihak penganjur turut membawa masuk secara khusus pengadil terkemuka dunia dari Amerika Syarikat iaitu Allen Mesick dan Chris Zemmy.
Kedua-dua pengadil dan panel penceramah simposium tersebut sangat mahir tentang arnab dan begitu komited dalam menjalankan tugas mereka sebagai pengadil.
“Ketika pengadilan dilakukan, pengadil turut memberikan penerangan secara keseluruhan mengenai setiap arnab yang diadili mereka.
“Maka dari situ juga, setiap peminat arnab hiasan dapat mengetahui nilai kualiti arnab yang dipelihara,” kata Anthony.
ARNAB hiasan semakin mendapat perhatian orang ramai yang menjadi haiwan peliharaan alternatif kepada anjing dan kucing.


Ciri-ciri yang akan dilihat dan
dinilai dalam pertandingan itu jelas Anthony termasuklah dari segi struktur tulang arnab, bentuk badan, kaki, kuku, bulu, muka dan berat badan.
Jumlah keseluruhan hadiah yang ditawarkan bernilai RM5,000 selain reben dan piala kemenangan.


No comments:

Post a Comment